Meter pintar dan Aplikasi MyTNB bantu kawal penggunaan elektrik

 


Gabungan penggunaan meter pintar bersama aplikasi MyTNB mampu membantu pengguna kediaman mengawal penggunaan elektrik, sekali gus dapat mengelakkan pembaziran.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Mohamed Ghous Ahmad, berkata hasil kajian dijalankan di Melaka pada tahun lalu mendapati, semua 24 peratus pengguna meter pintar di negeri itu yang memantau penggunaan elektrik di rumah melalui MyTNB dapat menurunkan kadar bil elektrik berikutan mereka mengubah tabiat penggunaan bagi menjimatkan elektrik.

"Meter pintar berfungsi sebagai jangka yang mengukur aliran tenaga elektrik dan menghantar maklumat penggunaan ke pusat penyimpanan data TNB setiap hari.

"Informasi penggunaan elektrik ini boleh diakses pengguna di MyTNB bagi membantu mereka merancang dan mengawal penggunaan tenaga elektrik dengan cekap serta cermat," katanya.

Kerajaan memilih Melaka sebagai negeri pertama melaksanakan pemasangan meter pintar dengan lebih 360,000 sudah dipasang sejak 2014 dan pemasangan meter berkenaan kini giat dilaksanakan di Lembah Klang.

Aplikasi MyTNB adalah aplikasi mudah alih percuma untuk menguruskan akaun elektrik pengguna TNB.

Ia boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery, manakala portal MyTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my.

Sehingga Februari lalu, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar menggunakan aplikasi MyTNB.

Menurut Mohamed Ghous, pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi itu, tetapi hanya secara bulanan.

Setakat ini, katanya, pemasangan meter pintar sudah melebihi satu juta unit dan ia diteruskan kepada semua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2026.

Katanya, pemasangan meter pintar yang lebih meluas itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna ke arah mengubah tabiat penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

TNB adalah ejen pelaksana program pemasangan meter pintar bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat.

Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR)

Sumber dari Bernama.

 

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dibuka Mei 2024

Permohonan menjadi Guru KPM Tahun 2024 kini dibuka

Fenomena Ekuinoks Mac