Diari Zara Qairina diserah kepada polis walaupun diminta ibu
Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir ada meminta tiga diari milik arwah daripada pihak sekolah ketika berada di unit kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.
Ketua warden, Azhari Abd Sagap memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ibu arwah, Noraidah Lamat ada menyatakan minat arwah yang suka menulis dan meminta diari milik arwah diberikan kepadanya.
Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu memberitahu perkara berkenaan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika ditanya peguam ibu Zara, Shahlan Jufri.
Azhari berkata, berdasarkan permintaan ibu arwah Zara Qairina itulah mereka mengetahui mengenai Allahyarham yang memiliki beberapa diari.
"Ibu zara cakap dia rajin menulis dan dia minta ini (diari) daripada kami. Dari situlah kami tahu Zara ini ada diari dan ibu dia cakap ketika di unit kecemasan, ada tiga (diari) dan pada 16 Julai itu kami baru jumpa dua," katanya.
Bagaimanapun, katanya diari itu tidak diserahkan kepada ibu arwah atas arahan pegawai penyiasat polis.
Shahlan: Ibu Zara beritahu siapa (mengenai arwah mempunyai diari)?
Azhari: Dia beritahu kami dan dia juga cerita dengan kami mengenai Zara di rumah yang ceria-ceria dan rajin memulis-nulis dan dia mahu dapatkan buku (diari) itu. Dia mintalah dengan kami yang ada di unit kecemasan pada masa itu.
Shahlan: Siapa 'kami' di unit kecemasan pada masa itu?
Azhari: Saya, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pengetua dan Cikgu Asimah yang ikut naik ambulans pada pagi itu.
Shahlan: Kenapa diari itu tidak diberi kepada ibu Zara walaupun itu permintaan ibu Zara?
Azhari: Kenapa? (Kerana) siasatan sekolah pelajar pun ada cerita pasal ini (diari). Semasa siasatan di mussolah, pelajar ada cerita pasal diari ini dan ada beberapa orang pelajar yang sudah pernah membaca diari Zara ini.
Shahlan: Jadi, punca diari itu tidak diberi kepada ibu Zara adalah disebabkan jawapan kamu di soalan 144 (dalam nota prosiding)?
Azhari: Sebab ada page yang kami baca dalam diari ini, dua page itu kami serah kepada polis, saya hantar melalui gambar saja.
Shahlan: Apa yang halang kamu beri diari itu kepada ibu?
Azhari: Asalnya memang saya mahu bagi kepada ibu Zara pada 17 Julai tapi semasa saya mahu ke hospital dan dalam perjalanan saya ke hospital, pegawai penyiasat arahkan saya simpan dulu diari itu.
Shahlan: Ada kamu beritahu kepada ibu Zara yang diari ini tidak boleh diberikan kepadanya?
Azhari: Saya beritahu kepada ibu Zara, minta maaf puan saya telah serahkan diari itu kepada polis pada petang 17 Julai. Itu yang saya ucapkan kepada ibu Zara.
Terdahulu, dalam keterangan bertulis yang dibacanya, Azhari memaklumkan penemuan dua diari, masing-masing berwarna hijau dan ungu pada pagi 16 Julai lalu berdasarkan makluman seorang guru kepadanya yang mana ketika itu, beliau berada di HQE.
Selepas itu, katanya pada petang keesokannya, seorang lagi guru menjumpai sebuah lagi diari dan buku latihan ketika mengemas barang arwah Zara Qairina di almari asramanya.
Semua diari itu, katanya diserahkan kepada seorang guru sebelum diserahkan kepadanya pada 18 Julai lalu dan seterusnya diserahkan pula kepada pegawai penyiasat polis.
Selain itu, katanya beliau turut menerima 15 helaian kertas diari milik Zara daripada seorang guru pada tengah hari 19 Julai lalu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat polis pada jam 3 petang hari yang sama.
Sumber dari Berita Harian