Agrobank beri peluang buka simpanan emas nilai serendah RM10
Agrobank baru-baru ini melancarkan produk terbaharunya, AgroGold Account-i, akaun simpanan emas patuh Syariah yang direka khas bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia memiliki emas secara selamat, telus dan berlandaskan prinsip kewangan Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata produk inovatif itu membolehkan pelanggan membuat pembelian, simpanan dan penjualan emas fizikal dengan ketulenan 999.9, sekali gus menawarkan alternatif simpanan bernilai stabil dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
"AgroGold Account-i ditawarkan pada nilai yang kompetitif serta menyokong reputasi Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited memperkasa kesejahteraan kewangan masyarakat, khususnya dalam sektor agro dan luar bandar.
"Pelancaran produk ini selari dengan keperluan semasa pelanggan yang mencari instrumen simpanan mampan di tengah persekitaran ekonomi yang mencabar," katanya ketika pelancaran AgroGold Account-i
Beliau berkata, Agrobank yakin produk berkenaan mampu membantu pelanggan mempelbagaikan perancangan kewangan mereka dengan lebih mampan, di samping mengekalkan nilai simpanan dalam jangka panjang.
Selain pelancaran produk, Agrobank turut memperkenalkan Kempen Peluang Keemasan bagi menggalakkan penyertaan awal pelanggan terhadap AgroGold Account-i.
Melalui kempen itu, pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk baucar Habib serta hadiah cabutan utama berupa dua buah motosikal Honda Vario 125.
Bagi melayakkan penyertaan dalam kempen berkenaan, pelanggan hanya perlu membuat transaksi pembelian emas melalui AgroGold Account-i, di mana setiap pembelian akan memberi peluang menyertai cabutan dan ganjaran yang ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Kempen Peluang Keemasan bukan sahaja bertujuan menarik minat pelanggan baharu, malah menggalakkan amalan simpanan emas secara berterusan dalam kalangan pelanggan sedia ada.
Langkah itu selari dengan komitmen Agrobank untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan pelanggan dalam jangka masa panjang melalui instrumen simpanan yang stabil dan patuh Syariah.
Pelancaran AgroGold Account-i serta kempen berkaitan turut mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dalam memperkenalkan produk inovatif yang relevan dengan keperluan pelanggan, sejajar dengan mandat bank untuk menyokong keterangkuman kewangan dan pembangunan ekonomi negara.


