RCI Tabung Haji: Penggunaan kaedah perakaunan tidak tepat, TH sepatutnya catat kerugian RM1.4 bilion
Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, berbanding keuntungan bersih RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu.
Dapatan itu terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang meneliti aspek pelaporan kewangan dan pengisytiharan Agihan Keuntungan TH sebelum pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan pada 2018.
Menurut TH dalam satu kenyataan, RCI mendapati penyata kewangan TH bagi tahun kewangan 2017 tidak mengguna pakai sepenuhnya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS).
"Sekiranya piawaian berkenaan diterapkan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.
"RCI turut berpandangan penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) dalam penilaian aset adalah tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji kerana kaedah itu tidak direkodkan dalam penyata kewangan TH yang diaudit," jelas kenyataan itu.
Dapatan berkenaan, menurut TH, memperkukuhkan keperluan supaya penyata kewangan disediakan secara telus, konsisten dan mematuhi piawaian perakaunan ditetapkan.
Selain itu, laporan RCI menyatakan pendekatan TH dalam mengagihkan keuntungan antara 2014 hingga 2017 tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji kerana agihan keuntungan sepatutnya dibuat daripada keuntungan sebenar, bukannya menggunakan dana pendeposit.
RCI memaklumkan amalan tersebut memberi kesan terhadap rizab kewangan TH serta mewujudkan jangkaan berterusan dalam kalangan pendeposit terhadap kadar agihan keuntungan yang tinggi.
Kedudukan kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 menunjukkan jurang defisit aset-liabiliti meningkat daripada RM352 juta kepada RM4.093 bilion.
Sebelum ini, agihan keuntungan TH turut diumumkan sebelum proses audit penyata kewangan dimuktamadkan.
Susulan itu, RCI mengesyorkan supaya agihan keuntungan hanya diumumkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit.
"Syor tersebut telah dilaksanakan sejak 2022, dengan agihan keuntungan kini hanya diumumkan selepas keputusan kewangan diaudit selesai, selaras dengan prinsip tadbir urus baik, ketelusan dan kemampanan kewangan.
"Hasil pelaksanaan reformasi tadbir urus, penambahbaikan pengurusan risiko serta pengukuhan strategi pelaburan, prestasi kewangannya menunjukkan perkembangan positif," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, kadar agihan keuntungan meningkat daripada 3.10 peratus bagi tahun kewangan 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024 sebelum mencapai 3.50 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
TH kini menguruskan simpanan lebih 9.8 juta pendeposit dengan mandat sebagai pengurus dana umat Islam serta pemudah cara ibadah haji negara.
Sumber : Astro Awani

