Kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun ikut penilaian ibu bapa – KP Pendidikan
Ibu bapa yang memilih untuk mendaftarkan anak mereka bagi kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai 2027 digalakkan membuat penilaian sendiri bagi memastikan anak berkenaan layak dan bersedia memulakan sesi persekolahan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad berkata, penilaian itu merangkumi aspek perkembangan kognitif termasuk emosi, psikologi serta kecerdasan intelektual (IQ), sambil menegaskan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun adalah pilihan dan tidak diwajibkan.
Jadi menjadi satu tanggungjawab kepada ibu bapa yang berhasrat memasukkan anaknya ke Tahun Satu pada umur enam tahun ini, menilai sendiri perkembangan anak-anak masing-masing dari aspek kognitif, dari aspek emosi, psikologi, sama ada anak-anak itu sudah bersedia atau tidak.
“Pada peringkat Kementerian Pendidikan, kita tidak ada satu syarat pun untuk mengadakan satu saringan sebagai syarat untuk memasuki Tahun Satu. Jadi kesannya terserah kepada ibu bapa,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk keupayaan anak menguruskan diri di sekolah, kesediaan untuk bergaul dengan rakan sebaya yang lebih berusia serta kestabilan emosi dan psikologi.
Menurutnya, kementerian juga tidak menetapkan sebarang syarat bahawa murid perlu mengikuti pendidikan prasekolah sebelum memasuki Tahun Satu.
Mengulas kemungkinan murid berdepan kesukaran pembelajaran atau gagal mencapai prestasi seperti rakan sebaya, beliau berkata perkara itu boleh dibincangkan.
“Dalam situasi sebegini biasanya kita ada proses intervensi supaya anak-anak ini dapat meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran. Ibu bapa boleh datang ke sekolah dan berbincang dan Insya-Allah pihak sekolah sama ada guru besar ataupun guru kelas masing-masing dan juga kaunselor akan memberikan panduan bimbingan kepada ibu bapa. Sebenarnya kita memang dalam proses pengajaran pembelajaran, kita ada kelas pemulihan,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak membuat keputusan terburu-buru dan dipengaruhi pihak tertentu.
“Umur enam tahun memasuki Tahun Satu ini adalah sebagai satu pilihan. Ia bukan wajib. Masuk prasekolah juga bukanlah satu kerugian. Jadi buatlah keputusan yang terbaik untuk anak masing-masing,” katanya.


