Pembeli semakin cenderung pilih kereta mampu milik, jenama nasional
Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif negara kembali mencatat momentum positif pada April lalu apabila pemain jenama nasional terus menjadi tunjang kestabilan sektor ketika pengguna semakin cenderung memilih kenderaan mampu milik dalam persekitaran ekonomi mencabar.
Menurut BIMB Securities Research, PERODUA mendahului jualan bulan lalu dengan penghantaran sebanyak 32,065 unit, meningkat 31 peratus bulan ke bulan dan 17 peratus tahun ke tahun, disokong penstabilan operasi pemasangan serta permintaan kukuh bagi model segmen kemasukan.
PROTON pula mencatat prestasi lebih memberangsangkan apabila jualannya melonjak kepada 17,980 unit, naik 18 peratus bulan ke bulan dan 48 peratus tahun ke tahun hasil penambahbaikan campuran model serta peningkatan minat terhadap varian elektrifikasi.
Firma penyelidikan itu berkata, dominasi jenama nasional membuktikan daya tahan tinggi pemain tempatan ketika pengguna semakin berhati-hati terhadap perbelanjaan dan memilih alternatif lebih mampu milik berbanding model premium.
"Secara keseluruhan, TIV April meningkat 14 peratus bulan ke bulan dan 16 peratus tahun ke tahun kepada 72,113 unit, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif empat bulan pertama tahun ini sebanyak 252,314 unit," katanya dalam satu nota penyelidikan.
BIMB Securities Research berkata, pencapaian itu mewakili 34 peratus daripada unjuran penuh tahun sebanyak 740,000 unit yang masih dianggap selari dengan jangkaan pasaran semasa.
Katanya, lonjakan ketara jualan bulan ke bulan itu sebahagian besarnya didorong faktor sekali sahaja susulan normalisasi pengeluaran selepas penutupan operasi sempena Aidilfitri pada Mac lalu, selain pengeluar berusaha mengurangkan tempahan tertunggak.
"Jualan kenderaan penumpang menjadi pemacu utama pertumbuhan, manakala jumlah kenderaan komersial yang mendatar mencerminkan langkah lebih berhati-hati dalam pengembangan armada," katanya.
Bagi segmen bukan nasional pula, jualan mencatat penurunan tujuh peratus bulan ke bulan kepada 22,068 unit apabila permintaan terhadap jenama asing semakin perlahan.
Menurut BIMB Securities Research, perbelanjaan bersifat budi bicara dalam kalangan pembeli premium mula terjejas berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan risiko geopolitik membabitkan ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Katanya, ketegangan berterusan itu menyebabkan harga minyak dunia kekal tidak menentu, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api domestik di Malaysia.
"Keadaan ini mendorong sebahagian pembeli gaya hidup menangguhkan pembelian kenderaan berharga tinggi buat sementara waktu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, segmen kenderaan elektrik (EV) terus menunjukkan pertumbuhan stabil apabila pendaftaran meningkat kepada kira-kira 5,800 unit dengan kadar penembusan mencecah antara tujuh hingga lapan peratus daripada keseluruhan TIV.
PROTON menerusi siri e.MAS menguasai pasaran EV dengan pegangan 40 peratus bersamaan kira-kira 2,400 unit, manakala jenama asing seperti BYD meraih 24 peratus pegangan pasaran.
Selain itu, Chery mencatat pegangan 9.5 peratus, diikuti Zeekr sebanyak 6.1 peratus.
BIMB Securities Research berkata, momentum EV ketika ini dipacu peningkatan kesedaran pengguna serta langkah berjaga-jaga terhadap ketidaktentuan harga bahan api apabila lebih ramai pembeli tempatan mula melihat EV sebagai pilihan jangka panjang.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan jualan kenderaan akan kembali sederhana pada Mei 2026 selepas lonjakan sementara pada April berikutan penyelesaian tempahan tertunggak pasca perayaan.
Dalam masa sama, pelaksanaan had subsidi bahan api sebanyak 200 liter sebulan dijangka mengubah corak perbelanjaan pengguna dan kos operasi dalam sektor logistik serta pembuatan tempatan.
"Dalam tempoh lebih panjang, dasar pengurusan subsidi itu dijangka menggalakkan isi rumah menilai semula perbelanjaan pengangkutan masing-masing, sekali gus menjadi pemangkin beransur-ansur kepada pertumbuhan segmen EV dan hibrid plug-in (PHEV)," katanya.
Sumber : Berita Harian

