Himpunan RXZ Members 8.0 pada 31 Julai & 1 Ogos 2026

 



Himpunan motosikal terbesar negara, RXZ Members 8.0, akan diadakan pada 31 Julai hingga 1 Ogos 2026. Acara ini berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu dan penganjur telah mengesahkan tarikh ini kekal walaupun bertembung dengan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan kemuncak program berkenaan pada hari Sabtu, 1 Ogos, jatuh pada hari yang sama dengan hari pengundian bagi PRN tersebut.

Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, pihaknya sedar ramai dalam kalangan peminat dan peserta kecewa dengan pertindihan tarikh itu, selain mengakui keputusan mengekalkan tarikh asal dibuat dengan hati yang berat.

“Kami mendengar setiap pandangan yang diberikan dan benar-benar memahami perasaan tersebut. Namun, setelah melalui perbincangan yang panjang dan meneliti semua pilihan yang ada, kami terpaksa mengekalkan tarikh RXZ Members 8.0 pada 31 Julai dan 1 Ogos 2026.

“Ini bukan keputusan yang mudah. Ia dibuat dengan mengambil kira komitmen dan perancangan yang telah melibatkan begitu ramai pihak dari seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial rasmi RXZ Members - Official.

Mengulas mengenai dilema yang dihadapi peserta yang juga pengundi di Negeri Sembilan, Mohamad Faizal berkata, pihak pengurusan menghormati sepenuhnya apa jua keputusan yang diambil oleh para peserta demi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Jika anda tidak dapat hadir kerana menunaikan tanggungjawab tersebut (mengundi), ketahuilah bahawa anda tetap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members.

“Tiada siapa yang akan dilupakan dan insya-ALLAH kita akan bertemu lagi pada perhimpunan yang akan datang. Kami berharap sahabat-sahabat dapat memahami situasi ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, semangat RXZ Members bukan sekadar mengenai sebuah acara, sebaliknya merupakan nilai persaudaraan yang menyatukan semua peminat permotoran.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 18 Julai, manakala hari mengundi awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.

Pertembungan tarikh itu dijangka mencetuskan dilema kepada puluhan ribu peserta memandangkan RXZ Members merupakan antara himpunan motosikal terbesar di negara ini yang saban tahun berjaya menarik kehadiran peminat dari segenap pelosok tanah air.

Sumber : Sinar Harian. 

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url