Harga ayam dan sayur turun, lebih jimat masak sendiri

 



Memasak di rumah kini menjadi pilihan paling bijak untuk menjimatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia apabila data terkini menunjukkan kos bahan mentah utama seperti ayam dan sayur-sayuran mencatatkan penurunan harga yang ketara pada Oktober lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terbaharunya mendedahkan bahawa inflasi bagi makanan di rumah tidak merekodkan sebarang perubahan atau sifar peratus.

Situasi itu berbeza dengan inflasi makanan di luar rumah yang terus meningkat sebanyak 2.9 peratus, menjadikan pilihan makan di restoran lebih membebankan berbanding menyediakan hidangan sendiri. Penurunan kos barangan dapur itu sebahagian besarnya didorong oleh kejatuhan harga bagi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang menyusut sebanyak 6.0 peratus berbanding bulan sebelumnya yang mencatatkan penurunan 5.5 peratus.

Data DOSM menunjukkan beberapa jenis sayuran popular dalam kalangan pengguna menyaksikan penurunan harga yang sangat memberangsangkan. Antara sayuran itu termasuklah sawi jepun yang turun mendadak sebanyak 14.4 peratus, diikuti sawi sebanyak 12.6 peratus dan salad yang mencatatkan penyusutan harga 9.1 peratus.

Selain sayur-sayuran, berita baik turut dirasai penggemar ayam apabila data menunjukkan harga daging ayam segar turun sebanyak 1.3 peratus, berbanding kenaikan 0.6 peratus yang direkodkan pada September 2025. Penurunan harga sumber protein utama rakyat Malaysia itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada perbelanjaan dapur isi rumah.

Dari segi nilai ringgit, purata harga ayam standard Malaysia pada Oktober 2025 adalah RM10.35 sekilogram, lebih rendah berbanding RM10.63 sekilogram pada tempoh sama tahun lalu. Manakala bagi pengguna di Semenanjung Malaysia, purata harga ayam standard direkodkan lebih rendah iaitu sekitar RM9.59 sekilogram.

Walaupun harga bahan mentah semakin murah, pengguna masih berdepan kos tinggi jika memilih untuk makan di luar apabila subkumpulan makanan di luar rumah terus mencatatkan peningkatan harga walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Peningkatan harga hidangan siap di premis makanan ini dilihat kontradiksi dengan penurunan harga bahan mentah di pasaran.

Secara spesifik, kenaikan harga di restoran itu disumbangkan oleh masakan ayam yang naik 3.0 peratus dan sayur yang dimasak meningkat 2.9 peratus. Ini bermakna, peniaga makanan masih mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggan walaupun kos input bahan mentah utama mereka sebenarnya telah turun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, inflasi negara menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025. Kadar inflasi berkenaan didorong oleh kenaikan lebih perlahan dalam kumpulan Makanan dan Minuman iaitu 1.5 peratus berbanding 2.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Selain makanan, peningkatan kos sara hidup turut disumbangkan oleh kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan serta Perkhidmatan yang merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak 6.0 peratus. Kumpulan itu mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding 4.8 peratus yang direkodkan pada September 2025.

Namun begitu, beban pengguna sedikit terurus dengan penurunan inflasi kumpulan Pengangkutan kepada negatif 0.1 peratus kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel serta harga bahan api yang stabil. Harga petrol RON97 turut mencatatkan sedikit penurunan kepada RM3.18 seliter berbanding RM3.19 seliter pada bulan sebelumnya.

Bagi sektor utiliti, inflasi kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat perlahan kepada 1.1 peratus, dibantu oleh subkumpulan Elektrik yang kekal berada di jajaran negatif 8.4 peratus. Penurunan kos elektrik itu didorong oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang memberi rebat kepada pengguna domestik penggunaan tinggi.

Perkembangan harga terkini berkenaan memberi isyarat jelas bahawa tabiat memasak di rumah mampu menjadi strategi ampuh bagi isi rumah mengawal perbelanjaan bulanan di tengah-tengah ketidaktentuan harga perkhidmatan luar. 

Sumber - Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url