"Selepas itu, saya mula berani pula berniaga secara 'affiliate' (menjadi ejen) dengan melibatkan aktiviti promosi dan jualan secara langsung produk lain seperti makanan dan penjagaan kulit untuk mendapatkan komisen sampingan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya antara yang dipelajari daripada bengkel tersebut ialah kaedah merakam video dan penyuntingan, pemilihan tajuk kandungan video yang menarik selain turut disediakan peralatan seperti mikrofon nirkawat, lampu dan tripod.
Bertitik tolak daripada itu, beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin sekolah cuba menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan.
"Saya tidak menjangkakan percubaan saya itu berhasil dan tidak pernah terfikir mampu menjana pendapatan lebih banyak berbanding pekerjaan dahulu," katanya yang telah menjual 9,000 unit produknya seperti minyak herba, jamu dan madu.
Sementara itu, guru multimedia pendidikan khas integrasi SMK Kuala Krau Mohammad Hazeem Azemi berkata Rafidah adalah antara 43 orang daripada kumpulan pertama Orang Asli yang mendapat manfaat daripada kemudahan studio multimedia di sekolah berkenaan.
Beliau berkata walaupun studio tersebut khusus untuk pelajar pendidikan khas, namun kedudukan SMK Kuala Krau yang terletak di luar bandar iaitu kira-kira 35 kilometer dari bandar Temerloh, mendorong pihak sekolah membuka kemudahan itu kepada penduduk setempat termasuk Orang Asli.
"Saya percaya guru bukan sahaja mampu mengubah pemikiran murid tetapi juga mampu membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat," katanya.
Sumber dari Berita Harian