Argentina dirikan patung Messi tertinggi di dunia

 


Argentina mengabadikan nama legenda bola sepaknya, Lionel Messi dengan mendirikan patung tertinggi di dunia bagi menghormati pencapaian luar biasa pemenang lapan kali Ballon d'Or itu di Bandaraya Buenos Aires.

Monumen setinggi 26 meter dan seberat 70 tan itu dibina di bandar Cutral Co, wilayah Neuquen, sekali gus mengatasi beberapa patung lain yang pernah didirikan sempena menghargai ikon bola sepak berkenaan.

Patung berkenaan direka oleh pengukir tempatan, Aldo Beroisa yang menampilkan Messi dalam jersi Argentina bersama trofi Piala Dunia yang dimenanginya pada 2022.

Pembinaan monumen itu hadir ketika Messi terus mencipta sejarah pada Piala Dunia 2026 apabila menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan berkenaan.

Bintang berusia 38 tahun itu meledak hatrik ketika membantu Argentina menewaskan Algeria 3-0 pada aksi peringkat kumpulan, sekali gus mengumpul 16 gol di pentas Piala Dunia.

Jumlah itu menyamai rekod yang sebelum ini dipegang secara bersendirian oleh legenda Jerman, Miroslav Klose.

Messi yang kini beraksi bersama Inter Miami turut dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman dengan koleksi pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya.

Selain menjulang Piala Dunia 2022, dia turut membantu Argentina muncul juara Copa America sebanyak dua kali pada 2021 dan 2024 serta memenangi pingat emas Olimpik 2008.

Ketika beraksi di Eropah, Messi mencipta kegemilangan bersama Barcelona dengan memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah, selain turut menyarung jersi Paris Saint-Germain (PSG).

Menariknya, pembinaan patung gergasi itu berlaku hanya beberapa minggu selepas sebuah patung Messi setinggi 21 meter di Kolkata, India terpaksa dirobohkan susulan kebimbangan terhadap kestabilan strukturnya apabila berdepan tiupan angin kencang.

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url