BERSAMA mahu akhiri dominasi politik lama, tidak sertai gabungan parti kini
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bertekad untuk mengubah landskap politik negara dan tidak akan menyertai mana-mana gabungan parti ketika ini.
Perkara itu ditegaskan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengambil alih dan menerajui BERSAMA dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nik Nazmi yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, BERSAMA sebaliknya ingin memastikan alternatif untuk pengundi dalam pilihan raya pada masa depan.
Sehubungan itu, katanya, BERSAMA bukan saja akan bertanding di kawasan PKR serta parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, tetapi juga Barisan Nasional (BN) dan PAS-Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut menekankan bahawa BERSATU mahu mengakhiri dominasi politik lama, dan menolak kompromi semata-mata untuk kuasa.
"Daripada pengumuman penyertaan kami ke BERSAMA, kami mengumumkan BERSAMA hendak mengubah landskap politik, mengakhiri dominasi politik lama, dan menolak kompromi semata-mata untuk kuasa.
"Justeru, kami bukan saja akan bertanding di kawasan-kawasan PKR serta parti PH yang lain, malah BN dan juga PAS-PN.
"BERSAMA tidak akan menyertai mana-mana gabungan ini, tetapi ingin memastikan alternatif untuk pengundi," katanya dalam hantaran melalui platform X, hari ini.
Pada Ahad lalu, Rafizi berserta Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR dan mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016.
Simbolik penyerahan parti itu dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik dua pemimpin terbabit, sekali gus menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu berkaitan hala tuju politik mereka berdua selepas dilihat agak disisihkan PKR sejak setahun lalu.
Pada Isnin lalu lalu, Rafizi dan Nik Nazmi menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, untuk memaklumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan, kelmarin, memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu selepas ia diisytiharkan kosong.

