Aplikasi AEON Bank tarik minat pengguna muda bawah 40 tahun

 


Majoriti pelanggan AEON Bank (M) Bhd terdiri daripada golongan muda berusia bawah 40 tahun yang lebih selesa menggunakan perkhidmatan kewangan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Ridzuan Aziz, berkata pelanggan menggunakan aplikasi bank digital Islam itu bagi pelbagai urusan termasuk pembayaran bil, transaksi kod QR, penggunaan kad debit, pembayaran zakat dan pengurusan kewangan harian.

"Ini menunjukkan pelanggan kami terdiri daripada golongan yang lebih celik teknologi dan mempunyai tahap keterbukaan yang tinggi terhadap perbankan digital.

"Lebih 60 peratus adalah pengguna aktif yang dianggap sangat tinggi dalam industri perbankan. Ini menunjukkan pelanggan bukan sahaja membuka akaun, tetapi benar-benar menggunakan platform kami dalam kehidupan seharian," katanya.

AEON Bank meraikan ulang tahun kedua operasi baru-baru ini.

Ridzuan menambah, lebih 70 peratus pelanggan AEON Bank pula terdiri daripada individu yang tidak pernah menjadi pelanggan AEON sebelum ini, sekali gus mencerminkan keupayaannya menarik segmen pengguna baharu di luar ekosistem sedia ada kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, tanggapan majoriti pelanggan bank itu datang daripada pangkalan pelanggan AEON adalah tidak tepat kerana pertindihan antara pelanggan kedua-dua entiti berkenaan adalah rendah.

"Kami membuat perbandingan antara pelanggan AEON sedia ada dan pelanggan bank. Pertindihan itu hanya sekitar 20 peratus. Ini bermakna, lebih 70 peratus pelanggan kami tidak pernah menjadi pelanggan AEON sebelum ini. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan bukan semata-mata daripada ekosistem AEON," katanya.

Ketua Pegawai Perbankan Peribadi AEON Bank, Aizuddin Danian, pula berkata bank itu kini memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi pembantu kewangan digital dikenali sebagai Neko Sensei.

Beliau berkata, ciri berkenaan dibangunkan untuk membantu pelanggan memahami corak perbelanjaan mereka melalui analisis yang diperibadikan mengikut tingkah laku dan aktiviti kewangan masing-masing.

"Ia seperti ChatGPT yang diperibadikan untuk setiap pelanggan. Neko Sensei boleh menunjukkan perbelanjaan bulanan, membantu pelanggan memahami tabiat kewangan mereka dan mencadangkan pengurusan bajet yang lebih baik. Semua maklumat yang diberikan adalah berdasarkan corak perbelanjaan sebenar pelanggan," katanya. 

Sementara itu, Bendahari AEON Bank, Idham Baharum, berkata bank digital Islam itu juga terus memberi tumpuan kepada agenda inklusif kewangan dengan membantu golongan yang kurang mendapat akses kepada pembiayaan formal seperti pekerja gig, peniaga mikro dan suri rumah.

Tambahnya, AEON Bank turut bekerjasama dengan SURI Inspirasi Sdn Bhd (SURI) untuk membangunkan Program Sustainable. Reliable. Income (S.R.I.) bagi membantu kaum wanita daripada komuniti berpendapatan rendah meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dan perniagaan melalui latihan yang dikendalikan kakitangan bank sendiri.

"Menerusi tiga kohort yang ditaja sepenuhnya oleh AEON bank, program itu membantu peserta memahami penggunaan pembayaran digital, pengurusan jualan dan rekod kewangan bagi membina profil kewangan yang lebih kukuh untuk tujuan pembiayaan pada masa depan," katanya. 

Idham berkata bank digital itu terus mempelbagaikan sumber pendapatannya menerusi gabungan pendapatan berasaskan fi dan aktiviti pembiayaan.

Mengulas keadaan ekonomi semasa, Idham berkata AEON Bank terus memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu pelanggan menghadapi peningkatan kos sara hidup, termasuk ganjaran yang boleh ditukar kepada wang tunai dan perlindungan takaful pada kos yang mampu milik.

"Kami mahu memastikan setiap produk dan perkhidmatan yang dibangunkan bukan sekadar memenuhi keperluan perbankan, tetapi benar-benar membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan mereka dengan lebih baik," katanya.


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url