Pasport Malaysia ketujuh paling berkuasa di dunia

 


 Pasport Malaysia kekal sebagai pasport ketujuh paling berkuasa di dunia dalam Indeks Pasport Henley 2026, dengan pemegangnya menikmati akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke 183 destinasi.

Menurut indeks itu, Malaysia berkongsi kedudukan ketujuh bersama Australia, Kanada, Czechia, Latvia, New Zealand, Slovakia dan Slovenia.

Di Asia Tenggara, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai pasport kedua paling berkuasa di rantau ini di belakang Singapura, yang menduduki tangga teratas dunia dengan akses tanpa visa ke 192 destinasi.

Brunei pula berada di kedudukan ke-19 dengan akses ke 163 destinasi.

Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkongsi kedudukan kedua, diikuti Sweden di tempat ketiga.Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway dan Sepanyol berkongsi kedudukan keempat, manakala Austria, Greece, Malta, Portugal dan Switzerland berada di tempat kelima.

Hungary, Poland dan United Kingdom (UK) berada di kedudukan keenam, diikuti Croatia dan Estonia di tempat kelapan, serta Liechtenstein dan Lithuania di kedudukan kesembilan.

Malaysia turut mengatasi beberapa ekonomi maju, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang berkongsi kedudukan ke-10 bersama Iceland, serta Hong Kong yang berada di tempat ke-14.

Di rantau Asia Tenggara, Thailand berada di kedudukan ke-63 dengan akses ke 77 destinasi, diikuti Indonesia di tempat ke-68 (70 destinasi), Filipina di tempat ke-72 (65 destinasi), Vietnam di tempat ke-87, Kemboja di tempat ke-88, Laos di tempat ke-89 dan Myanmar di tempat ke-91.

Indeks Pasport Henley menyusun kedudukan pasport berdasarkan jumlah destinasi yang boleh dikunjungi oleh pemegangnya tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu.

Edisi 2026 indeks itu menilai 199 pasport merentasi 227 destinasi perjalanan.

Disusun oleh Henley & Partners menggunakan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), indeks itu dikemas kini secara berkala bagi mencerminkan perubahan dalam akses perjalanan dan mobiliti global.

-BERNAMA

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url