Kaedah 'co-teaching': Dua guru dalam satu kelas bermula sesi akademik 2027

 


 

Kaedah pengajaran berpasukan atau 'co-teaching' bersama dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.

Inisiatif itu yang membabitkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I dilihat sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kaedah 'co-teaching' dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.

Beliau berkata, pendekatan itu antara pembaharuan utama dalam pelaksanaan kurikulum baharu bagi pelaksanaan pembelajaran bersepadu, iaitu gabungan pelbagai disiplin ilmu yang diajar secara gabung jalin. 

Katanya, bagi melaksanakan kaedah itu, guru dilatih dan didedahkan dengan teknik pengajaran yang sesuai dengan KPM melaksanakan uji rintis untuk kaedah ini kepada 130 guru dan menerima maklum balas positif terhadap pembaharuan dalam pendidikan negara.

"Dalam kaedah pengajaran berpasukan dua guru bekerjasama dalam satu kelas secara serentak, bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat murid.

"Pengajaran berpasukan menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu iaitu dua orang guru akan saling melengkapi dalam perancangan dan penyampaian PdP di dalam kelas.

"Kita yakin kaedah 'co-teaching' membabitkan interaksi aktif dalam kelas ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus dapat mengatasi masalah keciciran pembelajaran.

"Selain itu, berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini nanti juga menuntut semua guru sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain mengintegrasikan nilai dan karakter dalam pengajaran masing-masing," katanya 

60 minit seminggu Program Pembentukan Karakter

Sebelum ini, media melaporkan KPM memperuntukkan masa khusus selama 60 minit seminggu bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang bakal membabitkan murid sekolah rendah dan menengah.

KPM berkata, program itu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan bagi membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus, sekali gus memberi tumpuan terhadap penghayatan nilai, tingkah laku positif serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian.

Fadhlina berkata, pembaharuan dalam kurikulum sekolah bermula sesi 2027 itu dibuat tanpa membabitkan perubahan terhadap teras pendidikan negara, sebaliknya hanya mengubah pendekatan supaya seiring perkembangan zaman dengan tumpuan terhadap kemahiran dan pembelajaran bersepadu.

"Perubahan hanya berlaku dari segi pendekatan cara pengajaran, contohnya pembelajaran bersepadu dibuat iaitu pelajar boleh belajar subjek Bahasa Inggeris, Sains dan muzik dalam satu sesi pembelajaran yang diubahsuai menjadi lebih menarik.

"Gabungan dua guru mengajar pada kelas sama dapat menangani masalah kelas padat yang menyebabkan pelajar sukar memberi tumpuan yang akhirnya menyebabkan keciciran.

"Sementara kita melaksanakan intervensi terhadap kemudahan fizikal dan persekitaran sekolah, pendekatan co-teaching ini alternatif terbaik bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif dan berkesan," katanya.

Yakin co-teaching berkesan

Ditanya adakah sistem pendidikan negara bersesuaian untuk melaksanakan kaedah co-teaching, Fadhlina berkata, KPM yakin perkara itu boleh dilaksanakan berdasarkan kejayaannya di negara lain.

"Melalui sistem ini, anak-anak kita akan mendapat banyak kelebihan, khususnya sistem pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.

"Zaman ini, anak kita lebih dekat dengan gajet, jadi kita memerlukan satu pendekatan yang lebih segar dan menarik untuk mereka fokus pada pembelajaran di sekolah.

"Ia boleh dilakukan sama ada dua guru berada dalam satu kelas atau dengan menggabungkan dua kelas untuk sesi pembelajaran sama," katanya.

Mengulas tekanan dihadapi guru jika pembaharuan ini dilaksanakan, Fadhlina menjelaskan, KPM sebenarnya sudah bersedia melalui sesi peningkatan mutu pendidikan atau penataran yang bermula pada sesi akademik 2025/2026, tahun depan.

"Sesi penataran untuk sesi 2026 sudah bermula tahun ini, maknanya kita akan bersedia untuk sesi persekolahan pada 2027.

"Malah guru juga sudah bersedia dengan sesi pembelajaran bersepadu ini kerana ia bakal menjadi pengalaman baharu untuk mereka," katanya.

Bentuk nilai asas serta karakter sejak awal usia

Sementara itu, mengulas pembentukan karakter diperkenalkan secara berperingkat bermula bagi murid prasekolah pada tahun depan sebelum diperluas kepada murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027, Fadhlina berkata, ia bertujuan membentuk asas nilai serta karakter sejak awal usia.

Beliau berkata, langkah itu juga menggalakkan pembabitan aktif ibu bapa dan komuniti dalam proses pendidikan.

"Murid prasekolah mudah dibentuk, mereka belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Pada peringkat ini, ibu bapa lebih dekat dengan anak, jadi mereka boleh bersama-sama guru membina karakter dan nilai murni.

"Kita tidak mahu lagi budaya menyalahkan, bukan ibu bapa, guru atau sekolah yang bersalah, sebaliknya pembentukan karakter anak-anak mesti dilakukan bersama.

"Bila sesi persekolahan bermula tahun depan, semua guru prasekolah sudah bersedia melaksanakan pendekatan baharu ini, manakala latihan sama untuk guru Tahun Satu dan Tingkatan Satu pula akan bermula pada 2026," katanya.

 


Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url