Kategori barang yang boleh dibeli SARA RM100
SARA RM100 adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup dan penghargaan kepada rakyat, membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM2 bilion.
Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai Ahad lalu hingga 31 Disember depan untuk membeli barangan asas di lebih 7,300 kedai dan pasar raya terpilih di seluruh negara.
Baki sumbangan tidak digunakan hingga tarikh akhir itu akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun hadapan.
Secara umum, SARA adalah program bantuan tunai dikreditkan ke dalam MyKad penerima, bertujuan mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
Berdasarkan laman sesawang Bantuan Tunai kendalian Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), penerima akan menerima bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai secara automatik melalui akaun dibuka menggunakan MyKad.
Berikut senarai 14 kategori barangan yang layak dibeli melalui SARA RM100:
1. Beras
2. Telur
3. Mi segera
4. Makanan dalam tin (Contoh: Sardin, tuna)
5. Minuman (Contoh: Susu, teh, kopi)
6. Bahan perasa (Contoh: Sos, kicap, gula, garam
7. Biskut
8. Minyak masak
9. Roti
10. Produk kebersihan diri (Contoh: Ubat gigi, tuala wanita, sabun)
11. Tepung
12. Barangan kebersihan rumah (Contoh: Sabun pencuci baju, pinggan mangkuk dan lantai)
13. ubat-ubatan (yang diluluskan KKM)
14. Keperluan sekolah (Contoh: Pakaian seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis)
Berikut pula kaedah pembelian barangan keperluan melalui SARA RM100?
1. Pilih Barangan Keperluan - Penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk yang mempunyai label MyKasih di rak tanda harga.
2. Tunjuk MyKad Untuk Pengesahan - Juruwang menyemak status MyKad penerima bantuan.
3. Imbas Kod Barangan - Juruwang mengimbas setiap barangan keperluan asas yang ingin dibeli mengikut kategori yang dibenarkan.
4. Bayar Menggunakan MyKad - Penerima membuat bayaran menggunakan MyKad untuk mengesahkan transaksi pembelian
5. Simpan Resit Untuk Semakan - Penerima bantuan menyimpan resit untuk menyemak transaksi pembelian.
Semakan mengenai sumbangan SARA boleh dibuat melalui aplikasi MyKasih atau melayari laman sesawang https://mykasih.com.my