Top Ad 728x90

, ,

Teks Ucapan Belanjawan Malaysia 2021

ucapan penuh belanjawan 2021

 

Datuk Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali kedua sekarang."

MUKADIMAH

1. Bismillahirrahmanirrahim, atas segalanya, kepada Tuhan kita memohon pertolongan dan petunjuk. Selawat dan salam serta seluruh puji-pujian buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihi Wassalam. Begitu juga buat Datuk Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, serta seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi.

2. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, saya diberi peluang untuk membentangkan Belanjawan 2021 padakala negara serta seluruh isinya amat perlu dibantu.

3. Kepada saudara-saudari yang sedang melihat di kaca tv, yang mendengar di radio, atau yang menelaah di media baharu, tidak kira walau di mana anda berada – hari ini ialah hari yang dinanti-nanti, untuk diperdengarkan segala banyak perkhabaran baik, yang insya-Allah membawa kelegaan kepada semua.

Datuk Yang di-Pertua,

4. Merujuk kepada titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Baginda telah menzahirkan nasihat buat pedoman kita semua. Baginda mengingatkan, semua pihak untuk mengenepikan segala perbezaan, serta bersatu padu dalam usaha membanteras pandemik COVID-19. Sesungguhnya Kerajaan amat menghargai titah dan sokongan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahawa Belanjawan 2021 adalah amat penting, bagi memelihara

kesejahteraan rakyat dan negara.

5. Maka dengan rendah dirinya, saya mengajak rakan-rakan Yang Berhormat untuk menghayati dan menilai pembentangan Belanjawan ini dengan semangat perpaduan, hati terbuka dan berjiwa besar.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI 2020

Datuk Yang di-Pertua,

6. Tahun 2020 bagi Malaysia dipenuhi dengan peristiwa mencabar. Tidak pernah lagi, dalam sejarah moden manusiawi, sejenis wabak memberi impak begitu besar sekali. Penularan COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa, malah turut menjerut ekonomi negara-negara sedunia. Tiada garis panduan mahupun sebarang petunjuk lampau yang boleh dijadikan rujukan, kerana this is an unprecedented crisis, dengan izin.

7. Krisis ini memberi kejutan permintaan dan penawaran, mengganggu rantaian bekalan serta menekan ekosistem perniagaan. Kita juga terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan persekitaran luar, kejatuhan harga komoditi dan ruang fiskal yang terhad.

8. Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF mengunjurkan, ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif di paras 4.4 peratus pada tahun ini. Perdagangan dunia juga dijangka merosot pada kadar 10.4 peratus. Krisis yang berlaku pada masa ini turut menjejaskan ekonomi di lebih 150 buah negara. Ia merupakan krisis ekonomi terburuk sejak era the Great Depression pada sekitar tahun 1930-an.

9. Sejak awal lagi, Kerajaan telah meletakkan keutamaan melindungi rakyat melebihi segala perkara lain. Itulah sebabnya Kerajaan bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP, walaupun kita tahu tindakan selama hampir dua bulan ini memberi kesan mendadak kepada aktiviti ekonomi dan sosial rakyat. Sewaktu itu, Bank Negara Malaysia menganggarkan negara mengalami kerugian di antara 2.0 hingga 2.4 bilion

ringgit sehari dengan penutupan ekonomi.

10. Bagi mengimbangi antara kewajiban melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi, Kerajaan perlu bertindak pantas. Oleh itu, pelan pemulihan ekonomi secara berfasa telah diperkenalkan menggunakan pendekatan 6R iaitu Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalize dan Reform.

11. Semasa peringkat Resolve atau Ketegasan, tumpuan Kerajaan adalah untuk meratakan lekuk jangkitan COVID-19. Sementara itu, ketika peringkat Resilience atau Ketahanan, pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan bernilai 260 bilion ringgit telah diperkenalkan bagi menangani kesan penutupan ekonomi. Bermula Mei 2020, setelah lekuk jangkitan COVID-19 berjaya diratakan, kita memasuki fasa Restart atau Memulakan Semula yang menyaksikan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur. Selanjutnya, negara beransur ke peringkat Recovery atau Pemulihan, di mana Kerajaan menggerakkan pakej rangsangan PENJANA berjumlah 35 bilion ringgit dan KITA PRIHATIN bernilai 10 bilion ringgit. Keseluruhan pakej rangsangan yang diumumkan Kerajaan bernilai 305 bilion ringgit atau 20.7 peratus daripada KDNK.

12. Agensi LAKSANA telah ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan pakej rangsangan dibuat dengan cekap, telus dan berpandukan data. Berdasarkan kaji selidik LAKSANA tentang keberkesanan pakej PRIHATIN, lebih 80 peratus daripada 11 ribu responden didapati berpuas hati. Saya berterima kasih kepada LAKSANA dan lebih 53 agensi Kerajaan yang telah berganding bahu, berkongsi data, dan bekerjasama erat dalam memastikan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ini.

13. Segala inisiatif yang dilaksanakan merupakan counter-cyclical measures, bertujuan mengurangkan dampak COVID-19. Alhamdulillah, kita dapat melihat pertumbuhan KDNK negara telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada negatif 28.6 peratus pada April 2020 kepada negatif 3.2 peratus pada Jun. Anggaran awal KDNK bagi bulan Julai hingga September turut menunjukkan tren pemulihan yang memberangsangkan.

14. Sehubungan itu, mengambil kira persekitaran semasa, pertumbuhan ekonomi tahun 2020 telah disemak semula dan dianggar menyusut sebanyak 4.5 peratus. Pada tahun 2021 pula, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus.

15. Suatu yang penting untuk disedari, kita telah membuktikan kepada masyarakat dunia yang Malaysia mampu menguruskan ekonominya dalam keadaan mencabar apa sekalipun. Baik dalam sukar lebih lagi senang. Natijah dari pengalaman melalui pelbagai krisis ekonomi sebelum ini kita tempa menjadi pasak iltizam yang mengikat kita: untuk teguh berikhtiar, bijak kala bertindak, dan yakin pada gemblengan usaha.

16. Saya cukup tersentuh dengan semangat #KitaJagaKita dalam kalangan rakyat Malaysia – saya ingat saudara Rosnizam Ishak, berasal dari Bertam, yang memulakan perniagaan kambing perap menggunakan duit Bantuan Prihatin Nasional dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat; ada juga Encik Pajan Singh a/l Kirpal Singh, yang menyediakan penginapan percuma untuk barisan hadapan yang bertugas di Kuantan dalam tempoh PKP sehingga PKPP; dan Puan Michelle Kugan, usahawan barangan kristal dan mutiara, yang memanfaatkan pinjaman mikro di bawah TEKUN untuk terus mengekalkan perniagaan beliau di Tuaran, Sabah. Atas semangat dan kudrat inilah Belanjawan 2021 telah dirangka untuk rakyat Malaysia dan bertemakan, "Teguh Kita, Menang Bersama".

MATLAMAT BELANJAWAN 2021

Datuk Yang di-Pertua,

17. Dalam merangka Belanjawan 2021, buat pertama kalinya, siri jelajah dan sesi konsultasi ke seluruh negara telah dilaksanakan merentasi 14 buah negeri, lebih 38 sesi dialog melibatkan lebih 40 bidang perniagaan dan perusahaan. Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan Kementerian Kerajaan Persekutuan, kepimpinan Kerajaan Negeri, captains of industry, ahli-ahli akademik, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin parti politik dan yang paling utama pelbagai lapisan rakyat Malaysia dari belia, wanita, ibu bapa hingga warga emas. Saya ingin merakamkan jutaan perhargaan kepada semua pihak yang telah meluangkan masa dan mengemukakan idea serta cadangan.

18. Sehubungan itu, Belanjawan 2021 yang merupakan peringkat ke-5 strategi 6R iaitu Revitalize atau memperkasa, dirangka berdasarkan Tiga Matlamat Induk:

Pertama: Kesejahteraan Rakyat;

Kedua: Kelangsungan Perniagaan; dan

Ketiga: Ketahanan Ekonomi

19. Kesemua matlamat ini merupakan kesinambungan kepada pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan KITA PRIHATIN. Selain daripada pendekatan yang lebih bersasar, Kerajaan juga akan mengimbangi kemampanan kewangan Kerajaan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan melalui Belanjawan ini.

MATLAMAT PERTAMA: KESEJAHTERAAN RAKYAT

Datuk Yang di-Pertua,

20. Matlamat pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat akan dimanifestasikan secara holistik. Memahami permasalahan dan keresahan rakyat ialah perkara asas. Kesejahteraan rakyat kekal kepentingan paling utama.

Seikat bak sirih, serumpun bak serai.

Strategi 1: Pandemik COVID-19 dan Kesihatan Awam

21. Strategi pertama ialah perjuangan kita untuk memerangi pandemik COVID19 dan melindungi kesihatan awam. Dalam bulan Ogos lalu, Ahli-ahli Yang

Berhormat telah bersatu hati meluluskan dua akta penting bagi menangani

COVID-19.

22. Yang pertama ialah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020. Akta ini memberi pengecualian atau relief kepada rakyat yang tidak mampu memenuhi obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak ini. Pusat Mediasi COVID-19 juga ditubuhkan khusus untuk membantu kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro yang bertikai berhubung obligasi kontraktual.

23. Manakala Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) pula membenarkan had statutori hutang Kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus. Di bawah Akta ini, Parlimen telah meluluskan siling peruntukan 45 bilion ringgit bagi Kumpulan Wang COVID-19.

24. Ketika Akta tersebut dibentangkan, terdapat panggilan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk meningkatkan siling Kumpulan Wang COVID-19. Mengambil kira gelombang wabak terkini dan keperluan sehingga tahun 2022, Kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Jadual Akta tersebut kepada Dewan yang mulia ini untuk menaikkan siling Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak 20 bilion ringgit kepada 65 bilion ringgit. Tujuan utamanya adalah untuk membiayai pakej KITA PRIHATIN, bantuan tambahan bagi kesejahteraan rakyat, keperluan barisan hadapan dan perolehan vaksin kelak. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sama-sama menyokong cadangan ini.

