Jangan dedah identiti kanak-kanak di platform digital
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyeru semua pihak supaya menghentikan serta-merta penyebaran sebarang kandungan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak di media sosial dan platform digital lain.
JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan gambar, video dan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak melalui media sosial atau mana-mana platform komunikasi digital termasuk kejadian yang tular membabitkan pelajar di sebuah sekolah baru-baru ini.
"Orang awam, khususnya pengguna media sosial dan pengamal media diingatkan agar tidak menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman identiti mana-mana kanak-kanak yang terbabit dalam sesuatu kes, sama ada kanak-kanak itu adalah mangsa, saksi atau terbabit atau disyaki terbabit dalam apa-apa perbuatan jenayah.
"Pendedahan identiti kanak-kanak bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan emosi, maruah dan proses pemulihan mereka serta memberikan kesan berpanjangan terhadap kehidupan dan perkembangan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
JKM memaklumkan perbuatan mendedahkan identiti kanak-kanak bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang melarang penerbitan atau penyiaran apa-apa gambar, nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak dikenal pasti dalam prosiding atau kes yang melibatkan golongan itu.
Mana-mana pihak yang disabitkan melakukan kesalahan di bawah peruntukan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Sehubungan itu, JKM menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran kandungan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, menghormati hak privasi kanak-kanak dengan mengamalkan penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
"JKM kekal komited dalam memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan sewajarnya selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

