Gerhana Bulan Bloody Moon


 

JOM SAKSIKAN GERHANA BULAN PENUH.
Pada lewat malam 7 September hari ini sehingga pagi 8 September 2025, akan berlaku peristiwa gerhana Bulan yang dapat disaksikan di rantau negara kita serta sebahagian besar kawasan lain di Bumi. Gerhana bermula dari jam 11:28 malam (7 September) dan berakhir pada jam 04:55 pagi (8 September). Kemuncak gerhana Bulan penuh pada jam 02:11 pagi.
Kita di Malaysia akan dapat menyaksikan keseluruhan fasa gerhana yang melibatkan fasa gerhana Penumbra, gerhana Separa dan juga gerhana Penuh.
FASA-FASA GERHANA :-
Permulaan Fasa Gerhana Penumbra :
- Bulan mula memasuki bayangan penumbra Bumi.
* 11:28 PM ( 7 September 2025 )
Permulaan Fasa Gerhana Separa :
- Bulan mula memasuki bayangan umbra Bumi.
* 12:27 AM ( 8 September 2025 )
Permulaan Fasa Gerhana Penuh :
- Bulan sepenuhnya memasuki bayangan umbra Bumi.
* 01:30 AM ( 8 September 2025 )
Kemuncak Gerhana Bulan Penuh :
- Bulan berada pada kedudukan paling dalam di dalam kawasan bayangan umbra Bumi.
* 02:11 AM ( 8 September 2025 )
Fasa Gerhana Penuh Berakhir :
- Bulan mula keluar daripada bayangan umbra Bumi.
* Bulan kembali memasuki bayangan penumbra.
* 02:52 AM ( 8 September 2025 )
Fasa Gerhana Separa Berakhir :
- Bulan sepenuhnya memasuki bayangan penumbra semula.
* 03:56 AM ( 8 September 2025 )
Fasa Gerhana Penumbra Berakhir :
- Bulan sepenuhnya keluar daripada bayangan penumbra Bumi .
* gerhana berakhir.
* 04:55 AM ( 8 September 2025 )
Keseluruhan fasa gerhana Bulan kali ini berlaku selama 5 jam 27 minit.
Fasa gerhana Penumbra berlaku selama 1 jam 57 minit manakala fasa gerhana separa berlaku selama 2 jam 7 minit. Keseluruhan fasa gerhana penuh pula iaitu ketika jasad bulan sepenuhnya memasuki bayangan umbra Bumi berlaku selama 1 jam 22 minit .
Sedikit nota tambahan :-
Ketika fasa gerhana penumbra, ia hampir mustahil untuk disaksikan dengan hanya menggunakan mata kasar sahaja kerana kecerahan cahaya di permukaan Bulan ketika itu berlaku hanya sedikit sahaja yang menurun.
Disebabkan kecerahan cahaya Bulan yang hanya sedikit menurun, tiada perubahan ketara di permukaan Bulan yang dapat disaksikan dengan mata kasar.
Jika kita saksikan permukaan Bulan ketika berlakunya fasa gerhana penumbra, keadaan seperti tiada apa yang berlaku dan keadaan Bulan seperti Bulan Purnama tanpa gerhana atau cahayanya sedikit kelam.
Perbezaan jelas hanya boleh disaksikan dengan alat bantu optik atau kita ambil gambar Bulan ketika gerhana dan bandingkan dengan gambar Bulan Purnama tanpa gerhana.
Jadi, fasa gerhana yang boleh disaksikan dengan mata kasar adalah ketika fasa gerhana separa dan juga fasa gerhana penuh.
BAGAIMANA GERHANA BULAN PENUH BERLAKU ?
Gerhana Bulan penuh hanya boleh berlaku ketika Bulan berada dalam fasa Purnama/Bulan penuh dan hanya apabila Bulan, Bumi dan Matahari berada di dalam satu garis lurus sempurna sehingga menyebabkan keseluruhan Bulan memasuki bayangan Umbra Bumi.
BAYANGAN UMBRA BUMI ITU APA ?
Semasa cahaya Matahari menerangi Bumi, pada masa yang sama akan muncul bayangan Bumi yang mengunjur ke angkasa.
Terdapat dua jenis bayang Bumi yang muncul iaitu Umbra dan Penumbra.
Umbra merupakan bayangan Bumi di bahagian tengah yang bersifat gelap manakala Penumbra pula merupakan bayangan Bumi di bahagian pinggiran yang bersifat samar - samar.
