Tiket ECRL mula dijual pertengahan November 2026
Tiket perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mula dijual secara dalam talian pada pertengahan November 2026.
Bagaimanapun operasi komersial laluan Gombak-Kota Bharu disasarkan bermula 12 Disember depan tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, orang ramai boleh membuat tempahan menerusi laman web rasmi ECRL iaitu www.ecrl.com.my.
Menurut beliau, harga tiket menggunakan mekanisme tambang dinamik yang membolehkan kadar berubah mengikut masa pembelian, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk.
Katanya, pendekatan itu memberi peluang kepada penumpang mendapatkan tambang lebih rendah sekiranya membuat tempahan lebih awal atau memilih waktu perjalanan di luar waktu puncak.
“Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut masa pembelian, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk. Konsepnya hampir sama seperti industri penerbangan.
“Makin awal rancang perjalanan, makin tinggi peluang untuk dapat harga tiket yang lebih murah,” katanya pada sidang akhbar kadar tambang ECRL di Stesen ECRL Gombak.
Sumber : KOSMO!

