Dinosaur gergasi terbesar di Asia Tenggara ditemui di Thailand
Sekumpulan saintis mengenal pasti spesies baharu dinosaur gergasi berleher panjang hasil penemuan fosil di timur laut Thailand, yang dipercayai sebagai dinosaur terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara.
Dinosaur itu dinamakan Nagatitan chaiyaphumensis dan dianggarkan seberat kira-kira 27 tan, bersamaan sembilan ekor gajah Asia dewasa, serta berukuran sekitar 27 meter panjang.
Menurut laporan agensi berita Washington Times, sekumpulan penyelidik dari Thailand dan United Kingdom (UK) mengumumkan penemuan spesies baharu itu dengan nama saintifik 'Nagatitan chaiyaphumensis' dalam jurnal 'Scientific Reports' semalam.
Dinosaur itu diklasifikasikan sebagai sauropod, iaitu sejenis dinosaur herbivor berleher panjang yang turut merangkumi Brontosaurus.
Menurut penulis kajian, Nagatitan chaiyaphumensis adalah dinosaur terbesar daripada subjenis titanosauriform yang pernah ditemui di Asia Tenggara.
Ia dianggarkan mempunyai berat antara 27.5 hingga 30.8 tan.
Penyelidik, Sita Manitkoon memberitahu National Geographic bahawa penemuan itu, yang dianggarkan sepanjang kira-kira 27 meter, mungkin adalah dinosaur terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara setakat ini.
Formasi tempat fosil itu ditemui berusia kira-kira 113 juta tahun, menurut National Geographic.
Namun, fosil berkenaan hanya ditemui oleh seorang penduduk tempatan pada 2016 selepas beliau melihat batu-batu pelik di tebing sebuah kolam.
Penyelidik, Thitiwoot Sethapanicsakul berpendapat penemuan itu mungkin yang terakhir seumpamanya, dengan berkata bahawa fosil itu ditemui dalam formasi batuan dinosaur paling muda di Thailand.
"Batuan lebih muda yang terbentuk pada penghujung era dinosaur berkemungkinan tidak mengandungi tinggalan dinosaur kerana kawasan berkenaan ketika itu telah menjadi laut cetek.
"Jadi, ini mungkin sauropod besar yang terakhir atau paling terkini yang akan kita temui di Asia Tenggara," katanya.
- AGENSI

