Ramai golongan professional abai kesihatan , berisiko mati awal

 


Ramai individu yang berjaya dalam kerjaya dan perniagaan sebenarnya berisiko mengorbankan kesihatan jangka panjang demi mengejar kejayaan.

Mendedahkan perkara itu, perunding kesihatan dan jurulatih kecergasan, Murad Zaidi berkata, waktu kerja yang panjang, tekanan berterusan, perjalanan kerja yang kerap serta kurang masa untuk pemulihan badan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan kesihatan golongan profesional, usahawan dan ahli perniagaan.

Katanya, ramai individu yang ditemuinya menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing, namun bergelut dengan masalah kesihatan yang sering diabaikan.

“Sebahagian orang paling berjaya di negara ini juga antara yang paling ‘letih’ secara fizikal. Ramai pemilik perniagaan hanya tidur empat atau lima jam sehari, bergantung kepada kafein untuk terus berfungsi, tidak makan dengan teratur dan hidup dalam tekanan kronik.

“Mereka mungkin berjaya dari segi kewangan, tetapi dari sudut tubuh badan, mereka sebenarnya sedang menggunakan ‘masa pinjaman’,” katanya.

Murad yang juga pengasas Badcave Training Facility berkata, banyak tanda amaran kesihatan berlaku secara perlahan dan sering dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan yang sibuk.

“Kenaikan berat badan, tenaga yang semakin menurun, tidur tidak berkualiti, badan lambat pulih, hilang motivasi dan semakin bergantung kepada bahan perangsang sering dianggap normal.

“Masalahnya, tubuh badan akhirnya akan menuntut bayaran selepas bertahun-tahun diabaikan,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang tersebut menambah, pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan sebelum masalah kesihatan bertukar menjadi penyakit yang lebih serius.

“Masa terbaik untuk menangani masalah kesihatan ialah sebelum ia menjadi penyakit.

“Malangnya, kebanyakan orang hanya mula serius menjaga kesihatan selepas menerima diagnosis atau mengalami kejadian yang menakutkan berkaitan kesihatan,” katanya.

Tambah beliau, ramai ahli perniagaan sanggup melabur besar dalam syarikat dan pembangunan profesional, namun mengabaikan aset paling penting yang menyokong segala pencapaian tersebut iaitu kesihatan diri.

“Jika kesihatan anda runtuh, segala-galanya menjadi lebih sukar. Perniagaan terjejas, hubungan terjejas dan kualiti hidup juga terjejas.

“Kesihatan bukan sesuatu yang terpisah daripada kejayaan. Kesihatan ialah asas yang menyokong kejayaan,” katanya.  

– KOSMO! 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url