Ambil pembiayaan ASB ikut kemampuan

 

Orang ramai yang ingin mengambil Pembiayaan ASB dinasihatkan mengambil pinjaman berdasarkan kemampuan, bukannya kelayakan yang dibenarkan pihak bank.

Kelayakan pinjaman biasanya dibuat berdasarkan gaji pokok dan komitmen hutang semasa, namun seringkali berlaku walaupun pemohon layak mengambil sejumlah pinjaman, pendapatan bulanan mereka tidak mampu untuk menampung ansuran bulanan untuk jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin, berkata ASNB tidak menghalang atau menggalakkan orang ramai untuk mengambil Pembiayaan ASB kerana ia satu kemudahan yang baik jika dilakukan dengan strategi yang betul.

"Namun, perkara pertama yang penting ialah mengambil pembiayaan berdasarkan kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan gaji bulanan dan tidak mengharapkan dividen semata-mata," katanya dalam temu bual, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad berkata, untuk meraih manfaat maksimum daripada Pembiayaan ASB, pelabur sebenarnya tidak digalakkan untuk mengeluarkan dividen tahunan kerana ia membantu modal mereka berkembang.

"Ini berkait rapat dengan konsep kuasa kompaun, iaitu apabila dividen yang tidak dikeluarkan, turut menerima dividen. Dari tahun ke tahun, modal pelaburan akan berkembang kerana dividen turut menerima dividen," katanya.

Beliau berkata, seeloknya, dividen jangan dikeluarkan, tetapi dibiarkan supaya ia terus meningkat menerusi kesan kompaun dan ini memerlukan disiplin yang tinggi daripada pelabur," katanya.

Pembiayaan ASB ialah kemudahan yang ditawarkan oleh bank untuk membolehkan orang ramai melabur dalam ASB secara sekali gus dan pada masa sama, ia boleh membantu mereka yang mengambilnya melakukan 'pelaburan paksa'.

Namun, kesilapan dalam strategi, terutama apabila menggunakan dividen untuk membayar ansuran bulanan, boleh menyebabkan pelabur berasa kerugian apabila dividen ASB rendah, sedangkan mereka sebenarnya masih menerima pulangan selagi ASB memberi dividen.

Mohammad berkata, secara asasnya, risiko pelaburan ASB adalah rendah kerana harga unitnya adalah tetap kerana ia ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit.

"Mungkin pulangan berbeza dari tahun ke tahun, namun pelabur tidak berdepan risiko kehilangan modal, jadi mereka sebenarnya tidak rugi," katanya.

Mohammad berkata, bagi yang membuat pembiayaan ASB, terdapat risiko tambahan iaitu kadar pembiayaan dan kemungkinan tidak mampu membayar ansuran bulanan.

"Disebabkan itu, kami meminta pelabur mengambil pembiayaan mengikut kemampuan kewangan supaya apabila berlaku perubahan pada kadar pembiayaan, dividen ASB atau komitmen mereka, mereka tiada masalah untuk membayar ansuran bulanan bagi pinjaman yang diambil," katanya.

Mohammad berkata, pelabur juga dinasihatkan supaya jangan mudah terikut dengan teknik pembiayaan ASB yang banyak diperkenalkan oleh sesetengah individu di luar sana.

Pihaknya khuatir pelabur yang tidak mempunyai pengetahuan pelaburan dan kewangan yang tinggi, akan menyalahkan
ASNB apabila pulangan ASB yang diperoleh adalah di bawah jangkaan mereka.

Mohammad juga menasihatkan, peminjam sedia ada yang belum menerima makluman terkini mengenai kadar pembiayaan mereka, supaya berbincang semula dengan pihak bank untuk mendapatkan kadar pembiayaan lebih rendah, berikutan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah pada masa ini.

"Peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas yang menentukan kadar pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank," katanya.

OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus.

Secara keseluruhan, OPR yang telah diturunkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2020 adalah sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR sebanyak empat kali pada tahun ini, iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dibuka Mei 2024

Permohonan menjadi Guru KPM Tahun 2024 kini dibuka

Fenomena Ekuinoks Mac