Laluan luas untuk lepasan Tingkatan Enam

 


Tingkatan Enam selalu dianggap mencabar, panjang, padat dan penuh tekanan, justeru pengumuman meletakkannya di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dianggap langkah baik bagi persediaan lebih tersusun dan relevan dengan pengajian tinggi.

Peralihan ini menjadikan Tingkatan Enam bukan sekadar tahun persediaan peperiksaan, tetapi juga jambatan yang lebih berkesan ke universiti.

Program Tingkatan Enam, yang sebelum ini diuruskan Kementerian Pendidikan, kini diselaraskan mengikut keperluan pengajian tinggi negara, bermakna kurikulumnya boleh diperkukuh untuk mempersiapkan pelajar bukan sahaja menguasai STPM, tetapi juga kemahiran abad ke-21 seperti literasi digital, pemikiran kritis, dan penyelidikan asas.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Ismi Arif Ismail, berkata langkah itu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, menyaksikan ia ditafsir semula sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi yang berperanan membina asas intelektual, akademik dan nilai sebelum pelajar melangkah ke universiti.

Katanya, penempatan Tingkatan Enam di bawah KPT membolehkan pelajar didedahkan lebih awal kepada budaya pemikiran kritis, tuntutan akademik universiti serta pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus mengurangkan jurang peralihan antara sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

"Data kemasukan juga membuktikan keberkesanan laluan ini misalnya bagi sesi 2025/2026, sekitar 37,000 lepasan STPM memohon UPUOnline, kira-kira 34,000 layak, dan hampir 29,000 pelajar ditawarkan tempat ke IPT.

" Angka ini mengesahkan Tingkatan Enam kekal sebagai antara laluan utama ke universiti awam bagi program ijazah sarjana muda," katanya.

Kematangan akademik

Tambahnya, transformasi ini turut disokong pendekatan pembelajaran aras tinggi, pendedahan kepada pembelajaran digital serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan.

Kongsinya lagi, kajian antarabangsa menunjukkan pelajar yang terdedah awal kepada pendekatan ini cenderung menunjukkan prestasi akademik dan penyesuaian lebih baik di universiti.

Ismi Arif menyifatkan, inisiatif rintis seperti Kolej Tingkatan Enam Premier di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia, yang menempatkan pelajar dalam persekitaran universiti, membuktikan pendedahan awal kepada budaya universiti meningkatkan kematangan intelektual dan keyakinan diri pelajar.

"Dari segi peluang melanjutkan pelajaran, pelajar Tingkatan Enam berpotensi memasuki pelbagai bidang utama di IPT.

"Penstrukturan Tingkatan Enam di bawah ekosistem pendidikan tinggi menjadikannya jambatan kukuh antara pendidikan menengah dan universiti, dengan kurikulum yang semakin selari keperluan industri, penekanan kepada kemahiran insaniah serta budaya pembelajaran matang.

"Hal ini menjadikan Tingkatan Enam muncul sebagai laluan prauniversiti yang berprestij, kos efektif dan strategik dalam melahirkan pembina negara berilmu, beretika dan berdaya tahan," katanya.

Malah katanya, impak paling signifikan penempatan di bawah KPT menjadikan laluan ke IPT lebih tersusun selain pendedahan awal kepada budaya akademik universiti.

Setaraf pengajian antarabangsa

Sementara itu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Syaubari Othman, berkata walaupun Tingkatan Enam sering dianggap mencabar, laluan itu sebenarnya menawarkan pelbagai kelebihan

serta peluang yang luas kepada pelajar yang berdisiplin dan berorientasikan akademik.

" STPM diiktiraf di peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan setaraf dengan program prauniversiti lain seperti A-Level dan International Baccalaureate dari segi tahap akademik dan pengiktirafan.

" Terdapat pilihan pengajian mengikut minat dan kekuatan akademik masing-masing namun secara umumnya, pilihan mata pelajaran boleh dikategorikan kepada aliran sains dan aliran sains sosial atau kemanusiaan,"katanya

Mohd Syaubari berkata, bagi aliran sains, pelajar lazimnya mengambil mata pelajaran seperti Matematik, Matematik Lanjutan, Fizik, Kimia dan Biologi justeru aliran ini sesuai untuk pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, sains tulen serta teknologi maklumat.

Bagi aliran sains sosial dan kemanusiaan pula, pelajar boleh memilih mata pelajaran seperti Ekonomi, Perniagaan, Prinsip Perakaunan, Geografi, Sejarah, Kesusasteraan Melayu,

Pengajian Am serta Bahasa Inggeris.

Jelasnya aliran ini membuka laluan kepada pelbagai bidang pengajian di universiti seperti perakaunan, kewangan, ekonomi, pengurusan, undang-undang, pendidikan, komunikasi dan sains sosial.

"Fleksibiliti pemilihan mata pelajaran ini membolehkan pelajar merancang hala tuju akademik dan kerjaya dengan lebih terarah sejak awal.

"Malah kalau bercakap dari segi kos, ia amat rendah, pelajar tidak perlu menanggung yuran pengajian yang tinggi seperti di kolej swasta atau program prauniversiti tertentu.

"Keadaan ini menjadikan Tingkatan Enam sebagai pilihan yang sangat sesuai bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana atau rendah, namun tetap ingin mendapatkan kelayakan prauniversiti yang berkualiti.

"Malah hari ini, pelajar Tingkatan Enam juga layak menerima bantuan kewangan dan biasiswa tertentu sekiranya mencapai kecemerlangan akademik,"katanya.

Sumber: Berita Harian

Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url