Tiket penerbangan AirBorneo mula dijual 10 Dis
AirBorneo, syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, akan melancarkan laman sesawang serta pusat panggilannya mulai esok, menandakan bermulanya jualan tiket susulan proses pengambilalihan MASwings yang dijadual dimuktamadkan pada akhir Disember ini.
Dalam kenyataannya hari ini, AirBorneo menyifatkan pelancaran pada 10 Disember itu sebagai satu pencapaian penting dalam peralihan operasi menuju pengambilalihan penuh MASwings dan penyatuan perkhidmatan udara serantau di bawah syarikat baharu itu.
Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan meneruskan pembelian tiket untuk perjalanan sebelum 13 Januari 2026 melalui laman sesawang MASwings, manakala tiket bagi perjalanan selepas 14 Januari hanya boleh dibeli menerusi laman sesawang atau pusat panggilan rasmi AirBorneo.
Menurut syarikat itu, semua tiket dan tempahan MASwings yang sedia ada kekal sah tanpa sebarang perubahan terhadap tarikh dan tempoh penerbangan. Penumpang yang memegang tiket MASwings bagi perjalanan pada atau selepas 14 Januari 2026 akan menerima notifikasi individu mengenai pengeluaran semula tiket mereka di bawah AirBorneo.