Datuk Yang di-Pertua,

25. Tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan 1.8 bilion ringgit bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19 antaranya untuk membeli Kelengkapan Perlindungan Diri atau PPE, reagen dan bahan guna habis.

26. Bagi tahun hadapan, sebanyak 1 bilion ringgit lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19. Peruntukan ini antaranya merangkumi:

Pertama: 475 juta ringgit bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan atau KKM;

Kedua: 318 juta ringgit bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan KKM;

Ketiga: 150 juta ringgit kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19;

Keempat: 50 juta ringgit bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti; serta

Kelima: Menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi

memenuhi SOP norma baharu.

27. Kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak COVID-19 ini. Sejak Mac lalu, Kerajaan telah memberikan Elaun Khas COVID-19 sebanyak 600 ringgit sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik ini berjaya diatasi. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak 500 ringgit bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100 ribu petugas kesihatan.

Datuk Yang di-Pertua,

28. The war is not over until and unless an affordable and accessible vaccine is available. Kerajaan komited untuk mendapatkan sumber vaksin COVID-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX. Dijangkakan, bekalan vaksin COVID-19 melibatkan kos melebihi 3 bilion ringgit untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

29. Selain itu, bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, Kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta COVID-19. Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anakanak terhad kepada 1,000 ringgit.

30. Kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada 6,000 kepada 8,000 ringgit dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada 500 kepada 1,000 ringgit.

31. Sebagai tambahan, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan dari 5,000 kepada 8,000 ringgit.

32. Dalam tempoh pandemik ini juga, Kerajaan menerima maklum balas bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat. Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan telah menerima lebih 35 ribu panggilan telefon sejak Mac hingga Oktober 2020 yang antaranya mengenai masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan. Maka, peruntukan 24 juta ringgit disediakan bagi menangani isu ini termasuk melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

Datuk Yang di-Pertua,

33. Setakat 31 Oktober 2020, mySalam telah membayar tuntutan berkaitan hospitalisasi dan penyakit kritikal sebanyak 64 juta ringgit kepada 56 ribu pesakit. Di samping itu, 19 ribu individu telah menerima pampasan berjumlah 11 juta ringgit disebabkan COVID-19. Bagi menambah baik program ini, Kerajaan akan memperluas perlindungan mySalam ke atas tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau prostesis.

34. Selain daripada perlindungan kesihatan, Kerajaan juga bercadang memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang. Melaluinya, setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar 50 ringgit sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi 100 ringgit untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025.

Datuk Yang di-Pertua,

35. Segmen kesihatan awam lain juga akan diberi tumpuan. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan 90 juta ringgit yang dijangka memanfaatkan 500 ribu kanak-kanak. Selain itu, sebanyak 6 juta ringgit turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis.

36. Kerajaan juga memperuntukkan 25 juta ringgit bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital.

Strategi 2: Memelihara Kebajikan Golongan Rentan

Datuk Yang di-Pertua,

37. Strategi kedua adalah untuk memelihara kebajikan golongan rentan. Berdasarkan survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan atau PGK Nasional telah meningkat kepada 2,208 ringgit sebulan bagi setiap isi rumah. Ini bermakna, lebih 400 ribu isi rumah yang berpendapatan kurang daripada PGK ini telah tergolong dalam kategori miskin.

Langkah 1: Penambahbaikan Bantuan Kewangan

38. Sehubungan itu, bagi menambah baik kebajikan golongan rentan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar bantuan kebajikan bulanan seperti berikut:

Pertama: Kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada 250 kepada 300 ringgit;

Kedua: Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada 350 kepada 500 ringgit;

Ketiga: Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada 400 kepada 450 ringgit;

Keempat: Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada 100 ringgit seorang anak dengan maksimum 450 ringgit sekeluarga, kepada 150 ringgit seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau 200 ringgit seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum 1,000 ringgit sekeluarga. Semoga peningkatan kadar ini membantu dengan penjagaan anak-anak serta nutrisi makanan.

Contohnya, jika Puan Safiah mempunyai tiga orang anak dengan dua daripadanya berumur enam tahun dan ke bawah dan suaminya OKU bekerja, keluarga beliau akan mendapat bantuan 1,000 ringgit sebulan.

39. Kenaikan kadar ini melibatkan peruntukan sebanyak 2.2 bilion ringgit iaitu tambahan sebanyak 700 juta ringgit dan memanfaatkan lebih daripada 400 ribu penerima.

Datuk Yang di-Pertua,

40. Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat yang terkesan ekoran COVID-19. Bagi tahun 2020, BPN dan juga Bantuan Sara Hidup atau BSH, melibatkan penyaluran sebanyak 21 bilion ringgit kepada 10.6 juta penerima. Pada bulan Januari 2021, bayaran BPN2.0 fasa kedua sebanyak 2.2 bilion ringgit bakal disalurkan.

41. Maka dengan Belanjawan 2021, Kerajaan akan terus melaksana dan menambah baik bantuan tunai ini secara lebih bersasar. Bagi tahun 2021, Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup atau BSH kepada Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik seperti berikut:

Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,800 ringgit;

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara 2,501 hingga 4,000 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak 800 ringgit akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit;

Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara 4,001 hingga 5,000 ringgit. Kategori ini akan menerima 500 ringgit bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan 750 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih; dan

Keempat: Individu bujang berpendapatan 2,500 ringgit ke bawah pula, akan menerima bantuan 350 ringgit. Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan 6.5 bilion ringgit berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan 5 bilion ringgit sebelum ini di bawah BSH.

42. Sebagai tambahan, Kerajaan turut memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet. Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan 180 ringgit seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi. Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai 1.5 bilion ringgit seperti dalam bentuk data percuma.

Langkah 2: Meringankan Beban Hidup Rakyat

Datuk Yang di-Pertua,

43. Selanjutnya, sukacita Kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak ini.

44. Inisiatif pertama; penurunan kadar cukai pendapatan. Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai 50,001 hingga 70,000 ringgit yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

45. Kerajaan prihatin dengan keresahan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman dan terkesan COVID-19. Sejak April hingga September lalu, Malaysia merupakan negara pertama di dunia memberi moratorium pinjaman secara automatik bagi meringankan beban semua peminjam. Dengan peralihan ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober yang lepas, institusi perbankan telah terus menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran. Setakat ini, lebih daripada 650 ribu permohonan bantuan pembayaran telah diterima, dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus. Bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak COVID-19. Pada masa yang sama, bank telah melaporkan bahawa sekitar 85 peratus peminjam telah meneruskan semula pembayaran pinjaman mereka tanpa meminta bantuan sejak moratorium automatik berakhir.

46. Sebagai inisiatif kedua, sukacitanya diumumkan bahawa institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima BSH dan bakal penerima BPR dan kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga 150 ribu ringgit. Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan:

Opsyen 1: Menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan; atau

Opsyen 2: Pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi.

47. Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan. Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik. Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020.

48. Sebagai Kerajaan yang prihatin, adalah wajar sebarang keputusan yang dibuat perlu berhati-hati dalam mengimbangi keperluan rakyat hari ini dan kebajikan pada masa hadapan.

49. Sehubungan itu, sebagai inisiatif ketiga; kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau takehome pay. Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga 9.3 bilion ringgit.

50. KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak 500 ringgit sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga 6,000 ringgit. Skim ini telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai 11.6 bilion ringgit.

51. Maka, sebagai inisiatif keempat, dan yang saya pasti dinanti-nantikan, Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak 500 ringgit sebulan dengan jumlah sehingga 6,000 ringgit untuk 12 bulan. Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas. Mengambil kira kedua-duainisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga 12 ribu ringgit. Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan 4 bilion ringgit. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021.

52. Inisiatif kelima; Pelanjutan Sistem Insurans Pekerjaan: Pada masa ini, PERKESO menanggung pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui pemberian Elaun Mencari Pekerjaan. Elaun ini diberi selama enam bulan di mana bulan pertama layak menuntut 80 peratus gaji dan secara beransuransur berkurang kepada 30 peratus gaji. Sehubungan itu, bagi tahun 2021, tempoh Elaun Mencari Kerja akan dilanjutkan selama tiga bulan dan kadar layak menuntut daripada 80 peratus gaji bagi bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam dan seterusnya 30 peratus bagi tiga bulan terakhir. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan dan dijangka memanfaatkan sehingga 130 ribu orang pencari kerja.

53. Akhir sekali, bagi membantu mereka yang telah hilang pekerjaan akibat keadaan ekonomi yang terjejas susulan COVID-19, bagi tempoh 2 tahun taksiran, had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada 10 ribu kepada 20 ribu ringgit setiap tahun genap perkhidmatan.

Datuk Yang di-Pertua,

54. Bagi tahun 2021, Kerajaan menyediakan hampir 28 bilion ringgit khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif. Antaranya ialah bantuan pengangkutan dan kebajikan serta subsidi bagi mengawal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

55. Kerajaan juga akan menaikkan peruntukan daripada 150 juta kepada 200 juta ringgit untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak. Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal.

Langkah 3: Bantuan kepada Petani, Peladang dan Nelayan

56. Bagi membantu pekebun kecil getah dalam keadaan harga pasaran rendah, peruntukan bagi Insentif Pengeluaran Getah akan ditingkatkan sekali ganda daripada 150 juta ringgit kepada 300 juta ringgit. Dengan kenaikan ini, pendapatan 150 ribu pekebun kecil getah persendirian dapat distabilkan.

57. Selain itu, 1.7 bilion ringgit disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada petani dan nelayan. Antaranya subsidi harga padi sebanyak

570 juta ringgit, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah 960 juta ringgit termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak 40 juta ringgit. Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300 ribu pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak.

58. Selaras dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, elaun sara hidup nelayan akan dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300 ringgit sebulan bermula tahun 2021. Lebih 40 ribu nelayan akan menikmati bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak 151 juta ringgit.

