"Dengan meminta mangsa untuk berurus niaga melalui pengendali DAX berdaftar SC, pelaku memberi gambaran palsu kepada mangsa mengenai kesahihan skim itu," katanya.
Bagi penipuan pelaburan dengan menyamar sebagai penyedia peluang pekerjaan, SC berkata, pelaku biasanya akan mencari mangsa melalui platform pesanan sosial iaitu WhatsApp dan Telegram.
Katanya, mangsa akan dibayar token untuk melakukan tugas mudah seperti menulis ulasan dan 'meyukai/like' di halaman media sosial.
Setelah mendapat kepercayaan mangsa, pelaku akan meyakinkan mangsa untuk melabur dalam mata wang kripto atau skim saham yang tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi.
Wang akan diminta untuk dipindahkan ke dalam akaun bank keldai, yang akhirnya akan lesap.
Mengenai penipuan pelaburan melalui aplikasi temu janji, SC berkata, pelaku biasanya akan berkawan dengan mangsa melalui media sosial atau laman janji temu.
Selepas menggoda mangsa ke dalam hubungan romantis, pelaku akan meyakinkan mangsa untuk melabur dalam mata wang kripto atau skim saham yang tidak wujud dengan jaminan pulangan tinggi.
"Mangsa akan diminta memasukkan wang ke dalam akaun bank keldai. Lama-kelamaan, mangsa akan sedar bahawa hubungan itu adalah palsu dan pelaburan wang telah disalahgunakan," katanya.
Guna nama tokoh terkenal
Sebelum ini, ada mangsa mengakui tertarik untuk menyertai skim pelaburan kerana menjanjikan yang tinggi, selain syarikat pelaburan itu menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan sebagai pelanggan mereka sedangkan mereka tidak terbabit dengan syarikat berkenaan.
Sebelum ini media mendedahkan ada lebih 200 syarikat menawarkan skim ala patuh syariah yang didakwa menipu pelabur membabitkan kerugian RM1 bilion. Ia masih dalam siasatan SC.
Tahun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat purata 15 kes pelaburan tidak wujud setiap hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata pihaknya menerima 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud babitkan kerugian RM364,537,421.
Daripada 4,435 kes pelaburan tidak wujud itu, sebanyak 4,051 kes adalah berkenaan pelaburan secara dalam talian, manakala 384 kes lagi pelaburan secara bersemuka.
Ada antara kes pelaburan tidak wujud menawarkan keuntungan setinggi 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat.
Menurut polis, sebanyak 32,462 mangsa mengalami kerugian lebih RM1.3 bilion pada 2023 menerusi skim penipuan pelaburan, meningkat berbanding 23,608 mangsa dengan jumlah kerugian RM771 juta pada 2022.


