CIMB Bank lancar CIMB OCTO Biz
CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) memperkenalkan dua penyelesaian perniagaan baharu, iaitu CIMB OCTO Biz dan SME FlexiCash/-i.
Dua produk baharu itu masing-masing direka bagi mempercepatkan pertumbuhan perniagaan serta menyokong pembangunan mampan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin, berkata pihaknya melihat perbankan sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan ekonomi, transformasi serta keterangkuman kewangan.
Beliau berkata, fokus kumpulan adalah memperkasakan perniagaan dan komuniti dengan keupayaan serta pandangan yang diperlukan untuk mengharungi persekitaran ekonomi yang semakin dinamik.
"Pelancaran CIMB OCTO Biz menegaskan komitmen ini dengan menyediakan penyelesaian kewangan yang selamat, lancar, inklusif dan bersedia untuk masa hadapan bagi menyokong pengembangan perniagaan mampan di seluruh ASEAN.
"Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada strategi Forward30 kami yang memanfaatkan inovasi digital untuk mencipta nilai mampan, sejajar dengan tujuan CIMB dalam memajukan pelanggan dan masyarakat," katanya pada sidang media pelancaran CIMB OCTO di Forum Ekonomi PKS ASEAN CIMB
Selepas pelancaran di Malaysia, CIMB OCTO Biz akan diperkenalkan di Indonesia dan Singapura menjelang separuh pertama 2026, sebelum diperluas ke Kemboja dan pasaran ASEAN lain secara berperingkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Lawrence Loh, berkata CIMB kini membentuk semula pendekatan perbankan perniagaan dengan strategi digital-first yang melangkaui sekadar urus niaga.
Beliau berkata, CIMB OCTO Biz menghimpunkan pandangan perbankan dan alat perniagaan dalam satu ekosistem, membolehkan pelanggan mengurus operasi dengan lebih mudah, mengakses pembiayaan secara lancar serta membuat keputusan berasaskan data yang lebih tepat.
"Lebih daripada sekadar platform, CIMB OCTO Biz bertindak sebagai pemangkin kepada perniagaan di ASEAN untuk berkembang dengan yakin di pasaran tempatan dan global.
"Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi CIMB untuk menjadi bank PKS digital terkemuka di rantau ini, disokong oleh jejak ASEAN yang kukuh serta pemahaman mendalam terhadap keperluan perniagaan," katanya.
Melalui aplikasi berkenaan, SME FlexiCash/-i turut diperkenalkan sebagai produk pembiayaan berasaskan hasil, yang menganalisis sejarah akaun dan corak transaksi bagi menawarkan had pembiayaan pra-kelayakan secara serta-merta tanpa proses pentadbiran rumit seperti pinjaman tradisional.
Selain itu, CIMB OCTO Biz turut menawarkan penyelesaian hiper-personal yang dapat mengenal pasti serta mencadangkan produk dan perkhidmatan relevan berdasarkan profil unik setiap pelanggan.
Setakat ini, lebih separuh pelanggan PKS CIMB sudah menggunakan OCTO Biz, mencerminkan kadar penerimaan awal yang kukuh.
Bagi tahun ini sahaja, platform berkenaan telah merekodkan nilai transaksi berjumlah RM17 bilion melalui tujuh juta transaksi, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaannya oleh sektor perniagaan.
Aplikasi itu dijangka dilancarkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dengan rangkaian ciri serta penyelesaian lengkap, di samping penambahbaikan baharu yang akan diperkenalkan secara berperingkat.
Sumber - Berita Harian