59. Bagi membantu peneroka FELDA, Kerajaan memperuntukkan 400 juta ringgit untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka dan menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu.

Strategi 3: Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan

Datuk Yang di-Pertua,

60. Strategi ketiga adalah untuk menjana dan mengekalkan pekerjaan. Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500 ribu penganggur. Berikutan pandemik COVID-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820 ribu penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989. Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020.

61. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500 ribu peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan Kerajaan sebanyak 3.7 bilion ringgit.

Langkah 1: Insentif PenjanaKerjaya

62. Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan:

Pertama: Insentif untuk pekerja bergaji 1,500 ringgit ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata 800 ringgit sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum 4,000 ringgit sebulan;

Kedua: Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus; dan

Ketiga: Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

Ketiga-tiga perkara ini, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan; dan

Keempat: Bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada 4,000 kepada 7,000 ringgit bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

63. Bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya ini, sejumlah 2 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250 ribu pencari kerja.

64. Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Majlis ini akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas Kementerian dan agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja. Agensi LAKSANA akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan.

Langkah 2: Reskilling and Upskilling

Datuk Yang di-Pertua,

65. Selanjutnya, program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau reskilling and upskilling akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan. Bagi tahun 2021, sejumlah 1 bilion ringgit diperuntukkan untuk 200 ribu pelatih antaranya merangkumi program berikut:

Pertama: 150 juta ringgit diperuntukkan bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu ditawarkan baucar bernilai 3,000 ringgit seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta. Dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program ini.

Kedua: 100 juta ringgit kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau HRDF bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta;

Ketiga: 100 juta ringgit kepada MDEC untuk memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri ICT yang kian mengembang;

Keempat: 100 juta ringgit kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutamanya IRDA dan SEDIA untuk melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi pelancong asing agar memudahkan mereka mendapat peluang kerja atau sumber pendapatan baharu; dan

Kelima: 30 juta ringgit kepada PERHEBAT untuk program latihan kemahiran dan keusahawanan yang dijangka memanfaatkan 12 ribu veteran Angkatan Tentera Malaysia.

66. Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badanbadan bertauliah, terhad kepada 1,000 ringgit bagi setiap tahun taksiran.

Langkah 3: MySTEP

Datuk Yang di-Pertua,

67. Seterusnya, Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme dengan peruntukan lebih 700 juta ringgit. Inisiatif ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2021.

68. Di bawah inisiatif ini, 35 ribu peluang pekerjaan akan ditawarkan di dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi perjawatan seperti jururawat, medical attendant, pegawai kebajikan masyarakat, serta guru sementara. Manakala syarikat GLC pula akan menyediakan 15 ribu peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan.

Langkah 4: Program Subsidi Upah Bersasar

69. Menerusi pakej-pakej rangsangan, subsidi upah disediakan sehingga sembilan bulan dengan peruntukan melebihi 15 bilion ringgit. Sehingga 31 Oktober 2020, Kerajaan telah menyalurkan 12.5 bilion ringgit bagi membiayai Program Subsidi Upah, PERKESO yang membantu 2.7 juta pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

70. Walau bagaimanapun, masih ramai pekerja terkesan, terutamanya dalam sektor pelancongan. Dengan ini, Kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan

Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar 600 ringgit sebulan bagi pekerja bergaji 4,000 ringgit dan ke bawah. Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Sebanyak 1.5 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka akan membantu kira-kira 70 ribu majikan dan 900 ribu pekerja.

Langkah 5: Perlindungan Sosial

Datuk Yang di-Pertua,

71. Kadar penembusan insurans yang rendah di Malaysia adalah antara faktor yang menggugat keselamatan kewangan individu dan isi rumah. Dengan itu, KWSP akan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP.

72. Bagi menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 3,000 ringgit ke atas caruman Skim Persaraan Swasta atau PRS dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

73. Seterusnya, Kerajaan menyediakan 24 juta ringgit bagi caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO untuk manfaat 100 ribu pekerja daripada kumpulan berikut:

Pertama: Anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera, Sukarelawan Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Maritim Malaysia;

Kedua: Guru takmir, imam, bilal, siak, noja, dan merbut;

Ketiga: Pekerja sektor awam berstatus Contract For Service; dan

Keempat: Bagi menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan sokongan semasa tempoh PKP, inisiatif ini turut dipanjangkan kepada 40 ribu orang delivery riders.

Strategi 4: Mengutama Agenda Keterangkuman

Datuk Yang di-Pertua,

74. Strategi keempat adalah untuk mengutama agenda keterangkuman. Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, agenda keterangkuman menjadi keutamaan ke arah pembangunan yang holistik. Langkah 1: Pemerkasaan Bumiputera

75. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menyokong pembangunan Bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum. Bagi tahun 2021, sejumlah 11.1 bilion ringgit disediakan, iaitu tambahan 3.1 bilion ringgit berbanding tahun sebelum ini.

76. Antaranya, sejumlah 6.5 bilion ringgit diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma.

77. Manakala, bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sejumlah 4.6 bilion ringgit disediakan untuk tujuan berikut:

Pertama: 510 juta ringgit bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB;

Kedua: 800 juta ringgit melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank;

Ketiga: 2 bilion ringgit diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP; dan

Keempat: 1.3 bilion ringgit lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana

Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

78. Pelaburan Hartanah Berhad atau PHB telah berjaya membangunkan hospital swasta bernilai 300 juta ringgit di atas tanah rizab Melayu di Sungai Penchala. Maka, Kerajaan berhasrat untuk terus mengoptimumkan nilai tanah rizab Melayu di kawasan-kawasan strategik. Bagi tujuan ini, sejumlah 750 juta ringgit akan disediakan kepada PHB di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

Langkah 2: Memartabatkan Syiar Islam

Datuk Yang di-Pertua,

79. Pembangunan Islam akan terus diperkukuh. Belanjawan 2021 memperuntukkan 1.4 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

80. Kerajaan akan memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC

dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.

81. Selain itu, PNB melalui Amanah Saham Nasional Berhad atau ASNB akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB. Di bawah perkhidmatan ini, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit mereka ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak mendapat potongan cukai pendapatan. Pulangan berterusan dari tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti PNB.

82. Bagi menghargai jasa 4,000 Guru Takmir sebagai antara penggerak komuniti di peringkat kariah, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Guru Takmir daripada 800 kepada 900 ringgit sebulan.

83. Sebagai tambahan, sukacita saya mengumumkan pemberian Bayaran Khas One-off sebanyak 500 ringgit kepada para Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, Guru Takmir, dan Guru KAFA. Pemberian bantuan khas ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 70,000 orang.

Langkah 3: Memperkasa Golongan Wanita

Datuk Yang di-Pertua,

84. Kerajaan sangat menghargai sumbangan wanita kepada negara. Bagi memperkasa usahawan wanita, sejumlah 95 juta ringgit pembiayaan mikro kredit khas disediakan melalui TEKUN, MARA dan AgroBank. Selain itu, sebanyak 50 juta ringgit juga disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, YaPEIM bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

85. Program bimbingan terutama dalam aspek pembungkusan dan pelabelan, strategi pemasaran serta bimbingan teknikal perniagaan juga akan diberikan kepada lebih 2,000 usahawan wanita melalui Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro atau BizMe. Kerajaan juga akan menyediakan program khusus untuk kontraktor wanita Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam kontrak Kerajaan.

86. Kerajaan menyedari akan pentingnya menangani isu keganasan rumah tangga. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat dengan peruntukan 21 juta ringgit. Pusat ini dengan kerjasama NGO akan menyediakan perlindungan sosial dan sokongan moral kepada golongan wanita terutamanya dalam mendepani masalah keganasan rumah tangga, perceraian dan penderaan.

87. Saya difahamkan petugas barisan hadapan menghadapi kekangan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak. Sehubungan itu, bagi menambah baik sistem sokongan sedia ada buat petugas barisan hadapan dan golongan ibu berkerjaya, 30 juta ringgit disediakan untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan Kerajaan, terutamanya di hospital.

Manakala, bagi sektor swasta, geran padanan sehingga 20 juta ringgit akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di premis mereka.

88. Selain itu, 10 juta ringgit diperuntukkan bagi program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi mendapat kanser payudara.

Langkah 4: Tumpuan Mengikut Komuniti

Datuk Yang di-Pertua,

89. Program-program pembangunan komuniti merangkumi semua peringkat masyarakat turut menjadi tumpuan Kerajaan. Bagi kaum Cina, sejumlah 177 juta ringgit disediakan untuk program pembaikan fasiliti pendidikan, rumah dan kemajuan kampung baru termasuk 100 juta ringgit pembiayaan perniagaan komuniti Cina melalui BSN. Bagi kaum India, sebanyak 100 juta ringgit diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India, MITRA bagi memperkasa kedudukan sosioekonomi komuniti India.

90. Selain itu, TEKUN akan menyediakan 20 juta ringgit khusus untuk program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, SPUMI dan 5 juta ringgit untuk pembangunan usahawan bagi komuniti lain.

91. Bagi menggalakkan budaya sukarela di peringkat komuniti pula, Kerajaan akan menaikkan nilai geran bagi setiap Kawasan Rukun Tetangga atau KRT daripada 4,800 kepada 6,000 ringgit dengan peruntukan hampir 50 juta ringgit. Geran ini akan memanfaatkan lebih 8,000 KRT.

92. Kerajaan juga menyediakan 50 juta ringgit bagi projek-projek pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah-rumah ibadat di kawasan

Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan program perpaduan dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan komuniti setempat.

Datuk Yang di-Pertua,

93. Bagi tahun hadapan, Jabatan Penjara Malaysia akan diperuntukkan 20 juta ringgit bagi melaksanakan Program Pembangunan Insan antaranya untuk memberikan kemahiran vokasional kepada banduan. Melalui program ini, banduan penjara telah menghasilkan pelbagai jenis produk di bawah MyPRIDE dan Tenun Pahang Diraja. Kain Samping yang saya kenakan pada hari ini juga merupakan tenunan Pahang Diraja yang dihasilkan penghuni Penjara Penor, Pahang.

94. Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat, potongan cukai tambahan yang diberikan kepada majikan yang menggaji golongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

Datuk Yang di-Pertua,

95. Kerajaan Malaysia juga mendengar keluhan penggiat seni termasuk tenaga kerja produksi belakang tabir. Sehubungan itu, sebanyak 15 juta ringgit akan diperuntukkan kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya atau CENDANA untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang bakal memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni dan petugas produksi belakang tabir.

96. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan komuniti Orang Asli. Peruntukan sejumlah 158 juta ringgit akan disediakan. Peruntukan ini antaranya meliputi pelaksanaan program bantuan sosial dan Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli. Kerajaan juga akan menaik taraf dan membina 14 buah tabika baharu antaranya seperti di Pos Slim Sungai Kinta, Perak dan Pos Sungai Kelai Jempol, Negeri Sembilan.

97. Kerajaan amat prihatin terhadap isu menanda sempadan dan mewartakan tanah yang sekian lama disuarakan oleh komuniti Orang Asli. Sukacita Kerajaan menyediakan sebanyak 5 juta ringgit bagi menjalankan kerja-kerja ukur tanah untuk menanda sempadan di 21 perkampungan Orang Asli. Selain itu, sebanyak 41 juta ringgit diperuntukkan bagi program Native Customary Rights di Sabah dan Sarawak.

Datuk Yang di-Pertua,

98. Kerajaan akan terus menjaga kebajikan golongan warga emas dan OKU melalui Program Khidmat Bantu di Rumah. Sehubungan itu, nilai saguhati kepada sukarelawan di bawah program ini akan dinaikkan daripada 150 kepada maksimum 400 ringgit. Manakala, nilai saguhati kepada klien program turut dinaikkan daripada 30 kepada 80 ringgit. Kenaikan ini dijangka memanfaatkan lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas dan OKU.

99. Selanjutnya, bagi membantu mereka yang mempunyai pasangan OKU, sukacita Kerajaan mengumumkan had pelepasan cukai bagi pasangan OKU akan dinaikkan daripada 3,500 kepada 5,000 ringgit.

100. Pada masa ini, kadar bayaran bulanan yang diterima oleh penyelia dan petugas di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti atau PDK tidak pernah dikaji sejak tahun 2008. Maka, atas keprihatinan Kerajaan, bagi tahun hadapan, kadar petugas PDK akan dinaikkan daripada 800 kepada 1,200 ringgit sebulan, manakala kadar penyelia dinaikkan daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Kenaikan ini akan memanfaatkan 3,500 petugas dan penyelia PDK seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan 100 juta ringgit.

101. Tidak sekadar itu, Kerajaan juga akan menaikkan bantuan kewangan tahunan bagi pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas yang dikendalikan oleh NGO daripada 33 ribu kepada 50 ribu ringgit. Kenaikan ini diharap dapat memberi manfaat kepada 285 buah pusat aktiviti warga emas di seluruh negara.

102. Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada warga emas, potongan cukai tambahan akan diberikan kepada majikan yang menggaji warga emas. Potongan ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2025.

103. Kerajaan juga memperuntukkan 170 juta ringgit bagi program pendidikan awal kanak-kanak oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS. Peruntukan ini antaranya untuk membiayai Bantuan Makanan Tambahan, Bantuan Per Kapita, penyelenggaraan dan pembaikan Tabika dan Taman Asuhan Kanak-Kanak, TASKA.

104. Untuk meringankan kos sara hidup kumpulan B40 bandar khususnya bagi ibu bapa yang bekerja, Kerajaan akan menyediakan Pusat Komuniti sebagai

tempat jagaan kepada anak-anak selepas tamat sesi persekolahan. Dengan peruntukan 20 juta ringgit, Pusat Komuniti dengan kerjasama NGO ini turut dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.

Langkah 5: Penambahbaikan Infrastruktur Luar Bandar

Datuk Yang di-Pertua,

105. Kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. Untuk tujuan ini, 2.7 bilion ringgit disalurkan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikan infrastruktur luar bandar seperti berikut:

Pertama: 1.3 bilion ringgit bagi melaksanakan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer yang memberi manfaat kepada lebih 290 ribu penduduk;

Kedua: 632 juta ringgit diperuntukkan bagi bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif dengan sasaran 4,800 buah rumah;

Ketiga: 250 juta ringgit disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran lebih 1,100 buah rumah;

Keempat: 355 juta ringgit bagi Program Bantuan Rumah kepada golongan miskin iaitu membina rumah baharu dan membaik pulih rumah dengan sasaran 15 ribu buah rumah; dan

Kelima: 121 juta ringgit bagi memasang 27 ribu unit lampu serta menanggung kos operasi dan penyelenggaraan 500 ribu unitLampu Jalan Kampung.

106. Selain itu, Kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak di negeri Sabah dan Sarawak seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Langkah ini dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan Kerajaan seperti BPR.

107. Kerajaan komited bagi memastikan kemudahan jalan raya di semua negeri diselenggara secara optimum. Sehubungan itu, had kelayakan penggunaan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS dibenarkan dinaikkan sehingga 20 peratus atau 50 juta ringgit, yang mana lebih rendah bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan di luar skop

biasa MARRIS.

Langkah 6: Pembangunan Belia dan Sukan

Datuk Yang di-Pertua,

108. Belia ialah pemangkin masa hadapan negara. Bagi menyediakan pendedahan alam pekerjaan kepada belia, Kerajaan akan menyediakan insentif kepada majikan swasta sebanyak 1,000 ringgit sebulan sehingga tiga bulan bagi setiap graduan baharu yang menyertai program perantisan. Sebagai

tambahan, majikan juga boleh menuntut geran sehingga 4,000 ringgit untuk program latihan bagi perantis tersebut. Program ini dijangka memanfaatkan sehingga 50 ribu graduan baharu dengan peruntukan 250 juta ringgit.

109. Golongan belia memain peranan penting sebagai antara pelopor dan pengguna dalam mengadaptasi teknologi terkini. Ke arah membudayakan transaksi kewangan tanpa tunai, Kerajaan melalui Program eBelia akan mengkreditkan 50 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun. Dengan peruntukan 75 juta ringgit, inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia.

110. Kerajaan akan memperuntukkan 19 juta ringgit bagi melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat demi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti. Sebanyak 28 juta ringgit juga disediakan bagi melaksanakan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire bagi komuniti OKU.

111. Kerajaan juga akan menyediakan 103 juta ringgit untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara. Bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi, Kerajaan akan menyediakan 55 juta ringgit untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk 15 juta ringgit kepada pembangunan eSports.

112. Bagi membantu pengusaha industri sukan, 20 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

113. Selain itu, had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada 2,500 kepada 3,000 ringgit iaitu tambahan 500 ringgit yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan. Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik.

Strategi 5: Menjamin Kesejahteraan Hidup Rakyat

Datuk Yang di-Pertua,

114. Strategi kelima adalah untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat. Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur perkembangan kesejahteraan rakyat menunjukkan komponen sosial telah meningkat dengan lebih perlahan berbanding dimensi ekonomi. Dalam dimensi sosial, terdapat banyak ruang penambahbaikan terutamanya di bawah komponen kesihatan, keluarga dan alam sekitar. Kerajaan akan memastikan pembangunan yang lebih berimbang dan kehidupan yang lebih sejahtera melalui peningkatan pelbagai kemudahan sosial.

Langkah 1: Kesalinghubungan Digital

115. Jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga. Dalam suasana norma baharu, perkhidmatan secara maya sudah menjadi kelaziman. Pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi adalah perlu bagi menampung keperluan gaya hidup digital.

116. Maka, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, JENDELA bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh Malaysia meliputi semua negeri. Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memperuntukkan 7.4 bilion ringgit untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar.

117. Dalam norma baharu ini, pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu amalan. Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan bahawa GLC dan GLIC akan menyumbang sebanyak 150 juta ringgit ke dalam Tabung CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 buah sekolah sebagai projek rintis. Projek ini akan diselia oleh Yayasan Hasanah.

Langkah 2: Akses kepada Pendidikan Berkualiti

Datuk Yang di-Pertua,

118. Pendidikan ialah pelaburan yang paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah 50.4 bilion ringgit atau 15.6 peratus daripada keseluruhan

perbelanjaan Kerajaan.

119. Bagi memastikan murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, Kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu sahaja kepada setiap hari persekolahan. Peruntukan sebanyak 420 juta ringgit akan disediakan dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

120. Bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, sebanyak 800 juta ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. Peruntukan ini juga termasuk kerjakerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di sekolah-sekolah Kerajaan.

121. Selain itu, kos tambahan sebanyak 725 juta ringgit akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah-sekolah daif. Bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah 120 juta ringgit.

122. Selain itu, kebajikan murid berkeperluan khas di sekolah turut diberi perhatian oleh Kerajaan. Maka bagi memperkasa pendidikan khas, 45 juta ringgit akan disediakan untuk tujuan ini.

123. Bagi peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak 14.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Ini termasuk, 50 juta ringgit disediakan bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.

124. Bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps.

125. Selanjutnya, untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, Kerajaan bekerjasama dengan BSN akan menyediakan 100 juta ringgit bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba.

126. Bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga 8,000 ringgit bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Datuk Yang di-Pertua,

127. Kerajaan juga akan terus memperkasa bidang TVET. Bagi tahun 2021, peruntukan untuk tujuan TVET adalah sebanyak 6 bilion ringgit. mukasurat 35 dari 67

128. Bagi menyediakan pinjaman kepada 24 ribu peserta program TVET di institusi latihan kemahiran awam dan swasta, 300 juta ringgit disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK iaitu peningkatan 100 juta ringgit.

129. Bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan industri melaksanakan program berteraskan TVET, Kerajaan memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional Plus dengan elaun bulanan dinaikkan daripada 625 kepada 1,000 ringgit. Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah 60 juta ringgit dan memberi manfaat kepada 10 ribu peserta.

130. Sebanyak 29 juta ringgit juga diperuntukkan bagi melaksanakan programprogram TVET di bawah KPT antaranya inisiatif pendidikan Islam dan

pembelajaran sepanjang hayat kepada 15 ribu pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Langkah 3: Meningkatkan Pemilikan Rumah

Datuk Yang di-Pertua,

131. Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga 500 ribu ringgit. Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025; dan

Kedua: Pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan bagi tempoh lima tahun lagi. Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

132. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah. Sejumlah 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan berikut:

Pertama: 500 juta ringgit untuk membina sehingga 14 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat;

Kedua: 315 juta ringgit untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB;

Ketiga: 125 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam; dan

Keempat: 310 juta ringgit untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

133. Selain itu, Kerajaan juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk menyediakan Skim Rent-to-Own. Program ini akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 melibatkan 5,000 buah rumah PR1MA dengan nilai keseluruhan lebih 1 bilion ringgit dan dikhaskan untuk pembeli rumah pertama.

Langkah 4: Kemudahan Pengangkutan

Datuk Yang di-Pertua,

134. Pelaksanaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 akan diteruskan dan diperluaskan ke Pulau Pinang dan bandar Kuantan dengan peruntukan keseluruhan 300 juta ringgit. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Kumpulan Prasarana dengan harga 30 ringgit sebulan.

135. Selain itu, pas perjalanan bulanan tanpa had dengan harga 5 ringgit akan diperkenalkan untuk pelajar sekolah tahun 1 hingga tingkatan 6 serta golongan OKU. Mereka boleh menggunakan pas ini bagi perkhidmatan tren komuter Lembah Klang, komuter utara, tren antara bandar Kuala Lipis dan Tumpat dan tren Sabah di jajaran Beaufort-Tenom. Jika tambang sekarang secara puratanya ialah 5 ringgit sehari, maka bermula tahun hadapan, tambangnya hanyalah 5 ringgit sebulan.

136. Pada masa ini, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti telah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu. Program ini akan diperluas secara berfasa ke Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan dengan peruntukan 150 juta ringgit. 137. Kerajaan juga komited untuk mengurangkan beban pengusaha bas. Pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara akan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

Langkah 5: Pertahanan Negara dan Ketenteraman Awam

Datuk Yang di-Pertua,

138. Kerajaan amat mengambil berat berkaitan isu kedaulatan negara. Kerajaan telah melaksanakan Ops Benteng bagi memastikan kawasan sempadan negara sentiasa dikawal dan tidak dibolosi. Operasi bersepadu ini diselaraskan di bawah MKN melibatkan pelbagai agensi seperti ATM, PDRM, APMM, Jabatan Imigresen dan beberapa yang lain.

139. Bagi tahun hadapan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri masing-masing diperuntukkan 16 bilion ringgit dan 17 bilion ringgit.

140. Bagi memastikan kesiapsiagaan aset-aset utama ATM, Kerajaan akan menaikkan peruntukan penyelenggaraan kepada 2.3 bilion ringgit bagi tahun 2021 berbanding 2 bilion ringgit sebelum ini.

141. Selain itu, dalam menangani jenayah siber yang kian meningkat, Kerajaan memperuntukkan 27 juta ringgit kepada CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.

142. Kerajaan sentiasa memastikan kebajikan anggota tentera tidak terabai. Selain terus menyelenggara kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera sedia ada, Kerajaan turut meluluskan pembinaan sebanyak hampir 1,000 buah unit baharu dengan kos keseluruhan berjumlah hampir 500 juta ringgit.

143. Kerajaan turut menghargai peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia, RELA yang turut sama membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Sebanyak 153 juta ringgit akan disediakan termasuk menaik taraf kemudahan di pusat latihan bagi mengukuh peranan RELA.

MATLAMAT KEDUA: KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Datuk Yang di-Pertua,

144. Persekitaran perniagaan kini telah berubah. Maka, di bawah matlamat kedua iaitu kelangsungan perniagaan, fokus Kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah akses perniagaan.

Strategi 1: Memacu Pelaburan

145. Strategi pertama adalah untuk memacu pelaburan. Bagi membantu syarikat-syarikat tempatan mendepani cabaran masa hadapan, Kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara dalam menyediakan akses kepada dana pelaburan termasuk menambah baik persekitaran perniagaan.

146. Bagi setiap cabaran yang dihadapi, akan berbangkitnya peluang. Dalam konteks COVID-19, walaupun perniagaan terkesan, namun ada sektor industri yang masih tumbuh pesat seperti peralatan perubatan, e-commerce dan penghantaran serta teknologi pendidikan. Senario ini, di samping pergelutan perdagangan dunia, mewujudkan peluang bagi Malaysia untuk mengambil kesempatan menarik syarikat, pelaburan, serta peluang ekonomi baharu. Ini adalah antara tumpuan Kerajaan di bawah matlamat dua ini.

Langkah 1: Pelaburan Dalam Sektor Utama

147. Untuk itu, 1 bilion ringgit disediakan sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi. Dana ini antaranya bertujuan menyokong pelaburan R&D dalam bidang aeroangkasa serta kluster elektronik di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

148. Sebagai tambahan, Dana Teknologi Tinggi bernilai 500 juta ringgit akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyokong syarikat sektor teknologi tinggi dan berinovasi. Penyediaan dana ini akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian nilai global serta memelihara ekosistem rantaian bekalan dan melindungi pekerjaan kemahiran tinggi.

149. Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi aktiviti perkhidmatan bernilai tinggi. Sehubungan itu, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Melonggarkan syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dan melanjutkannya sehingga 31 Disember 2022;

Kedua: Pengenaan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre pada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh 5 tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh 5 tahun lagi;

Ketiga: Menaikkan had nilai jualan bagi aktiviti tambah nilai dan aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan Gudang Pengilangan Berlesen daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada nilai jualan tahunan; dan

Keempat: Melanjutkan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh 5 tahun kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia.

150. Melalui PENJANA, Kerajaan telah menawarkan kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu. Sukacita dimaklumkan permohonan untuk insentif tersebut akan dilanjutkan selama satu tahun lagi sehingga 31 Disember 2022. Skop galakan cukai turut diperluas kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda signifikan dengan pemberian kadar cukai pendapatan 0 hingga 10 peratus untuk tempoh 10 tahun.

151. Satu kajian menyeluruh ke atas struktur galakan cukai sedia ada sedang dilaksanakan bagi menyediakan rangka kerja galakan percukaian yang kompetitif, telus dan lebih menarik. Bagi memberi ruang kepada kajian tersebut, galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan dilanjutkan sehingga 2022. Lanjutan tempoh ini merangkumi galakan cukai untuk aktiviti MRO bagi aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan kapal, status Bionexus dan galakan cukai bagi koridor pembangunan ekonomi.

Datuk Yang di-Pertua,

152. Skim Pembangunan Nasional bernilai 1.4 bilion ringgit oleh Bank Pembangunan Malaysia akan diperkenalkan bagi menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik dan meningkatkan penghasilan produk tempatan seperti peralatan perubatan.

153. Selain itu, Skim Pembangunan Maritim dan Logistik, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan, Skim Infrastruktur Pelancongan dan Dana Pengangkutan Awam akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan ketersediaan dana sebanyak 3.7 bilion ringgit.

154. Daripada keseluruhan dana skim-skim tersebut, 500 juta ringgit dikhususkan kepada usahawan Bumiputera bagi meningkatkan penglibatan dalam sektor utama.

155. Selanjutnya, untuk terus membantu PKS terkesan, kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar bernilai 2 bilion ringgit di bawah BNM akan diperkenalkan melalui pinjaman daripada institusi perbankan.

Langkah 2: Penambahbaikan Persekitaran Perniagaan

Datuk Yang di-Pertua,

156. Semasa sesi Jelajah Belanjawan ke kawasan perindustrian di seluruh Malaysia, isu utama yang dibangkitkan ialah keperluan menambah baik infrastruktur. Bagi meningkatkan daya saing industri, sukacita saya mengumumkan inisiatif seperti berikut:

Pertama: 100 juta ringgit bagi penyelenggaraan infrastruktur kawasan perindustrian;

Kedua: 42 juta ringgit di bawah program JENDELA bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian;

Ketiga: Pembangunan sebuah loji rawatan air di daerah Kubang Pasu bagi menyokong keperluan pelaburan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan penduduk di kawasan tersebut; dan

Keempat: 45 juta ringgit diperuntukkan bagi memenuhi keperluan pembekalan air bagi sektor petrokimia yang tertumpu di zon perindustrian Gebeng.

157. Kerajaan akan melaksanakan kemudahan Authorised Economic Operator atau AEO di peringkat nasional bertujuan mempermudah proses akreditasi AEO dan diperluas kepada pembekal perkhidmatan logistik dan operator gudang yang diluluskan.

158. Selain itu, bagi menambah baik kecekapan perniagaan rentas sempadan dan meningkatkan produktiviti sektor logistik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mengintegrasikan 43 agensi pengeluar permit dan lesen dagangan dalam platform AEO.

Langkah 3: Inisiatif Sains, Teknologi dan Inovasi

Datuk Yang di-Pertua,

159. Dalam usaha menyokong perkembangan sains dan teknologi, Kerajaan memperuntukkan 400 juta ringgit khusus untuk tujuan R&D yang melibatkan beberapa kementerian dan agensi.

160. Bagi mewujudkan ekosistem R&D yang lebih kompetitif, galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan sumber akan diperkenalkan semula dan galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam akan diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta.

161. Selanjutnya, 20 juta ringgit akan disediakan bagi program Malaysia Techlympics dan Science Space bertujuan mewujudkan kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan atau AI dan robotik dalam kalangan belia. Datuk Yang di-Pertua,

162. Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit daripada langganan Sukuk PRIHATIN untuk menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit merangkumi pembangunan vaksin, serta kajian rawatan dan diagnostik.

