Kerap guna kemudahan hospital punca kos insurans meningkat
Peningkatan premium insurans perubatan di Malaysia bukan semata-mata berpunca daripada hospital menaikkan harga rawatan, sebaliknya lebih didorong oleh lonjakan kekerapan penggunaan kemudahan kesihatan, termasuk kemasukan ke wad bagi penyakit yang sepatutnya boleh dirawat di klinik.
Laporan terbaharu Bank Dunia bertajuk 'Cost Drivers in Malaysia's Medical and Health Insurance/Takaful Sector: A First Look at the Centralized Claims Database' menunjukkan pertumbuhan kos sektor Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) bagi tempoh 2022 hingga 2024 sebahagian besarnya dipacu oleh faktor volum atau penggunaan.
Analisis itu mendapati sebanyak dua pertiga daripada pertumbuhan kos keseluruhan datang daripada peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan, manakala kenaikan harga rawatan hanya menyumbang sekitar satu perlima.
Dapatan itu menepis tanggapan umum bahawa premium meningkat semata-mata kerana caj hospital lebih mahal.
Secara lebih terperinci, faktor kekerapan penggunaan menyumbang 66.8 peratus kepada pertumbuhan kos antara 2022 hingga 2024, manakala faktor harga menyumbang 26.1 peratus.
Baki selebihnya berpunca daripada perubahan intensiti rawatan dan campuran jenis perkhidmatan.
Laporan itu turut menyifatkan sebahagian besar kemasukan ke hospital sebagai berpotensi boleh dielakkan, khususnya melibatkan Ambulatory Care Sensitive Conditions (ACSC), iaitu penyakit yang lazimnya boleh diurus di peringkat penjagaan primer atau klinik pesakit luar.
Pada 2024, sebanyak 23.62 peratus daripada keseluruhan kemasukan pesakit dalam di bawah tuntutan MHIT adalah bagi kategori ACSC.
Nisbah itu meningkat berbanding 22.09 peratus pada 2023 dan 20.01 peratus pada 2022, menunjukkan trend penggunaan wad yang semakin tinggi bagi kes yang berpotensi dielakkan.
Antara semua penyakit dalam kategori itu, cirit-birit merekodkan jumlah episod kemasukan hospital tertinggi dengan 168,343 kes bagi tempoh 2022 hingga 2024. Kes berkenaan turut membabitkan jumlah kos rawatan pesakit dalam sebanyak RM910 juta.
Jangkitan saluran pernafasan atas pula mencatat 96,929 episod kemasukan dengan kos RM856 juta, manakala jangkitan saluran pernafasan bawah merekodkan 93,840 episod membabitkan kos RM564 juta.
Walaupun jumlah kes lebih rendah, penyakit jantung iskemik menjadi beban kos tertinggi dalam kalangan ACSC dengan 52,012 episod, tetapi menelan belanja rawatan sebanyak RM1.14 bilion, sekali gus menunjukkan kos setiap kes jauh lebih tinggi.
Hipertensi primer pula mencatat 23,274 episod kemasukan hospital dengan kos RM224 juta.
Bank Dunia menegaskan, kombinasi penyakit berjumlah tinggi dan penyakit kronik berkos mahal menjadi pemacu utama kemasukan hospital yang berpotensi boleh dielakkan.
Laporan itu turut menyatakan terdapat petunjuk unsur 'moral hazard' dalam corak penggunaan perkhidmatan kesihatan.
Dalam konteks itu, pesakit cenderung menggunakan lebih banyak rawatan apabila kos ditanggung insurans, manakala penyedia perkhidmatan mempunyai insentif menambah jumlah perkhidmatan yang diberikan.
Bank Dunia mendapati nilai tuntutan adalah jauh lebih tinggi apabila wujud potensi 'moral hazard'.
Keadaan ini selari dengan penemuan bahawa bahagian caj Perkhidmatan dan Pembekalan Hospital (HSS) dalam tuntutan pesakit dalam melebihi 70 peratus serta terus meningkat.
Selain itu, terdapat jurang ketara antara hospital dari segi kadar kemasukan ACSC.
Hospital median merekodkan sekitar 22 hingga 23 peratus kemasukan berpotensi boleh dielakkan, namun ada hospital yang melebihi 40 peratus.
Dapatan itu menunjukkan amalan kemasukan pesakit tidak seragam antara fasiliti dan membuka ruang kepada penambahbaikan dari sudut kecekapan sistem penjagaan kesihatan swasta.
Sehubungan itu, Bank Dunia mencadangkan pengurusan penggunaan perkhidmatan berasaskan laluan rawatan khusus bagi penyakit ACSC seperti cirit-birit dan gastroenteritis supaya pesakit dirawat pada tahap penjagaan yang sesuai.
Institusi itu juga mencadangkan reka bentuk semula produk insurans supaya lebih menumpukan rawatan pencegahan dan pesakit luar, berbanding terlalu tertumpu kepada perlindungan kemasukan hospital.
Langkah itu dilihat penting bagi mengekang pertumbuhan tuntutan tidak perlu, sekali gus membantu menstabilkan premium insurans perubatan yang semakin membebankan pengguna.
Sumber : Berita Harian

