Hukum tayang duit bonus untuk ‘marketing’
SOALAN:
Ini sebenarnya persoalan daripada kawan saya, katanya ada syubhah dari segi mualamat cara marketing kalau kita tunjuk bonus perniagaan dekat orang. Ini berkaitan dengan isytihar bonus atau komisen atau insentif daripada berniaga. Ada ke dalam hukum mualamat yang mengatakan haram atau syubhah tunjuk bonus kepada orang awam. Maksudnya, marketing untuk dia tarik orang masuk dalam rangkaiannya dengan menggunakan bonus. Adakah ini syubhah dalam muamalat?
JAWAPAN: Marketing atau pemasaran merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti perniagaan.
Bahkan, sesebuah perniagaan amat bergantung pada aktiviti pemasaran untuk memastikan produk yang dijual diketahui oleh bakal pembeli serta menarik perhatian mereka untuk mendapatkan produk dijual tersebut.
Justeru, antara teknik atau cara pemasaran yang biasa digunakan adalah dengan memaparkan bonus atau penyata pencapaian jualan dan seumpamanya.
Biasanya, teknik ini digunakan dengan tujuan menarik orang lain untuk turut menyertai perniagaan yang dijalankan sebagai dropship, ejen, stokis, reseller, downline dan seumpamanya.
Ini kerana, penyata bonus tersebut akan menunjukkan potensi untuk menjana kewangan dan seterusnya menarik perhatian orang yang ingin mencari pendapatan tambahan.
Hukum-hakam berkaitan dengan muamalat pada asalnya adalah harus selagi tiada larangan mengenainya.
Allah SWT telah berfirman: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah, 275)