163. Selanjutnya, sukacita saya maklumkan bahawa empat syarikat sarung tangan utama iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan telah menyatakan komitmen untuk menyumbang 400 juta ringgit untuk memerangi COVID-19 termasuk menampung sebahagian kos vaksin COVID-19 dan kos perbelanjaan peralatan kesihatan. Kerajaan amat menghargai komitmen sektor swasta, NGO dan individu yang sama-sama menyumbang dalam usaha ini.

Langkah 4: Barangan Buatan Tempatan

Datuk Yang di-Pertua,

164. Bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan seperti berikut:

Pertama: 25 juta ringgit bagi program Pembangunan Francais Mikro

dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia;

Kedua: 150 juta ringgit bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100 ribu usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen eDagang PKS dan PKS Mikro;

Ketiga: 150 juta ringgit bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui usahasama dengan platform e-commerce utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500 ribu usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan; dan

Keempat: 35 juta ringgit bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.

165. Selain itu, bagi memastikan Malaysia menjadi tumpuan pelaburan terutamanya dalam pengeluaran vaksin, ubat dan peranti perubatan dalam negara, Kerajaan akan memperkasa Program Perjanjian Off-Take Kementerian Kesihatan untuk menarik pelaburan ke negara ini dan potensi pengeluaran ubat dan vaksin pada masa hadapan.

166. Sebagai tambahan, bagi menggalakkan syarikat pengeluar produk farmaseutikal termasuk vaksin khususnya vaksin COVID-19 untuk melabur di Malaysia, pemberian galakan kadar cukai pendapatan antaranya 0 hingga 10 peratus untuk 10 tahun pertama.

Strategi 2: Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan

Datuk Yang di-Pertua,

167. Strategi kedua adalah untuk memperkukuh sektor-sektor tumpuan.

Langkah 1: Pemerkasaan Sektor Pertanian

168. Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus daripada KDNK. Tatkala sektor-sektor lain mencatatkan penguncupan ekoran pandemik COVID-19, sektor pertanian diunjurkan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada KDNK tahun hadapan.

169. Sehubungan itu, bagi tahun 2021, beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan antaranya seperti berikut:

Pertama: Peluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah 30 juta ringgit. Program ini menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga 500 ringgit setiap individu atau 50 ribu ringgit setiap komuniti yang bakal memanfaatkan 60 ribu peserta;

Kedua: Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan 50 juta ringgit dan dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti;

Ketiga: Pelaksanaan Program Ladang e-Satelit dengan peruntukan 10 juta ringgit secara geran padanan sehingga 30 ribu ringgit kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan, PPK bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things termasuk dron. Program ini dijangka memanfaatkan lebih 300 PPK dengan keahlian hampir 1 juta petani dan peladang;

Keempat: Pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sehingga 5 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan zon A dan B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan bot. Bagi tujuan ini, sebanyak 150 juta ringgit disediakan melalui Agrobank;

Kelima: Pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga 1 juta ringgit pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR4.0. Bagi tujuan ini sebanyak 60 juta ringgit disediakan Agrobank;

Keenam: Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan 10 juta ringgit secara geran padanan sehingga 20 ribu ringgit kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi seperti udang kara dan ikan kerapu; dan

Ketujuh: Pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan 100 juta ringgit melalui kerjasama dengan kerajaan Negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan.

Langkah 2: Pembangunan Sektor Komoditi

Datuk Yang di-Pertua,

170. Sektor komoditi merupakan sektor utama yang menyediakan input kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menjana pendapatan eksport negara. Sebagai usaha memperkukuh kelangsungan pelbagai sektor komoditi, bagi tahun hadapan, langkah-langkah berikut akan dijalankan:

Pertama: Meneruskan program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan 20 juta ringgit bagi merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit negara. Geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi akan diperkenalkan;

Kedua: Menyediakan insentif pengeluaran lateks sebanyak 16 juta ringgit secara padanan bagi menggalakkan pengeluaran lateks yang memerlukan waktu kerja lebih panjang berbanding pengeluaran cuplump yang bakal dimulakan di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan; dan

Ketiga: Membuka kawasan perindustrian perabot di Pagoh bagi merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan.

171. Selain itu, dalam RMKe-12, Kerajaan juga akan menyediakan dana pusingan berjumlah 500 juta ringgit bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan. Dana pinjaman ini khusus untuk pembangunan ladang hutan yang berkeluasan 4 hektar dan ke atas.

Langkah 3: Kelangsungan Industri Pelancongan

Datuk Yang di-Pertua,

172. Kerajaan sedar bahawa sektor pelancongan terutamanya syarikat penerbangan merupakan antara sektor yang paling terkesan. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

173. Kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua taman negara bagi merancakkan segmen ekopelancongan.

174. Seterusnya, bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong, sebanyak 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara. Sejumlah 20 juta ringgit juga diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di negeri Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

175. Selain itu, 10 juta ringgit diperuntukkan bagi memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, dan Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara dan menjadi ikon pelancongan.

176. Industri pelancongan kesihatan berpotensi sebagai pelaburan baharu negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 35 juta ringgit kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga tahun 2022.

177. Kerajaan mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong. Sehubungan itu, sukacita Kerajaan mengumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak 1,000 ringgit akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Geran khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

178. Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas, pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021. Pengecualian tersebut akan meliputi sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas COVID-19.

Strategi 3: Mengutama Automasi dan Pendigitalan

Datuk Yang di-Pertua,

179. Strategi ketiga adalah untuk mengutama automasi dan pendigitalan. Bergerak ke hadapan, Kerajaan akan menumpukan kepada produktiviti jangka panjang melalui penggunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

180. Kerajaan melalui BPMB akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai 1 bilion ringgit bertujuan untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

181. Selain itu, bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi, dana tambahan berjumlah 150 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi. Syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan.

Strategi 4: Memudah Akses Pembiayaan

Datuk Yang di-Pertua,

182. Strategi keempat adalah untuk memudah akses pembiayaan. Melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA, 1.9 bilion ringgit dana pinjaman mudah telah disediakan bagi membantu usahawan PKS dan PKS mikro yang sukar mendapatkan akses pembiayaan.

Langkah 1: Pembiayaan Kredit Mikro

183. Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam kalangan Bumiputera beranjak ke kategori yang lebih tinggi, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana berjumlah 300 juta ringgit.

184. Untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada Kerajaan atau GLC, Kerajaan akan memperkenalkan platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional ataupun National Supply Chain Finance Platform. Platform yang diberi nama "JanaNiaga" ini akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan. Platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan. 300 juta ringgit disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga. Buat masa ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia. Ia akan diperluas kepada GLC lain, Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan pada masa depan.

185. Pembiayaan secara peer-to-peer atau P2P di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti merupakan antara inovasi kewangan alternatif yang telah menjana pembiayaan melebihi 900 juta ringgit kepada PKS. Bagi menyokong platform P2P terutamanya yang berasaskan pembiayaan invois, 50 juta ringgit akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.

186. Seterusnya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir 1.2 bilion ringgit disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain. Ini termasuk tambahan sebanyak 110 juta ringgit kepada Micro Enterprises Facility di bawah BNM bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

187. Program iTEKAD yang telah dilancarkan pada Mei 2020 dengan menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro akan memperkasa usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari. Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021.

188. Menerusi PUNB pula, 230 juta ringgit disediakan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan SOP COVID19.

Langkah 2: Jaminan Pinjaman

Datuk Yang di-Pertua,

189. Setakat ini, sebanyak 25 bilion ringgit jaminan telah diberikan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Sukacita, Kerajaan akan meningkatkan jaminan sehingga 10 bilion ringgit lagi, dengan 2 bilion ringgit diperuntukkan khusus kepada usahawan Bumiputera.

190. Untuk syarikat korporat yang terlibat dalam industri berkemahiran tinggi seperti minyak & gas, dan aeroangkasa, jaminan bernilai 3 bilion ringgit dikhususkan di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin. Skim ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2021 dengan terma dan syarat yang ditambah baik.

191. Bagi menggalakkan aktiviti pemberian kredit yang teratur dan meningkatkan perlindungan pengguna, Akta Kredit Pengguna akan digubal. Akta ini menyediakan kerangka kawal selia aktiviti berkaitan pemberian kredit pengguna dan memperkukuh penyeliaan ke atas penyedia kredit bukan bank yang pada masa ini tidak diselia. Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menerajui usaha menggubal kawal selia penyedia kredit pengguna.

Langkah 3: Pembiayaan Alternatif

Datuk Yang di-Pertua,

192. Equity Crowd Funding atau ECF merupakan antara kaedah pembiayaan alternatif, terutamanya untuk syarikat start-up berteknologi. Bagi menggalakkan lebih ramai pelabur individu menyertai pembiayaan menerusi platform ECF, pengecualian cukai pendapatan 50 peratus daripada amaun pelaburan atau terhad kepada 50 ribu ringgit akan diberikan. 30 juta ringgit juga diperuntukkan secara geran padanan untuk dilabur ke dalam platform ECF di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti.

MATLAMAT KETIGA: KETAHANAN EKONOMI

Datuk Yang di-Pertua,

193. Matlamat ketiga ialah ketahanan ekonomi. Belanjawan ini akan dijajarkan kepada keutamaan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan bermakna ke arah sebuah masyarakat yang lebih makmur dan bermaruah menjelang 2030.

Strategi 1: Belanjawan Pengembangan

194. Susulan penularan COVID-19, prestasi kutipan hasil Kerajaan telah terjejas. Lantaran itu, hasil Kerajaan tahun 2020 telah disemak semula kepada 227.3 bilion ringgit, iaitu pengurangan hampir 18 bilion ringgit daripada unjuran asal sebanyak 244.5 bilion ringgit dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan sebelum ini.

