Asia Tenggara di ambang krisis iklim ekstrem

 





BEBERAPA kawasan di Asia Tenggara berhadapan risiko tidak lagi sesuai didiami pada penghujung abad ke-21 ini akibat gelombang haba berpanjangan. Hal ini menjelaskan, ancaman suhu yang semakin meningkat di Asia Tenggara sekali gus memberi tekanan serius terhadap kesihatan awam, keselamatan makanan, produktiviti pekerja dan daya tahan ekonomi rantau ini.

Gelombang haba yang semakin kerap dan suhu harian yang terus mencanak bukan lagi fenomena bermusim, sebaliknya petunjuk jelas bahawa rantau ini sedang menghampiri krisis iklim yang lebih ekstrem.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang, berkata peningkatan suhu di Asia Tenggara adalah sebahagian daripada corak pemanasan global yang semakin serius di seluruh dunia.



Beliau berkata, trend pemanasan di rantau ini kini hampir menyamai kadar purata global yang menghampiri peningkatan suhu 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-perindustrian iaitu ambang kritikal yang sering dikaitkan dengan peningkatan risiko bencana iklim ekstrem.

"Sejak lima hingga 10 tahun lalu, peningkatan suhu di Asia Tenggara adalah sekitar 0.3 hingga 0.4 darjah Celsius. Ini menunjukkan trend pemanasan yang konsisten dan bukan bersifat sementara.

"Semua negara Asia Tenggara terdedah kepada risiko gelombang haba ekstrem, namun Thailand, Vietnam dan Myanmar dikenal pasti lebih kerap menerima kesan fenomena berkenaan.

"Sementara, cuaca di Malaysia, Indonesia dan Filipina turut dipengaruhi fenomena iklim seperti Ayunan Madden-Julian (MJO), El Nino dan Indian Ocean Dipole (IOD). Namun, pengaruh perubahan iklim dan pemanasan global tidak dapat dinafikan," katanya.

Dunia memasuki era panas ekstrem

Fredolin berkata, dunia kini sedang melalui antara tempoh paling panas dalam sejarah moden dengan tahun 2024 merekodkan suhu tertinggi pernah dicatatkan iaitu sekitar 1.55 darjah Celsius melebihi paras pra-industri.

"Tahun 2023 dan 2025 pula, dicatatkan sebagai tahun kedua dan ketiga terpanas dan rekod ini dijangka terus berubah dengan prospek El Nino yang lebih kuat dalam tempoh terdekat," katanya.

Fredolin berkata, walaupun Asia Tenggara sememangnya beriklim tropika yang panas dan lembap, peningkatan suhu ketika ini sudah melangkaui variasi iklim normal.

Fenomena gelombang haba yang semakin panjang dan intensif pula menunjukkan sistem iklim global berada dalam keadaan semakin tidak stabil.

Tambahnya, punca utama peningkatan suhu global ialah pelepasan gas rumah hijau terutama karbon dioksida akibat aktiviti manusia sejak era perindustrian.

"Dunia semakin panas akibat peningkatan kepekatan gas rumah hijau terutama karbon dioksida yang kini mencecah sekitar 420 ppm berbanding julat semula jadi antara 180 hingga 300 ppm sejak sejuta tahun lalu.

"Pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan dan perubahan guna tanah secara besar-besaran menyebabkan lebih banyak haba terperangkap dalam sistem atmosfera bumi.

"Kira-kira 91 peratus lebihan tenaga haba itu diserap oleh lautan, sekali gus memberi kesan kepada suhu serantau dan corak iklim global termasuk Asia Tenggara," katanya.

Urbanisasi tambah tekanan haba

Selain faktor global, Fredolin berkata urbanisasi pesat dan penebangan hutan turut menyumbang kepada peningkatan suhu setempat khususnya di bandar besar.

Fenomena pulau haba bandar atau urban heat island (UHI) menyebabkan kawasan bandar menyerap dan menyimpan lebih banyak haba akibat permukaan konkrit, asfalt serta kekurangan kawasan hijau.

"Apabila suhu asas meningkat disebabkan pemanasan global, kesan UHI yang sememangnya wujud akan menjadi lebih panas dan lebih berimpak," kongsinya.

Katanya, peningkatan suhu memberi kesan langsung kepada kesihatan awam termasuk peningkatan risiko strok haba, dehidrasi dan penyakit berkaitan pernafasan.

Keadaan panas dan kering juga meningkatkan risiko kebakaran hutan serta jerebu yang boleh menjejaskan kualiti udara dan meningkatkan kes penyakit asma serta paru-paru.

