Pengambilan 20,000 Guru Baharu, Permohonan Dibuka 2 Mac 2026
Pengambilan guru baharu yang baru sahaja diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 akan diambil secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan pendidikan di sekolah seluruh negara. Berita baik buat pencari kerja, khususnya mereka yang berminat membina kerjaya dalam bidang perguruan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi satu hantaran di Facebook, sambil menjemput calon yang berkelayakan untuk merebut peluang berkhidmat sebagai pendidik.
Menurut Fadhlina, inisiatif pengambilan guru baharu ini merupakan sebahagian daripada persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, termasuk persediaan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.