195. Walaupun dalam keadaan hasil yang kurang, Kerajaan tidak akan kompromi bagi melindungi nyawa dan kehidupan, atau lives and livelihoods, dalam memerangi COVID-19. Maka, jumlah perbelanjaan keseluruhan tahun 2020 dianggar sebanyak 314.7 bilion ringgit iaitu meningkat 17.7 bilion ringgit berbanding unjuran asal. Peningkatan perbelanjaan ini bertujuan untuk membiayai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi. Sehubungan itu, defisit fiskal bagi tahun 2020 dianggar meningkat kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding sasaran asal 3.2 peratus.

196. Kesan wabak COVID-19 akan terus dirasai pada tahun hadapan. Oleh itu, kutipan hasil Kerajaan bagi tahun 2021 dijangka meningkat kepada 236.9 bilion ringgit. Namun demikian, Kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang mengembang atau expansionary.

197. Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2021 merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak 322.5 bilion ringgit. Kerajaan bercadang untuk memperuntukkan 236.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus, 69 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan dan 17 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19. Manakala sebanyak 2 bilion ringgit diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. Mengambil kira anggaran tersebut, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding KDNK.

Langkah 1: Perbelanjaan dengan Pengganda Tinggi

Datuk Yang di-Pertua,

198. Bagi memastikan perbelanjaan Kerajaan mempunyai pengganda tinggi kepada ekonomi, sebanyak 2.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi menjalankan projek kecil dan sederhana di seluruh negara. Ini termasuk 200 juta ringgit tambahan bagi projek penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan 50 juta ringgit bagi projek penyelenggaraan rumah PPR. Selanjutnya, Kerajaan turut melanjutkan tempoh kelonggaran prosedur perolehan sehingga 31 Disember 2021 untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.

199. Kerajaan melalui MARA juga akan menyediakan 50 juta ringgit sebagai akses pembiayaan kepada kontraktor pembinaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres, SPiKE. Skim ini ditawarkan kepada kontraktor Bumiputera yang berurusan dengan Kerajaan bagi memudahkan aliran tunai dalam melaksanakan projek.

Langkah 2: Kemampanan Hasil Kerajaan

Datuk Yang di-Pertua,

200. Pada masa ini, hasil Kerajaan adalah sekitar 15 peratus daripada KDNK termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar tiga peratus. Kerajaan perlu memastikan sumber hasil adalah mampan dan mampu membiayai perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus.

201. Strategi kutipan hasil akan ditambah baik termasuk membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi. Dengan izin, Multi-Agency Task Force akan diperkasa dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

202. Selain itu, mulai 1 Januari 2021, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama: Membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu;

Kedua: Memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import;

Ketiga: Mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja;

Keempat: Mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula;

Kelima: Tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit; dan

Keenam: Mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai.

203. Kerajaan juga akan mengenakan duti eksais pada kadar ad valorem 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021. Manakala cecair rokok elektronik akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

Strategi 2: Agenda Pembangunan di bawah RMK-12

Datuk Yang di-Pertua,

204. Strategi kedua berkaitan dengan agenda pembangunan lima tahun negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Ini merupakan peringkat 6R terakhir iaitu Reform atau Menyusun Semula. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

Langkah 1: Pembangunan Infrastruktur Pengangkutan

205. Kerajaan komited untuk melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan bagi meningkatkan kemudahsampaian rakyat. Pada tahun 2021, sebanyak 15 bilion ringgit disediakan bagi membiayai antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo, Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Pertama. Selain itu, beberapa projek lain juga akan diteruskan seperti Sistem Transit Rapid dari Johor Bahru ke Woodland, Singapura dan MRT3 di Lembah Klang.

206. Pada dasarnya, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek High Speed Rail atau HSR kerana projek ini dijangka dapat menjana kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi negara. Namun begitu ia tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan Singapura.

207. Beberapa projek baharu berjumlah hampir 3.8 bilion ringgit akan dilaksanakan seperti berikut:

Pertama: Projek Fasa 2 bagi pembinaan Jambatan Klang Ke-3 di Selangor;

Kedua: Meneruskan Projek Central Spine Road di jajaran baharu di negeri Kelantan dan Pahang;

Ketiga: Menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu;

Kempat: Menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kulim, Kedah;

Kelima: Meneruskan projek Fasa 3 bagi membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor;

Keenam: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pakej dari Serusop ke Pituru; dan

Ketujuh: Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.

Langkah 2: Keseimbangan Pembangunan Antara Wilayah

208. Bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, projek-projek pembangunan akan diteruskan dengan peruntukan bagi tahun 2021 sebanyak 780 juta ringgit merangkumi:

Pertama: Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di 3 Laluan Berkapasiti Tinggi dan Pembinaan "Busway" di kawasan pembangunan IRDA;

Kedua: Pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu, Kelantan di bawah ECER;

Ketiga: Pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah NCER;

Kempat: Projek Infrastruktur di Kawasan Perindustrian Samalaju, Sarawak di bawah SCORE; dan

Kelima: Penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, Sabah di bawah SDC.

209. Selain itu, galakan cukai sedia ada bagi Koridor Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia dan Koridor Pembangunan Sabah dilanjutkan sehingga 2022.

210. Peruntukan sebanyak 150 juta ringgit juga disediakan bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus, Melaka.

211. Selanjutnya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 50 bilion ringgit. Ia merangkumi pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, hab inovasi dan perubatan. Lebih 100 ribu peluang pekerjaan bakal dijana, manakala lebih

250 ribu unit rumah termasuk 10 ribu unit rumah mampu milik akan dibina.

212. Akhir sekali, bagi tahun 2021, Sabah dan Sarawak akan menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing sebanyak 5.1 bilion ringgit dan 4.5 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Strategi 3: Memperkasa Peranan GLC dan Masyarakat Sivil

Datuk Yang di-Pertua,

213. Strategi ketiga adalah untuk memperkasa peranan GLC dan masyarakat sivil. Tindakan proaktif GLC dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat harus dijadikan contoh kepada syarikat atau industri lain, lebih-lebih lagi ketika rakyat menghadapi tempoh mencabar ini. Lebih banyak program akan dilaksanakan melalui GLC, masyarakat sivil dan NGO, bermula dengan bidang sosial dan pemuliharaan alam sekitar, dalam melengkapi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Langkah 1: Penyampaian Perkhidmatan Alternatif

214. Kerajaan berhasrat bekerjasama dengan NGO dan perusahaan sosial atau social enterprise dalam agenda pembangunan negara. Sebagai contoh, melalui konsep geran padanan, Kerajaan bersama-sama dengan Yayasan Hasanah telah membiayai inisiatif seperti penjanaan pendapatan terutamanya bagi golongan terjejas semasa COVID-19 ini. Antara inisiatif yang dibiayai adalah menjahit pelitup muka oleh masyarakat asal Sarawak di bawah Tanoti, projek pemerkasaan Orang Asli di Hulu Selangor oleh EPIC Society dan inisiatif keusahawanan OKU oleh Komuniti Belia Selangor (SAY).

215. Kementerian Kewangan telah membuka portal Belanjawan 2021 pada 28 September yang lalu, untuk mendapat cadangan dan undian rakyat berhubung isu masyarakat dan alam sekitar. Selain daripada lebih 6,000 cadangan yang disampaikan, lebih 40 ribu undian juga diterima. Berdasarkan maklum balas ini, Kementerian Kewangan akan mengagihkan dana untuk NGO seperti berikut:

Pertama: 50 juta ringgit bagi inisiatif penjanaan pendapatan dan peningkatan pekerjaan bagi golongan rentan;

Kedua: 30 juta ringgit bagi inisiatif menangani isu sosial; dan

Ketiga: 20 juta ringgit bagi inisiatif pemeliharaan alam sekitar. Geran sebanyak 100 juta ringgit ini akan dipadankan dengan sumbangan

daripada yayasan milik GLC.

216. Seterusnya, Kerajaan akan menjalankan program pembangunan perusahaan sosial dengan peruntukan 20 juta ringgit kepada Malaysian Global Innovation and Creativity Centre atau MaGIC dan agensi terpilih. Di samping itu, projek rintis pendaftaran e-Perolehan kepada perusahaan sosial yang mempunyai Sijil Program e-Perolehan Impak Kerajaan daripada MaGIC dan agensi terpilih yang lain untuk menjadi pembekal kepada Kerajaan. Dengan inisiatif ini, perusahaan sosial boleh membekal barangan dan perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan sehingga 20 juta ringgit setahun.

Strategi 4: Menjamin Kelestarian Sumber

Datuk Yang di-Pertua,

217. Strategi keempat ialah menjamin kelestarian sumber. Asas ekonomi kita ialah alam sekitar dan aset semula jadi. Oleh itu, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, adalah penting untuk kita menentukan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar supaya kualiti hidup kita terjaga dan legasi generasi akan datang dipelihara. Kerajaan yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

218. Pada 2015 bersama negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain, Malaysia telah bersetuju untuk menerima Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG). Kini, buat pertama kalinya, Belanjawan negara diselaraskan dengan SDG supaya rakyat kita melangkah ke masa depan yang lebih makmur, lebih lestari dan inklusif.

Langkah 1: Agenda Matlamat Pembangunan Lestari

219. Kerajaan dengan kerjasama strategik PBB di Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan peruntukan permulaan berjumlah 20 juta ringgit. Dana ini akan menyediakan platform menyelaras pembiayaan dari sumber awam dan swasta dengan lebih sistematik. Dengan itu, pelbagai pihak dapat sama menyumbang dan terlibat dalam melengkapkan dan menentukan SDG tercapai menjelang 2030.

220. Tambahan lagi, Kerajaan juga memperuntukkan 5 juta ringgit untuk menyokong program-program SDG yang dilaksanakan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.

