Haram guna duit yuran sebagai hadiah pertandingan

 


Tawaran ganjaran lumayan. Itu trend penganjuran pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan hasil caj yuran penyertaan kepada peserta sekali gus terpalit dengan dosa perjudian semakin popular kebelakangan ini.

Secara tidak sedar, pertandingan yang menjadikan hadiah lumayan hasil daripada kutipan caj yuran penyertaan sudah mempunyai elemen perjudian.

Amalan menjadikan yuran penyertaan pertandingan sebagai tabung hadiah pemenang semakin mendapat perhatian apabila ia didakwa berpotensi mengandungi unsur perjudian yang ditegah dalam Islam.

Ada garis pemisah jelas

Perkara itu dibangkitkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al Hafiz yang menjelaskan bahawa terdapat garis pemisah jelas antara pertandingan yang dibenarkan dan yang bercanggah dengan syarak.

Menurutnya, sesuatu pertandingan boleh dikategorikan sebagai judi apabila memenuhi dua kriteria utama.

"Pertama, apabila yuran penyertaan peserta dikumpulkan dan digunakan sebagai hadiah kemenangan. Dalam situasi ini, pemenang memperoleh keuntungan hasil kerugian peserta lain, sekali gus mewujudkan elemen pertaruhan yang dilarang.

"Kedua, pertandingan yang bergantung sepenuhnya kepada nasib seperti cabutan bertuah berbayar tanpa membabitkan sebarang usaha atau kemahiran juga termasuk dalam kategori berkenaan.

"Ringkasnya, jika seseorang perlu membayar untuk peluang menang dan hadiah itu datang daripada bayaran peserta sendiri, maka ia mempunyai ciri perjudian," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusry Affandy berkata, penggunaan yuran sebagai tabung hadiah secara langsung memenuhi definisi judi dalam perspektif fiqh.

Beliau berkata, setiap peserta sebenarnya mempertaruhkan wang mereka dengan harapan memperoleh pulangan lebih besar.

"Jika kalah, wang terbabit hilang dan menjadi habuan kepada pemenang.

"Terdapat beberapa kaedah yang boleh memastikan pertandingan kekal halal dan patuh syariah, antaranya ialah hadiah disediakan oleh penaja pihak ketiga yang tidak terbabit sebagai peserta atau menggunakan dana penganjur sendiri seperti bajet pemasaran tanpa menyentuh yuran peserta.

"Selain itu, jika yuran dikenakan, ia mestilah digunakan khusus untuk kos pengurusan seperti sewaan, logistik dan operasi, bukan sebagai hadiah," katanya.

Tanya penganjur dari mana sumber hadiah

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai mana-mana pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan tetapi memerlukan bayaran penyertaan.

Menurutnya, jangan teragak-agak untuk bertanya kepada penganjur daripada mana datangnya sumber hadiah.

"Sikap ini penting bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam bentuk perjudian moden yang berselindung di sebalik nama pertandingan," katanya.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url