Anak Malaysia, Arsyan Ismail raih lebih RM300 juta hasil jual domain AI.com

 


Usahawan teknologi Malaysia, Arsyan Ismail, meraih lebih RM300 juta hasil daripada penjualan alamat web berprestij AI.com pada April 2025.

Arsyan, yang mencuri tumpuan media susulan urus niaga bernilai AS$70 juta itu, memperoleh alamat web berkenaan pada tahun 1993 dengan harga hanya AS$100, atau kira-kira RM256 pada ketika itu, menurut portal dalam talian Says.

Dipercayai sebagai penjualan nama domain terbesar yang pernah didedahkan secara terbuka setakat ini, AI.com telah dijual kepada Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Crypto.com, Kris Marszalek, selepas disenaraikan dengan harga permintaan AS$100 juta pada Mac 2025.

Urus niaga tersebut sebahagian besarnya dirahsiakan selama beberapa bulan ketika pembeli membangunkan sebuah platform berasaskan laman web berkenaan.

AI.com membuat penampilan awam pertamanya semasa Super Bowl LX pada 8 Februari, dengan menghalakan pengguna ke sebuah laman web ejen kecerdasan buatan peribadi.

Arsyan memberitahu Says bahawa beliau membeli alamat web itu pada usia 10 tahun menggunakan kad kredit ibunya, sambil menambah bahawa pembelian itu juga bersifat peribadi kerana huruf 'AI' mencerminkan pangkal namanya.

Rekod yang dikongsi oleh Arsyan menunjukkan alamat web itu didaftarkan pada 4 Mei 1993, dengan Kuala Lumpur disenaraikan sebagai lokasi pendaftar.

Kini berusia 43 tahun, Arsyan telah menghabiskan lebih tiga dekad dalam bidang teknologi, setelah terlibat dalam projek berasaskan internet sejak usia remaja.

Beliau kemudiannya membantu membangunkan Kawanster, menyertai Nuffnang sebagai pengatur cara kanan, dan bekerja di Friendster sebelum menubuhkan 1337 Tech pada tahun 2013.

Sebagai antara pengguna awal Bitcoin, Arsyan terus memberi tumpuan kepada kerja berkaitan rantaian blok dan mata wang kripto.

Beliau juga dikenali sebagai pengumpul aset digital jarang ditemui, termasuk alamat e-mel ultra-pendek, domain web dan pengecam Ethereum Name Service (ENS).

Mengimbas kembali penjualan AI.com, Arsyan berkata pengajaran utama ialah mengelakkan rundingan berlebihan dengan individu bernilai kekayaan ultra tinggi.

"Jangan sekali-kali berunding secara berlebihan atau 'memancing' dengan mereka, kerana anda mungkin akhirnya merosakkan perjanjian. Itulah satu-satunya nasihat saya apabila anda membuat urus niaga pada tahap seperti ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url