Jika keseluruhan Bulan memasuki bayangan Umbra, maka gerhana Bulan Penuh akan berlaku. Sekiranya hanya sebahagian Bulan memasuki bayangan Umbra, maka gerhana Bulan separa yang akan berlaku. Seterusnya jika Bulan hanya memasuki bayangan Penumbra sahaja, maka gerhana Bulan penumbra yang akan berlaku.
Kenapa tidak berlaku gerhana Bulan penuh pada setiap fasa Bulan Purnama ?
Ini kerana orbit Bulan condong
Sekitar 5 darjah berbanding dengan satah orbit Bumi semasa mengelilingi Matahari dan menyebabkan Bulan Purnama tidak semestinya berada di dalam satu garis lurus sempurna yang membolehkan berlaku peristiwa gerhana Bulan penuh.
'BLOOD MOON' ITU APA ?
Sejak kebelakangan ini, gelaran 'Blood Moon' semakin kerap digunakan untuk merujuk kepada peristiwa gerhana Bulan penuh.
Digelar sebagai 'Blood moon' berkemungkinan disebabkan warna Bulan berubah menjadi kemerah - merahan ketika gerhana Bulan penuh.
Kenapa boleh berubah menjadi warna kemerah - merahan ?
Kita sedia maklum bahawa Cahaya yang merambat dari Matahari adalah berwarna putih. Tetapi sebenarnya ia terdiri daripada pelbagai spektrum cahaya. Setiap warna dalam spektrum cahaya tampak mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Cahaya merah mempunyai panjang gelombang yang paling panjang dan cahaya ungu mempunyai panjang gelombang yang paling pendek.
Cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang pendek seperti ungu, biru, hijau semasa memasuki atmosfera Bumi lebih mudah diserakkan oleh molekul - molekul di atmosfera berbanding cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang panjang seperti merah yang lebih sukar diserakkan lalu lebih mudah menembusi atmosfera dan bergerak menuju ke angkasa semula.
Ketika cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang panjang bergerak melalui atmosfera Bumi menuju ke angkasa, ia akan terbias ke arah bayangan umbra Bumi. Jika ada objek langit yang berada di bahagian bayangan umbra Bumi seperti Bulan semasa gerhana berlangsung, cahaya yang terbias akan mengenai permukaan Bulan dan dipantulkan menuju ke Bumi semula.
Pemerhati di Bumi yang mencerap Bulan semasa berlaku gerhana Bulan penuh akan dapat menyaksikan Bulan berubah warna kemerah - merahan.
Sebenarnya warna Bulan semasa gerhana Bulan penuh tidak semestinya hanya berwarna kemerah-merahan. Ia bergantung kepada keadaan amtosfera Bumi kita. Boleh jadi warna kelabu, coklat, merah tua, merah bata cerah, jingga ataupun gelap gelita sehingga Bulan tidak kelihatan langsung ketika kemuncak gerhana Bulan penuh.
Di sisi yang lain,
beberapa sumber menyatakan bahawa asal - usul gelaran 'Blood Moon' yang terkenal ketika ini dipelopori oleh dua orang paderi kristian iaitu Mark Blitz dan John Hagee yang merujuk kepada gerhana Bulan penuh tetrad iaitu 4 gerhana Bulan penuh yang berlaku berturut - turut pada tahun 2014 — 2015. Mereka mengaitkan gerhana Bulan pada tahun tersebut sebagai isyarat pengakhiran dunia ini.
Seeloknya elakkan guna 'Blood Moon' sebagai gelaran untuk gerhana Bulan penuh kerana gelaran 'Blood Moon' itu bukan suatu istilah saintifik.
Sekian.
Selamat mencerap gerhana Bulan.
Kredit imej :- Fred Espenak
Gerhana Bulan 15 April 2025


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url