Sesat dalam pendakian kena kekalkan lokasi untuk mudahkan SAR

 


Individu yang sesat ketika melakukan aktiviti pendakian diminta kekal di satu lokasi sahaja bagi memudahkan ditemui pasukan penyelamat, berbanding bergerak tanpa arah tuju berikutan panik.

Ketua Zon 6 Rawang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mustakim Rimon, berkata mereka perlu kekal di kawasan selamat sementara menunggu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba.

"Jika sesat, jangan panik dan prinsip paling penting ialah mengamalkan 'STOP' iaitu berhenti, berfikir, memantau dan merancang.

"Selain itu, antara langkah penting perlu diberi perhatian ialah jangan mendaki seorang diri, amalkan buddy system atau mendaki secara berkumpulan," katanya

Mustakim yang berpengalaman 11 tahun dalam operasi SAR, berkata elemen lain yang penting diamalkan pendaki ialah perlu belajar asas navigasi dan survival supaya sekurang-kurangnya tahu cara membaca bentuk topografi muka bumi serta menggunakan kompas.

Beliau berkata, mereka perlu memuat naik aplikasi yang membolehkan pihak lain mengesan kedudukan telefon bimbit, selain membawa peralatan asas keselamatan pendakian.

"Antara punca pendaki sesat kerana kurang pengetahuan mengenai laluan gunung didaki, tidak membuat kajian awal ketinggian atau keadaan laluan sama ada sesuai atau tidak dengan stamina diri.

"Ini membuatkan mereka cedera. Apabila penat dan ingin cepat keluar, pendaki mula mengambil jalan pintas, membuat keputusan tidak wajar sehingga mereka sesat.

"Selain itu, ada juga kes pendaki cuba mencari pemandangan lain dengan meneroka kawasan sekitar sehingga tidak jumpa jalan keluar," katanya.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url