Beliau berkata, penguatkuasaan itu susulan pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang diluluskan di Parlimen pada 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerangka perundangan berkaitan ekosistem kredit pengguna.
Armizan berkata, antara isu yang sering menjadi keluhan rakyat sebelum ini ialah transaksi sewa beli bagi pembelian kenderaan, khususnya membabitkan beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun pengguna membuat penyelesaian awal pinjaman.
"Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman," katanya.
Antara inti pati utama pindaan berkenaan ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Peraturan 78.
Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.
Sebagai ganti, pindaan itu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
"Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna," katanya.
Armizan berkata, pindaan berkenaan turut membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik, selaras dengan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian sewa beli.
Beliau berkata, pindaan itu juga memperkenalkan keperluan dua pelaksanaan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
"Reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara," katanya.