Langkah 2: Kewangan Lestari

Datuk Yang di-Pertua,

221. Kerajaan sedang meneruskan usaha jangka panjang bagi mewujudkan Hab Kewangan Lestari dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk gaya hidup lestari. Pada bulan Ogos lalu, Kerajaan telah menerbitkan sukuk digital pertama iaitu Sukuk Prihatin dengan langganan melebihi sasaran iaitu 666 juta ringgit. Kini, Kerajaan akan menerbitkan pula Bon Kelestarian pertama di Malaysia untuk tujuan alam sekitar dan sosial pada 2021.

222. Sebagai tambahan, bagi terus menggalakkan terbitan produk Sustainable and Responsible Investment (SRI) dan bon yang mencapai standard hijau, sosial dan mampan di Malaysia, pengecualian cukai pendapatan sedia ada bagi geran Sukuk Hijau SRI diperluas kepada semua jenis sukuk dan bon serta pengecualian ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2025.

223. Selanjutnya, Kerajaan juga akan meneruskan Green Technology Financing Scheme 3.0 atau GTFS 3.0 dengan saiz dana 2 bilion ringgit selama dua tahun sehingga 2022 yang akan dijamin oleh Danajamin bagi menggalakkan terbitan sukuk SRI.

Langkah 3: Pemuliharaan Alam Sekitar

Datuk Yang di-Pertua,

224. Bagi terus memelihara khazanah alam, beberapa inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: 50 juta ringgit untuk menangani isu sampah dan sisa pepejal yang terperangkap di sungai;

Kedua: 40 juta ringgit dalam tempoh lima tahun bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar antaranya untuk mewujudkan 30 stesen pemantauan di seluruh negara;

Ketiga: 10 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan projek Integrated Island Waste Management di sekitar pulau di Johor dan Terengganu untuk mengurangkan kesan kemusnahan terumbu karang dan hidupan marin. Program ini melibatkan kolaborasi pihak UNDP, Kerajaan Negeri dan sektor swasta;

Keempat: Meningkatkan peruntukan di bawah Pemberian TAHAP kepada semua Kerajaan Negeri daripada 350 juta kepada 400 juta ringgit. Daripada jumlah tersebut, Sejumlah 70 juta ringgit juga diperuntukkan bagi tujuan aktiviti Ecological Fiscal Transfer sebagai insentif tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara; dan

Kelima: Melaksanakan program penanaman pokok bakau bagi memelihara kawasan paya bakau serta spesies pokok lain di pesisiran pantai antaranya di Tanjung Piai, Johor dan Kuala Sepetang, Perak.

225. Selanjutnya, program SAVE 2.0 diperkenalkan iaitu pemberian e-Rebate 200 ringgit kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga buatan tempatan. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk program ini yang dijangka memanfaatkan 140 ribu isi rumah.

226. Sebagai sebahagian daripada langkah melestarikan teknologi hijau yang cekap tenaga dan mesra alam, Kerajaan menyokong inisiatif yang telah diambil Kerajaan Negeri Sarawak untuk menggunakan bas awam yang menggunakan hydrogen fuel cells.

227. Di samping itu, bagi mengawal biodiversiti kawasan hutan dan pemburuan haram, Kerajaan akan memperkasa Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti dengan pengambilan lebih 500 bekas tentera dan polis serta Orang Asli untuk menjalankan aktiviti rondaan. Bagi tujuan ini, sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan.

Strategi 5: Perkhidmatan Awam

Datuk Yang di-Pertua,

228. Sebagai tunjang negara, langkah untuk meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan turut menjadi keutamaan.

Langkah 1: Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Awam

229. Memandangkan kita kini hidup dalam norma yang baharu, penggunaan ruang digital perlu dimaksimumkan dalam menjalani sebarang urusan seharian.

230. Contohnya, ucapan Belanjawan pada tahun ini diedarkan tanpa kertas atau paperless, sebaliknya secara softcopy melalui aplikasi QR Code. Saya sendiri menggunakan tablet bagi membentangkan Belanjawan petang ini. Saya menyeru lebih banyak Kementerian dan Agensi menyahut pendekatan paperless yang lebih mesra alam dan menjimatkan kos.

231. Pada masa ini, terdapat 23 buah UTC di seluruh negara dan yang terbaharu ialah UTC Pulau Pinang yang telah dibuka pada bulan Ogos lalu. Mengambil kira kepadatan penduduk di Lembah Klang dan di kawasan sekitar Petaling Jaya, Kerajaan berhasrat untuk membina UTC di Lembah Pantai dengan kerjasama pihak swasta.

232. Selain itu, dalam era norma baharu ini, Kerajaan akan memperluas penggunaan kiosk sebagai saluran alternatif sistem penyampaian. Jabatan Pengangkutan Jalan akan menambah bilangan kiosk untuk beberapa perkhidmatan utama seperti pembaharuan lesen kenderaan bermotor. Kiosk akan diletakkan di 50 lokasi strategik di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan walaupun di luar waktu bekerja.

233. Kerajaan juga memperuntukkan 14 juta ringgit untuk menaik taraf infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di Kementerian Luar Negeri serta pendigitalan perkhidmatan konsular Malaysia di luar negara.

Langkah 2: Pengukuhan Tadbir Urus dan Integriti di Malaysia

Datuk Yang di-Pertua,

234. Kerajaan akan meneruskan agenda pembangunan negara berteraskan tadbir urus yang baik serta menjunjung prinsip integriti. Kerajaan akan memastikan Pelan Antirasuah Nasional, NACP, dan pengambilan 100 orang pegawai SPRM diteruskan serta menerapkan pendidikan antirasuah di semua peringkat.

235. Atas keprihatinan Kerajaan, peruntukan khas disediakan sebagai ganjaran kepada mana-mana yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang. Contohnya isu pencemaran sungai yang semakin tidak terkawal sehingga mengakibatkan terputusnya bekalan air di Lembah Klang.

Langkah 3: Kebajikan Penjawat Awam

Datuk Yang di-Pertua,

236. Kerajaan prihatin aspek kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam lebihlebih dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19. Anggota barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera, anggota bomba, RELA, petugas JKM dan ramai lagi yang telah membanting tulang empat kerat, berkorban juang memerah keringat, dengan sepenuh kudrat, demi menjamin kesejahteraan kita semua, Warga Malaysia!

237. Kini, ramai antara mereka diamanahkan untuk melaksanakan tugas di Sabah. Marilah kita mendoakan rakyat di Sabah dan seluruh anggota barisan hadapan supaya dapat mengharungi situasi sukar ini dan diberikan perlindungan olehNya.

238. Bagi menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Menaikkan kadar elaun 6 ringgit kepada 8 ringgit sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021; dan

Kedua: Memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga 100 ribu ringgit kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022.

239. Selanjutnya, bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off sebanyak 500 ringgit kepada 40 ribu

penerima.

Datuk Yang di-Pertua,

240. Sejak dilantik sebagai menteri hampir lapan bulan yang lalu, dan datangnya saya daripada sektor korporat, mata saya terbuka kepada betapa komitednya dan teguh setianya penjawat awam dalam menjalankan amanah yang diberi.

Tanpa mengenal penat lelah, mereka telah berkhidmat melangkaui ekspektasi, and rose beyond the call of duty untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

241. Sebagai menghargai jasa dan bakti anggota perkhidmatan awam, sukacita Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan 600 ringgit untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah. Bagi pesara Kerajaan dan veteren tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan 300 ringgit akan diberikan. Keduadua Bantuan ini akan dibayar pada awal 2021.

PENUTUP

Datuk Yang di-Pertua,

242. Sebelum berakhir, saya ingin menekankan bahawa Belanjawan ini sememangnya mengutamakan kesejahteraan rakyat. Pelbagai inisiatif telah diumumkan dan izinkan saya berkongsi beberapa contoh bagaimana Belanjawan ini mampu memanfaatkan rakyat.

Pertama: Puan Aisyah yang bekerja dengan pendapatan tidak tetap sekitar 1,000 ringgit sebulan perlu menyara empat orang anak telah termasuk dalam kategori miskin. Puan Aisyah layak menerima antaranya bantuan kebajikan, Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Pembayaran Bersasar dan Program Jaringan Prihatin. Jumlah manfaat yang bakal diterima di bawah Belanjawan 2021 bernilai 13 ribu ringgit;

Kedua: Encik Kevin yang mempunyai dua orang anak baru sahaja kehilangan pekerjaan dan sebelum ini berpendapatan isi rumah 3,500 ringgit sebulan termasuk dalam kategori B40. Beliau layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat, pengeluaran caruman KWSP, Bantuan Pembayaran Bersasar, lanjutan skim insurans pekerjaan dan Program Jaringan Prihatin. Manfaat yang diterima Encik Kevin kira-kira 15,600 ringgit; dan

Datuk Yang di-Pertua,

243. Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama dunia dilanda wabak. Manusia sudah berulang kali jatuh dan bangkit semula membina tamadun. COVID-19 sememangnya musibah yang membuat dunia akur bermuhasabah, mencari solusi, dan saling meneladani.

244. Kita perlu bersyukur, kita masih kuat menggagahi semua ini. Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng negara. Maka sebab itu, bagi Kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat, kerana kepercayaan rakyat mahal ... maharnya.

245. Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa. Atas hakikat itulah Belanjawan 2021 ini mengangkat sebagai tema "Teguh Kita, Menang Bersama".

246. Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar. Jika sebelum ini kita pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang COVID-19, adalah harapan ramai di dalam Dewan yang mulia ini mahupun rakyat di luar sana—Belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat.

Yang Kurik itu Kundi, yang Merah itu Saga

Yang Baik itu Budi, Yang Indah itu Bahasa

Yang Berdamai Kan Permai

Yang Sehaluan Kan Keberkatan

Yang Satu Suara Kan Mara

Yang Teguh Biarlah Kita

Teguhkan Kita…

Teguhkan Kita…

"TEGUH KITA, MENANG BERSAMA" .................

247. Akhir kalam, kepada-Mu ya Allah kami memohon doa, diberi hidayah memudah usaha, mengecap nikmat seluas angkasa dan kita semua dijauhi bala' bencana COVID-19. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

248. Datuk Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.

 

 

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90