Top Ad 728x90

,

Balik kampung sambut Aidilfitri jika kekal patuh SOP

kebenaran balik raya merentas negeri

 


Orang ramai mungkin dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri pada pertengahan Mei depan jika kepatuhan tinggi pada prosedur operasi standard (SOP) ketika ini, dikekalkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, jumlah kes harian ketika ini menunjukkan trend penurunan kesan kepatuhan SOP yang tinggi, namun masih terlalu awal untuk membenarkan rentas negeri kerana penurunan itu masih tidak konsisten.

Jelasnya, KKM akan membuat penilaian risiko dari semasa ke semasa, sebelum menasihat atau mencadangkan apa-apa perkara, termasuk kebenaran rentas negeri kepada Jawatankuasa Teknikal, yang kemudian akan diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KKM membuat penilaian risiko dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlalu awal. 

"Memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.

"Jika kepatuhan tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini," katanya dalam satu muat naik di Facebook, hari ini.

Dalam sidang media baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, kebenaran rentas negeri yang dilarang sejak 13 Januari lalu, adalah bergantung kepada penilaian risiko oleh KKM.

Penilaian risiko adalah penilaian dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.

Mengulas perkara itu, KKM memaklumkan penilaian risiko yang dilakukan kementerian berkenaan membabitkan enam faktor yang menjadi indikator untuk sesuatu perkara dinasihat atau dicadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal.

Antara enam faktor itu merangkumi situasi kes harian, termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang; trend dan kadar kebolehjangkitan serta situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian.

"Selain itu, keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital; situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan ujian saringan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90