Apa yang perlu anda tahu tentang Piala Dunia 2026

 


5 perkara asas Piala Dunia

Pasukan: Sebanyak 48 pasukan akan bersaing dalam Piala Dunia terbesar dalam sejarah merentasi 16 bandar tuan rumah, termasuk 11 di AS, tiga di Mexico dan dua di Kanada.

Format: Setiap pasukan beraksi dalam kumpulan empat pasukan secara liga sepusingan. Kemenangan memberi tiga mata manakala seri satu mata. Pusingan kalah mati kini diperluas kepada 32 pasukan, membabitkan semua juara dan naib juara kumpulan serta lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Pilihan utama: Sepanyol, Perancis dan England dianggap pilihan utama oleh syarikat pertaruhan diikuti Portugal, Argentina, Brazil dan Jerman.

Juara bertahan: Diketuai Lionel Messi, Argentina memenangi gelaran ketiga mereka pada 2022. Mereka memburu status juara bertahan pertama sejak Pele membantu Brazil menjulang trofi pada 1958 dan 1962.

Pendatang baharu: Hasil peluasan kepada 48 pasukan, empat negara akan membuat penampilan sulung pada Piala Dunia iaitu Cape Verde, Curacao, Jordan dan Uzbekistan.

5 bintang besar Piala Dunia

Kylian Mbappe (Perancis): Pemenang Piala Dunia 2018 itu menjadi pemain kedua dalam sejarah menjaringkan hatrik pada final Piala Dunia ketika edisi 2022. Namun dia menjadi pemain pertama yang melakukannya tetapi gagal memenangi trofi selepas Argentina menang menerusi penentuan penalti susulan keputusan seri 3-3.

Lamine Yamal (Sepanyol): Bintang Barcelona berusia 18 tahun dianggap remaja paling mendapat perhatian sejak Pele menyinar pada usia 17 tahun di Piala Dunia 1958. Berbeza dengan Pele ketika itu, Yamal sudah memiliki pengalaman kejohanan besar selepas membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024.

Erling Haaland (Norway): Penyerang berimej Viking itu menjadi faktor utama Norway kembali ke pusingan akhir Piala Dunia selepas 28 tahun. Dia juga muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris sebanyak tiga kali bersama Manchester City.

Lionel Messi (Argentina): Pemenang Ballon d'Or lapan kali itu kini berusia 38 tahun dan tidak lagi memiliki ledakan seperti zaman kemuncaknya. Namun pengalaman dan ketajamannya masih terserlah apabila muncul penjaring terbanyak kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Cristiano Ronaldo (Portugal): Pada usia 41 tahun, Ronaldo mungkin tidak lagi sepantas ketika di Real Madrid, tetapi dia kekal tonggak utama serangan Portugal di bawah Roberto Martinez bersama Bruno Fernandes.

5 situasi kecederaan yang cetus kebimbangan

Neymar (Brazil): Pada usia 34 tahun, Neymar bukan lagi nadi taktikal utama Carlo Ancelotti. Namun jika dia pulih daripada kecederaan betis dan mampu beraksi, kehadirannya boleh memberi suntikan moral serta ancaman tambahan buat Brazil.

Chris Richards (AS): Pertahanan tengah berusia 26 tahun itu dianggap pemain terbaik di posisi berkenaan buat AS. Namun dia baru kembali menjalani latihan penuh minggu ini selepas kecederaan ligamen buku lali.

Alphonso Davies (Kanada): Pemain Bayern Munich berusia 25 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak lebih setahun lalu. Dia dijangka terlepas aksi pembukaan Kanada menentang Bosnia ketika masih dalam proses pemulihan kecederaan hamstring.

Julio Enciso (Paraguay): Penyerang Atletico Madrid berusia 22 tahun itu mencetus kebimbangan apabila mengalami kecederaan pada aksi kelayakan terakhir. Mujur ia hanya lebam paha, tetapi dia tetap dijangka terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan.

Bukayo Saka (England): Pemain Arsenal berusia 24 tahun itu masih menguruskan masalah tumit yang berpanjangan. Pengurus Thomas Tuchel berkata dia belum mampu menjalani latihan pada hari berturut-turut.

5 isu luar padang yang jadi perhatian

Ketegangan AS-Iran: Dengan kedua-dua negara kini terbabit dalam konflik ketenteraan, Iran memindahkan kem latihan mereka ke Tijuana, Mexico dan hanya akan memasuki AS menjelang hari perlawanan. Persekutuan bola sepak Iran turut mendakwa kuota tiket penyokong mereka ditarik balik.

Dasar imigresen AS: Pengadil Somalia, Omar Artan dinafikan kemasukan ke AS setibanya di Miami. Penyerang Switzerland, Breel Embolo turut mengalami kelewatan perjalanan manakala beberapa pemain lain dilaporkan disoal siasat dalam tempoh panjang.

Cabaran cuaca panas: Walaupun lima venue mempunyai kawalan suhu, gabungan cuaca panas dan waktu sepak mula petang untuk memenuhi penonton Eropah boleh mempengaruhi keputusan perlawanan, khususnya pasukan Eropah yang biasa dengan cuaca lebih sederhana.

Harga tiket: Masih belum jelas sama ada FIFA berjaya menjual semua tiket pasaran utama. Namun harga pasaran sekunder kembali meningkat apabila kejohanan semakin hampir.

Legasi kejohanan: Lazimnya negara tuan rumah mendapat manfaat terhadap pembangunan bola sepak domestik. Namun dengan pelbagai persoalan yang menyelubungi edisi kali ini, kesan jangka panjangnya masih belum pasti.

5 perlawanan peringkat kumpulan yang wajib ditonton

Brazil mln Maghribi (13 Jun, East Rutherford): Brazil berpeluang membuktikan kebangkitan mereka di bawah kendalian Carlo Ancelotti apabila menentang pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2022 pada aksi pembukaan Kumpulan C.

Perancis mln Senegal (16 Jun, East Rutherford): Selain sejarah kolonial antara kedua-dua negara, aksi Kumpulan I ini menemukan salah satu kuasa besar Eropah dengan naib juara Piala Negara-Negara Afrika.

England mln Croatia (17 Jun, Arlington): Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah pertembungan penting, termasuk kemenangan 2-1 Croatia pada separuh akhir Piala Dunia 2018.

AS mln Australia (19 Jun, Seattle): Perlawanan penting Kumpulan D ini mungkin menentukan nasib kedua-dua pasukan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Portugal mln Colombia (27 Jun, Miami Gardens): Walaupun kedua-duanya mungkin sudah layak, aksi Kumpulan K ini berpotensi menjadi pertemuan terakhir Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez di pentas antarabangsa.

Sumber Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url