Pengambilan guru kontrak berasaskan keperluan semasa
Pengambilan guru kontrak secara besar-besaran yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan berasaskan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata pengambilan itu dibuat dengan keutamaan diberikan kepada calon yang memiliki ikhtisas perguruan.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang pertukaran guru perlu dilaksanakan secara terancang berpandukan kesesuaian opsyen serta bilangan guru di negeri tertentu.
"Bagi pihak kami, tiada isu besar berkaitan pengambilan ini kerana pengambilan secara besar-besaran itu pada asasnya akan membabitkan calon yang memiliki ikhtisas perguruan didahulukan, namun graduan yang tiada ikhtisas juga masih diperlukan bagi menampung kekurangan ini.
"Walaupun kami tidak mempunyai data rasmi, kami dimaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan proses temu duga calon yang mempunyai kelayakan ikhtisas.
"Bagi pengambilan kali ini, jumlah calon berikhtisas sedia ada sememangnya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan guru, khususnya dalam persediaan menghadapi kemasukan murid Tahun Satu pada tahun 2027.
"Sehubungan itu, sebarang pertukaran guru perlu dilaksanakan secara berhemah, dengan mengambil kira kesesuaian opsyen serta bilangan guru di sesebuah negeri. Guru opsyen tertentu berlebihan di sesuatu negeri tidak seharusnya berlaku sehingga mengganggu kelancaran sistem pengurusan sekolah dan keberkesanan pengajaran," katanya kepada BH.
Kelmarin KPM mengumumkan permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara kontrak akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Februari ini, manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama SPP.
Inisiatif pengambilan guru besar-besaran itu sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela tahun hadapan.
Bagi memastikan tahap profesionalisme dan kompetensi guru sentiasa terpelihara, calon yang terpilih akan diwajibkan mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi pelbagai bidang pengkhususan yang diperlukan dalam sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Fouzi turut merakamkan penghargaan kepada KPM kerana mengambil langkah proaktif menangani isu guru duka lara dengan menurunkan tempoh kelayakan memohon pertukaran kepada dua tahun.
"Langkah ini jelas menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan guru, namun pelaksanaannya tetap perlu berasaskan keperluan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan kesesuaian opsyen agar sistem pendidikan terus stabil dan berfungsi dengan baik," katanya.


