Sistem pendidikan hari ini masih ada peperiksaan
Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan bahawa peperiksaan dalam sistem pendidikan hari ini, sudah 'lupus' seperti dimomokkan pihak tertentu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, sebaliknya menjelaskan sistem pendidikan hari ini masih 'berpandukan' kepada peperiksaan walaupun dilaksanakan Pentaksiran Berdasarkan Sekolah (PBS).
Di bawah PBS, wujudnya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
"Selain tiga jenis pentaksiran ini, masih ada Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai pentaksiran sumatif. Kemudian sistem pendidikan kita masih ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Pada dasarnya, suara untuk mengembalikan peperiksaan dalam sistem pendidikan hari ini memang dihormati. Tapi ingin dijelaskan bahawa sistem pendidikan hari ini masih ada peperiksaan.
"Jika dikatakan tiada peperiksaan dalam sistem pendidikan hari ini adalah tidak benar," katanya dalam temubual
UPSR dan PT3 dimansuhkan pada 2021
Dua peperiksaan utama sebelum ini iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.
Susulan itu, banyak pihak mahu peperiksaan utama itu khususnya UPSR dikembalikan semula.
Terbaharu, beberapa tokoh termasuk dua bekas Menteri Pendidikan berpandangan UPSR wajar dikembalikan semula bagi menilai tahap penguasaan dan pencapaian akademik murid.
Hasrat itu disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pada program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0: Reformasi Sistem Pendidikan pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru.
Pada masa sama, Mohd Azam turut menjelaskan persamaan antara UPSR, PT3 dan UASA yang mana ia mempunyai konsep yang sama iaitu berteraskan pentaksiran.
"UPSR hanya sebuah ujian, manakala PT3 adalah pentaksiran jadi kedua-duanya adalah suatu alat pentaksiran. Demikian juga dengan UASA itu adalah juga pentaksiran.
"Cuma dahulu UPSR dan PT3 diuruskan Lembaga Peperiksaan (LP) tetapi Ujian Akhir Sesi Akademik diuruskan sendiri oleh sekolah.
"Soalan UPSR dan PT3 disediakan guru berdasarkan Jadual Speksifikasi Ujian (JSU). Malah, soalan PT3 itu disediakan guru dan disimpan dalam bank soalan di LP. Kemudian sekolah muat naik set soalan secara rawak untuk PT3 sekolah masing-masing. Jadi soalan bagi setiap sekolah berbeza-beza tapi sama standardnya," katanya.

UASA disimpan dalam bank soalan Lembaga Peperiksaan
Dr Mohd Azam berkata, UASA juga sama kaedahnya dengan soalan disediakan guru berdasarkan JSU dan disimpan dalam bank soalan di LP, ketika awal pelaksanaannya dahulu.
Beliau berkata, kemudian guru akan memuatnaik set soalan bagi UASA di sekolah masing-masing.
"Namun setelah banyak bengkel peningkatan profesionalisme membina item diadakan dan ramai guru juga mahir membina item, ada suara yang mahukan autonomi untuk UASA diserahkan kepada sekolah.
"Jadi, sekolah hanya diberikan JSU sebagai panduan untuk membina item atau soalan yang standard. Soalan antara sekolah itu dilihat berbeza-beza tetapi mempunyai kualiti atau standard yang sama.
"Cara begini tidak menjadikan sistem pendidikan itu dalam keadaan tertekan dengan fokus orientasi peperiksaan bagi murid dalam tempoh murid masih kecil," katanya.
UPSR, PT3 & UASA bukan pentaksiran untuk masuk universiti
Beliau berkata, ketiga-tiga pentaksiran itu tidak membawa maksud untuk masuk ke universiti sebaliknya ia adalah bagi memperoleh maklumat mengenai perkembangan anak-anak.
Katanya, dengan maklumat daripada pentaksiran itu, semua pemegang taruh seperti ibu bapa, pegawai pendidikan pada setiap herarki dan mungkin pemimpin masyarakat dapat menyusun strategi dan sokongan bagi membantu murid dalam pelajaran.
Mohd Azam turut membidas dakwaan bahawa ketiadaan UPSR dan PT3 menyebabkan murid tidak fokus pada pelajaran, sekali gus menyebabkan mereka terjebak ke dalam gejala negatif.
Beliau berkata, dakwaan seperti itu adalah tidak adil kerana murid yang terbabit dengan gejala negatif itu tidakpun sampai satu peratus daripada lima juta murid yang ada.
"Lagipun, banyak faktor yang perlu difikirkan bersama-sama mengenai sebab dan cara menangani gejala negatif dalam kalangan murid.
"Bukankah anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, putih, suci dan bersih. Kita sebagai ibu bapa, tidak kiralah ibu bapa dalam institusi keluarga, masyarakat dan sekolah yang bertanggungjawab mencorakkannya.
"Jadi marilah kita sama-sama memainkan peranan membimbing, mendidik, menasihati dan menjadi model atau suri teladan kepada anak-anak," katanya.
Sumber : Berita Harian

