Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata pihaknya gembira dengan pengiktirafan berprestij itu dan diterima tepat pada masanya.
"Kami sedang melaksanakan pelan hala tujuan kami ke arah menjadi hospital pintar terulung untuk terus meningkatkan tahap penjagaan kesihatan jantung dan pesakit.
"Pelan pengembangan ini meliputi kemudahan bagi pelbagai disiplin baharu dengan 120 katil dan kemudahan utama lain, dan ia dijangka selesai pada 2026," katanya.
Ditubuhkan pada 1992, IJN membina reputasinya di peringkat global menerusi rawatan jantung yang inovatif dan ketika ini ia mempunyai 433 katil, lapan makmal jantung invasif, sembilan bilik pembedahan termasuk dewan bedah hibrid, 10 katil dialisis serta pusat kesejahteraan dan tidur khusus.
Mengamalkan pendekatan pencegahan dalam kesihatan, IJN juga mempunyai lebih 70 klinik perundingan dalam pelbagai kepakaran selain daripada kardiologi, termasuk klinik yang memenuhi keperluan pesakit diabetes, berhenti merokok, perkhidmatan respiratori serta penjagaan penyakit jantung pediatrik dan kongenital.
Selain itu, IJN baru-baru ini turut memperoleh pengiktirafan daripada pelbagai pertubuhan yang disegani termasuk Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Digital Terbaik di Anugerah PC.com ke-23 pada 22 Jun lalu kerana usahanya dalam merintis penggunaan teknologi termaju untuk meningkatkan tahap penjagaan pesakit.
Pusat itu turut mencipta kejayaan dalam pelbagai kategori di Anugerah Kesihatan Global Asia-Pasifik 2023 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada Mei lalu.
IJN merangkul lima anugerah membanggakan iaitu Penyedia Perkhidmatan Kardiologi Terbaik di Asia-Pasifik, Penyedia Perkhidmatan Diabetes Terbaik di Asia-Pasifik, Penyedia Perkhidmatan Penjagaan Kecemasan Terbaik di Asia-Pasifik dan Hospital Paling Inovatif Terbaik di Asia-Pasifik.
Dr Aizai Azan berkata, kesemua pencapaian luar biasa itu mencerminkan usaha bersama pasukan IJN yang sentiasa bekerja keras mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam memberikan penjagaan terbaik kepada pesakit.
"Kami tetap teguh dengan komitmen untuk terus berusaha menjadi lebih baik dalam apa jua yang kami lakukan, dan amat berbesar hati dengan semua sokongan yang kami terima selama ini," katanya.
Sumber : Berita Harian