Harga diesel meningkat lebih pantas susulan kekurangan bekalan

 


Harga diesel kini meningkat lebih pantas berbanding petrol susulan kekangan struktur bekalan, permintaan industri yang berterusan serta fleksibiliti terhad dalam sistem penapisan, menurut firma penyelidikan tenaga Rystad Energy.

Pengarah Urusan bagi Asia Pasifik, Vijay Krishnan berkata pasaran global kini berdepan kekurangan diesel yang ketara memandangkan peranannya penting dalam pengangkutan, pembuatan dan aktiviti perindustrian, sekaligus memastikan permintaan kekal stabil walaupun berlaku gangguan.

"Seluruh dunia berdepan dengan kekurangan diesel, bukan sahaja di Malaysia," katanya kepada Bernama pada hari terakhir Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC Asia) yang berlangsung tiga hari di sini. OTC Asia adalah acara dwitahunan utama bagi profesional tenaga, memberi fokus kepada kemajuan sumber luar pesisir, teknologi dan kemampanan alam sekitar di rantau ini.

Vijay berkata ketidakseimbangan ini diburukkan lagi oleh struktur sistem penapisan Asia, yang memiliki banyak kemudahan untuk memproses minyak mentah masam sederhana dan berat daripada Asia Barat. Kebergantungan itu mengehadkan keupayaan kilang untuk beralih dengan cepat kepada gred lebih ringan apabila bekalan terganggu, sekali gus menjejaskan pengeluaran produk tapisan utama seperti diesel.

"Sebarang kejutan bekalan di Asia Barat terus memberi kesan kepada pasaran produk, dengan impak paling ketara pada diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan nafta," katanya.

Vijay menambah bahawa perbezaan harga diesel dan petrol turut dipengaruhi skala permintaan diesel global, terutamanya daripada aktiviti industri dan pengangkutan barang merentasi ekonomi Asia, termasuk Malaysia. Permintaan diesel kekal kukuh kerana peranannya menyokong pengeluaran ekonomi, menjadikannya lebih sukar untuk bekalan bersaing semasa gangguan, manakala pasaran LPG pula lebih terdedah kepada tekanan harga.

Beliau menekankan bahawa walaupun senario gencatan senjata dijangka sekitar pertengahan April, pembukaan semula laluan transit utama seperti Selat Hormuz dan pemulihan rantaian bekalan yang terganggu memerlukan masa, sekali gus mengekalkan keadaan pasaran yang terhad.

Kos perkapalan dan insurans yang tinggi turut menambah tekanan harga, dengan premium kapal yang melintasi Selat Hormuz meningkat mendadak, menjadikan struktur kos perdagangan tenaga global lebih tinggi. Kos tambahan ini, digabungkan dengan pemulihan beransur-ansur dalam pengeluaran dan logistik, dijangka mengekalkan harga tenaga tinggi sehingga 2027.

Vijay turut memberi amaran bahawa gangguan yang berpanjangan, termasuk sekiranya Selat Hormuz ditutup sehingga 30 hari, akan menjejaskan operasi penapisan global secara signifikan, bukan sahaja di Malaysia, malah menjejaskan aliran bahan mentah dan rantaian bekalan produk lain termasuk helium, ammonia dan urea.

Beliau berkata kerajaan dan syarikat penapisan mengutamakan pengeluaran diesel dan LPG kerana kepentingannya untuk industri, sekali gus mengorbankan bekalan petrol. Negara seperti Indonesia berkemungkinan akan berdepan tekanan lebih besar jika gangguan berlanjutan.

Vijay memuji pengurusan Malaysia terhadap situasi ini melalui pelarasan harga bahan api walaupun membebankan pengguna, tetapi menegaskan dasar berterusan diperlukan sekiranya gangguan bekalan berpanjangan. Bagaimanapun, beliau memberi amaran jika konflik melampaui jangkaan, kejutan bekalan boleh melebihi gangguan ekonomi semasa pandemik COVID-19, menekankan keperluan kerajaan kekal pada dasar tepat sambil bersedia menghadapi kekangan bekalan lebih teruk.

– BERNAMA

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url