Dalam sektor ekonomi, katanya, cuaca panas dan bekalan air yang berkurangan boleh menjejaskan hasil pertanian, bekalan makanan dan produktiviti pekerja terutama dalam sektor pembinaan, pertanian dan logistik.

"Cuaca panas dan bekalan air yang berkurangan akan menjejaskan hasil pertanian serta ekonomi secara keseluruhan," katanya.

Asia Tenggara kurang sesuai didiami

Mengulas unjuran masa depan, Fredolin berkata Intergovernmental Panel on Climate Change menjangkakan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau, hujan lebat dan banjir akan berlaku lebih kerap seiring peningkatan suhu dunia.

Katanya, dalam senario pelepasan gas rumah hijau paling buruk, Asia Tenggara berpotensi menjadi kurang sesuai didiami menjelang penghujung abad ini.

"Dalam senario pelepasan tinggi, gelombang haba boleh berlaku hampir sepanjang tahun sekali gus mengubah cara hidup manusia secara menyeluruh.

"Keadaan ini mungkin menyebabkan berlaku migrasi bermusim ke kawasan yang lebih dingin pada bulan tertentu sebelum kembali semula apabila suhu reda.

"Bagaimanapun, bukan semua golongan mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian," katanya.

Pengurangan risiko memerlukan kesepakatan global dalam mengurangkan pelepasan karbon, namun langkah adaptasi tempatan juga perlu dipercepatkan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah penanaman lebih banyak pokok di kawasan bandar bagi mengurangkan kesan pulau haba, selain pewujudan kawasan berair yang mampu menyerap dan mengurangkan haba secara lebih berkesan.

"Pada masa sama, perhatian perlu diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak melalui penyediaan pusat penyejukan ketika gelombang haba berlaku," katanya.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata negara ini berada pada tahap rentan tinggi terhadap kesan perubahan iklim termasuk gelombang haba dan banjir besar.

"Kita perlu lebih bersedia dan mengenal pasti emerging risk atau risiko baharu yang semakin sukar diramal.

"Kita boleh jadikan kejadian cuaca ekstrem seperti Siklon Tropika Senyar yang membawa kesan bencana di Sumatera pada November tahun lalu sebagai teladan," katanya.

Pulau haba di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru

Berdasarkan data cerapan Jabatan Meteorologi Malaysia, kadar kenaikan purata suhu harian negara direkodkan sekitar 0.19 darjah Celsius bagi setiap dekad.

Purata suhu maksimum harian jangka panjang negara meningkat pada kadar 0.14 darjah Celsius setiap dekad, manakala suhu minimum harian meningkat lebih pantas pada kadar 0.26 darjah Celsius.

Ketua Pengarah METMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu menyebabkan suhu waktu malam meningkat lebih cepat berbanding suhu pada waktu siang.

"Trend itu membuktikan pemanasan yang berlaku bukan lagi bersifat sementara. Selain peningkatan suhu, perubahan corak hujan turut diperhatikan termasuk taburan hujan semakin tidak menentu serta peningkatan kejadian hujan lebat dalam tempoh singkat.

"Trend peningkatan terutama di kawasan pesisir meningkatkan risiko banjir dan menjejaskan komuniti pantai.

"Faktor urbanisasi, penebangan hutan dan perubahan guna tanah turut mempercepat peningkatan suhu khususnya di bandar besar.

"Kesan pulau haba bandar menjadi lebih ketara ketika episod gelombang haba apabila haba yang terperangkap meningkatkan lagi suhu sedia ada," katanya.

Di Malaysia, fenomena itu didapati lebih jelas di kawasan pantai barat Semenanjung termasuk Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru. Analisis stesen cerapan menunjukkan Bayan Lepas merekodkan kadar peningkatan suhu sekitar 0.35 darjah Celsius setiap dekad, diikuti Subang (0.37 darjah Celsius) dan Senai (0.31 darjah Celsius).

Menjelang 2035, purata suhu harian Malaysia dijangka mencecah sekitar 27.7 darjah Celsius iaitu 0.53 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata klimatologi 1991 hingga 2020.

Pada masa sama, Malaysia dijangka berdepan gelombang haba yang lebih panjang dan lebih kerap sejajar dapatan laporan State of Climate Action 2025 oleh World Meteorological Organization.

Katanya, gelombang haba lazimnya berlaku antara Mac hingga April, manakala cuaca panas bermula pada penghujung Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Monsun Barat Daya.

"METMalaysia mentakrifkan gelombang haba apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius secara berterusan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Gelombang haba ekstrem pula berlaku apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius.

"Setakat ini, hanya sekali suhu maksimum negara merekodkan bacaan melebihi 40 darjah Celsius iaitu di Chuping, Perlis pada 9 April 1998," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url