Harga emas menjunam, cecah paras terendah tujuh bulan kepada RM530 segram

 


Harga emas jatuh ke paras terendah dalam lebih tujuh bulan hari ini, selepas seketika merosot di bawah paras penting AS$4,000 seauns (RM530 segram), susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan jangkaan kenaikan kadar faedah.

Harga emas spot susut 2.1 peratus kepada AS$4,021.99 seauns setakat 1405 GMT, selepas mencecah paras terendah sejak November 2025.

Niaga hadapan emas AS pula merosot 2.6 peratus kepada AS$4,039.30 seauns.

Dolar AS mengukuh, menjadikan emas yang didagangkan dalam mata wang itu lebih mahal bagi pemegang mata wang lain.

Peniaga meningkatkan pertaruhan bahawa kadar faedah AS akan dinaikkan tahun ini selepas bank pusat AS mengambil pendirian lebih agresif pada mesyuarat dasar monetari terkini, selain kebimbangan terhadap tekanan inflasi akibat perang Iran yang masih berterusan.

Pasaran kini menjangkakan kenaikan kadar faedah seawal September berikutan pendirian agresif Rizab Persekutuan (Fed), pengukuhan dolar ke paras tertinggi dalam 13 bulan serta jangkaan inflasi yang semakin rendah. Semua faktor ini memberi tekanan besar kepada logam berharga,

"Bagi emas, terdapat sokongan harga sedikit di bawah AS$3,900 dan pembelian oleh bank-bank pusat masih berterusan, jadi kejatuhan mendadak tidak dijangka berlaku. Namun, pasaran mungkin menyaksikan tempoh penyatuan harga yang panjang kerana dagangan emas kini kurang mendapat perhatian pelabur," katanya.

Emas menjadi kurang menarik kepada pelabur apabila kadar faedah meningkat kerana ia tidak menawarkan pulangan hasil.

Harga emas spot yang pernah mencatat rekod tertinggi AS$5,594.82 seauns pada penghujung Januari lalu, kini telah susut lebih AS$1,600 seauns daripada paras berkenaan.

Penganalisis ING menurunkan unjuran harga emas mereka dan kini menjangkakan harga purata emas mencecah AS$4,300 seauns pada suku ketiga 2026 dan AS$4,600 pada suku keempat, berbanding unjuran terdahulu masing-masing AS$4,850 dan AS$5,000.

Pelabur turut menantikan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan diumumkan esok iaitu ukuran inflasi pilihan Fed, bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju dasar monetari.

Penganalisis penyelidikan kanan FXTM, Lukman Otunuga, berkata sebarang isyarat yang lebih agresif daripada pegawai Fed atau data ekonomi yang menyokong kenaikan kadar faedah berpotensi menyebabkan harga emas terus mengalami tekanan penurunan.

Dalam kalangan logam berharga lain, harga perak spot merosot 4.8 peratus kepada AS$59.08 seauns selepas mencapai paras terendah sejak Disember 2025.

Platinum susut 4.1 peratus kepada AS$1,584.89 seauns, manakala paladium jatuh 4.8 peratus kepada AS$1,178.11 seauns.

-Reuters

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url