Kronologi kes pembabitan golongan profesional dengan dadah

 


Berikut adalah kronologi kes golongan profesional yang ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah

31 Julai 2026: Seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah ke Indonesia.

Suspek, 39, ditahan di pintu masuk Terminal 3, Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Selasa lalu, selepas Bahagian Kastam dan Cukai, menemui 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul ecstasy dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM45 juta (harga pasaran Indonesia).

Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik, Polis Republik Indonesia (POLRI), Brigider Jeneral Eko Hadi Sontoso, berkata tindakan suspek membawa dadah diketahui selepas petugas Bahagian Kastam dan Cukai melihat objek mencurigakan dalam pemeriksaan mesin pengimbas bagasi milik suspek.

19 Jun 2026: Polis menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang guru disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Raja, Terengganu awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata serbuan pada 1.30 pagi itu dilakukan hasil risikan polis di kawasan berkenaan.


28 Februari 2026: Polis menahan seorang guru di sebuah rumah sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan petang Jumaat dipercayai terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata lelaki berusia 41 tahun dan bertugas di sebuah sekolah sekitar Nilai itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.


1 Januari 2026: Polis menahan seorang peguam lelaki disyaki bersubahat dengan seorang banduan bagi menyeludup dadah ke Penjara Marang, Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kes itu terbongkar hasil pemeriksaan terhadap banduan terbabit yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Disember lalu.


11 Jun 2024: Tiga penjawat awam, termasuk seorang pensyarah, antara 1,251 individu yang ditahan pada Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan yang dijalankan selama dua minggu di Kelantan bermula 26 Mei sehingga 8 Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga pensyarah universiti tempatan ditahan pada sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang Jeli, Kelantan jam 10.30 malam, 2 Jun lalu.

Katanya, suspek ditahan bersama empat lagi rakan kerana dipercayai memiliki 0.95 liter air ketum selain ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif Benzo.


23 Januari 2023: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang jurutera dan merampas 840.729 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.1 juta dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua lelaki itu berusia 24 hingga 29 tahun dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai penjawat awam, pemandu kenderaan di sebuah politeknik, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.


6 Februari 2021: Seorang pensyarah lelaki di sebuah universiti di Selangor ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah.

Tangkapan lelaki berusia 31 tahun itu dibuat susulan penahanan seorang remaja berusia 19 tahun oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dalam Operasi Khas.


30 April 2021: Seorang doktor di sebuah hospital kerajaan antara enam ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, kesemua enam suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun.

Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 11 peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja bernilai RM4,900 serta wang tunai sebanyak RM1,450.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url