Objek disyaki serpihan angkasa dikesan di ruang udara Sarawak
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) mengesahkan menerima maklumat awal mengenai penampakan objek disyaki serpihan angkasa di ruang udara Sarawak, dua hari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, MOSTI memaklumkan, setakat ini tiada laporan rasmi mengenai penemuan serpihan berkenaan di darat atau perairan.
"Berdasarkan penelitian awal video tular, objek terbabit dipercayai kemungkinan sebahagian serpihan objek angkasa, namun pengesahan lanjut masih dalam siasatan. Pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh BPAngkasa dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)," menurut MOSTI.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa di talian 03-8885 8685 atau emel bpadg@mosti.gov.my.
Baru-baru ini, tular di media sosial kandungan video berdurasi kira-kira 10 saat daripada beberapa warganet yang mendakwa penampakan objek bercahaya dipercayai jatuh dari langit sedang melintasi ruang udara sebelum jatuh ke bumi.

