Honda Vario 125 Street serba baharu dilancar pada harga bermula RM7,468
Boon Siew Honda Sdn Bhd melancarkan Honda Vario 125 Street serba baharu pada harga bermula RM7,468, sekali gus memperkukuh penawaran skuter automatik dalam segmen bandar di Malaysia.
Model berkenaan membuat kemunculan sulung di pasaran tempatan menerusi sesi pratonton eksklusif kepada media di stor pengalaman 'pop-up' khas di REXKL, hari ini.
Pelancaran itu menandakan pengenalan rasmi varian baharu yang disasarkan kepada penunggang urban, dengan gabungan reka bentuk berinspirasikan gaya jalanan serta kepraktisan penggunaan harian.
Mengangkat tema 'Ini Era Vario Aku', acara 'pop-up' berkenaan menampilkan elemen budaya jalanan yang disesuaikan dengan cita rasa golongan muda, selari dengan fungsi, reka bentuk dan prestasi Vario 125 Street.
Ia dibuka kepada umum pada 10 dan 11 April 2026 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, manakala 50 individu terawal yang mendaftar berpeluang memenangi sama ada kemeja-T eksklusif Katun atau pelekat rekaan artis berkenaan.
Kerjasama istimewa bersama ilustrator grafiti tempatan, Katun, turut menyaksikan sentuhan kreatifnya diterapkan pada set penutup badan khas Vario 125 Street, yang dipamerkan sepanjang acara berlangsung.

