Drama Triller Bersiri Good Boy Go To Heavan kisah budak mati dibunuh kejam
“Melalui Good Boys Go To Heaven, kami bawakan kisah tragedi yang menimpa sebuah komuniti apabila seorang kanak-kanak dilaporkan hilang sebelum ditemui mati.
“Cerita ini bermula sebagai satu penyiasatan, namun apabila kebenaran terbongkar, ia turut membawa kepada kesan trauma yang mendalam yang tidak boleh dielakkan.
“Kami juga menyentuh isu kesihatan mental dan berusaha mengangkat isu sensitif ini secara lebih berperikemanusiaan supaya ia dapat difahami oleh penonton.
“Bagi kami, karya seperti ini penting untuk memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun tema yang diketengahkan bersifat berat dan sensitif, ia wajar dibawa ke arus perdana kerana mencerminkan realiti sebenar.
“Semakin berat dan sensitif sesuatu isu, semakin penting untuk ia diberi ruang supaya dapat dilihat dan didengar oleh masyarakat.
“Ini kerana perkara seperti ini benar-benar berlaku dalam kehidupan sebenar dan kita perlu terus menceritakan kisah-kisah sebegini,” ujarnya.
Naskhah ini dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Beto Kusyairy sebagai Yasser, Zahirah MacWilson sebagai Dahlia, Firdaus Karim sebagai Bahamin, Malek McCrone sebagai Zayd, Amerul Affendi sebagai Inspektor Kamal, Amanda Ang sebagai Sarjan Leona, serta Sky Iskandar sebagai Ustaz Reyhan, di samping memperkenalkan bintang cilik baharu, Sayf Mikael sebagai Ahyan.
Menerusi watak Yasser, Beto Kusyairy membawa dimensi emosi seorang bapa yang berdepan kehilangan anak, sekali gus mengangkat konflik trauma dan kesihatan mental dalam naskhah ini.
Katanya, watak tersebut sarat dengan pelbagai lapisan emosi serta isu yang dekat dengan masyarakat.
“Yasser merupakan seorang ayah yang kehilangan anak dan melalui pelbagai konflik berkaitan trauma serta kesihatan mental.
“Ada banyak lapisan cerita yang kami paparkan dan saya harap apa yang dipelajari dapat disampaikan kepada penonton serta memberi kesedaran kepada mereka di luar sana.
“Mungkin ia juga dapat membuka ruang kepada individu yang mengalami situasi sama untuk tampil mendapatkan bantuan,” jelasnya.

