Suspek kes tikam pelajar di Banting disahkan OKU

 


Suspek kes tikam pelajar perempuan di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Banting, Kuala Langat, semalam, direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat, di Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata kebenaran perintah reman selama empat hari adalah bagi membolehkan pihaknya siasatan lanjut dijalankan.

"Susulan ini kita akan meneruskan siasatan lanjut terhadap suspek termasuk mengambil kira segala keterangan dan bukti-bukti yang diperoleh.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.

Mohd Akmalrizal turut menyarankan mana-mana pihak untuk tidak mengeluarkan atau menyebarkan sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan yang sedang dibuat.

Sementara itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK) S Vijeswari Devi, memaklumkan bahawa anak guamnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Anak guam saya adalah autistme. Itu sahaja saya boleh katakan," katanya.

Terdahulu, pekarangan luar Mahkamah Telok Datok, di sini, menjadi tumpuan petugas media bagi mendapatkan perkembangan terkini reman suspek kes tikam pelajar SMK berkenaan.

Suspek perempuan yang juga pelajar sekolah terbabit berusia 15 tahun bagaimanapun tidak kelihatan.

Difahamkan suspek sudah dibawa masuk ke dalam mahkamah sekitar jam 8.10 pagi, dengan menaiki kenderaan polis sebelum keluar kira-kira jam 9 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, cedera akibat ditikam sebanyak belasan kali di beberapa bahagian belakang badan, bahu dan muka.

Mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Banting, untuk rawatan lanjut.

Suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui laluan pintu masuk utama sebelum kejadian berlaku.

Suspek yang memakai baju T hitam dan berseluar kotak merah hitam ketika kejadian dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya mengesahkan hanya seorang suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengelirukan sehingga siasatan lanjut dibuat.

"Saya menyarankan ibu bapa dan masyarakat setempat tidak bimbang mengenai kejadian ini kerana keadaan di sekolah berkenaan berada dalam keadaan baik dan terkawal.

"Kita hendaklah mempercayai kecekapan pihak berkuasa dan mengelakkan menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan suasana panik," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url