Astro bukan lagi penyiar utama Piala Dunia FIFA selepas 20 tahun

 


Operator televisyen berbayar, Astro Malaysia Holdings Bhd mengesahkan ia tidak akan menjadi penyiar utama bagi Piala Dunia FIFA 2026 akan datang, sekali gus menamatkan rekod selama dua dekad sebagai penyiar kejohanan itu di Malaysia.

Astro menerusi satu kenyataan berkata, ia kekal komited untuk membawa inovasi dan nilai kepada pelanggan serta pemegang saham.

"Syarikat menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang menyiarkan Piala Dunia FIFA sepanjang dua dekad lalu dan berterima kasih atas sokongan yang menjadikan Astro sebagai 'Home of the World Cup' sepanjang tempoh terbabit.

Menurut Astro, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, landskap kandungan premium, terutamanya sukan, telah berubah dengan ketara.

Katanya, peningkatan kos akibat inflasi serta kenaikan hak penyiaran sukan antarabangsa telah meningkatkan pelaburan kewangan yang diperlukan.

"Pada masa sama, kegiatan cetak rompak yang berleluasa telah mengurangkan nilai hak tersebut kepada semua platform sah. Secara khusus, Piala Dunia 2018 dan 2022 merupakan antara acara yang banyak dicetak rompak di Malaysia.

"Selain itu, waktu perlawanan serta tempoh perancangan yang terhad untuk kempen bersama pelanggan turut mengurangkan nilai komersial, sekali gus menyukarkan pelaburan yang munasabah untuk pemegang saham tanpa menaikkan harga kepada pelanggan.

"Walaupun kecewa bidaan yang adil dan kompetitif bagi hak siaran Piala Dunia FIFA tidak diterima, Astro tetap gembira kerana kejohanan itu masih boleh diakses oleh peminat di Malaysia. Kami turut mendoakan kejayaan kepada penyiar baharu dalam membawa kemeriahan acara tersebut kepada rakyat Malaysia," katanya.

Astro berkata, ia kini dalam perbincangan dengan pemegang hak siaran bagi meneroka peluang menyiarkan perlawanan Piala Dunia FIFA di platform seperti Astro, NJOI (perkhidmatan percuma) dan Sooka, yang dijangka dapat meluaskan capaian kepada jutaan rakyat Malaysia di rumah, premis perniagaan serta peranti mudah alih.

Astro juga menegaskan komitmennya untuk terus menyokong minat rakyat terhadap sukan melalui gabungan liga global utama, pertandingan kebangsaan serta penceritaan tempatan yang menarik.

Sebagai 'Home of Sports', Astro terus menyiarkan pelbagai acara sukan popular dunia termasuk Premier League, AFC dan UEFA Champions League, Formula 1, MotoGP, Wimbledon, La Liga, Bundesliga serta kejohanan badminton antarabangsa dan tenis utama

.Pada masa sama, Astro turut memberi penekanan lebih kepada pembangunan sukan tempatan—daripada peringkat akar umbi hingga ke pertandingan kebangsaan dan serantau.

Syarikat terus melabur dan mempromosikan atlet Malaysia serta acara tempatan seperti Piala Malaysia, BWF Malaysia Masters, Sukan Asia 2026, Sepak Takraw League, Netball Super League dan SUKMA Selangor, selain acara penting lain.

Di luar liputan kejohanan, Astro turut aktif dalam program pembangunan belia dan akar umbi melalui klinik sukan yang memberi tumpuan kepada latihan, pembangunan kemahiran dan memupuk minat terhadap sukan seperti badminton, bola jaring dan sepak takraw, sekali gus memperkasa generasi atlet masa depan Malaysia.

Dengan mengetengahkan kisah tempatan dan meraikan pencapaian sukan negara, Astro terus memperkukuh semangat kebangsaan serta mengeratkan hubungan antara peminat dan wira sukan mereka.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) diumumkan sebagai penyiar utama Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, selaras komitmen Kerajaan MADANI memastikan akses tontonan inklusif kepada seluruh rakyat.

Siaran kejohanan itu turut disokong oleh Unifi TV sebagai rakan penyiar bagi meluaskan capaian.

RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda menerusi MyTV Broadcasting, selain platform penstriman RTM Klik.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url