Lebih 30 peratus penduduk luar bandar Kedah, Kelantan bekerja sendiri
Lebih 30 peratus daripada penduduk bekerja di kawasan luar bandar Kedah dan Kelantan adalah pekerja bekerja sendiri, antara kadar tertinggi direkodkan di Malaysia pada 2024.
Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), keadaan itu memperlihatkan perbezaan ketara dalam struktur pekerjaan antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya dari segi peluang memperoleh pekerjaan bergaji.
Laporan From Income to Wellbeing: The State of Households 2026 menunjukkan kadar pekerja bekerja sendiri tanpa menggaji pekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya jauh lebih rendah, masing-masing pada 6.2 peratus dan 5.4 peratus.
Jelasnya, pekerja dalam kategori itu atau own-account workers merangkumi pelbagai bentuk pekerjaan sendiri, termasuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penyedia perkhidmatan ekonomi gig.
Analisis KRI berdasarkan data Survei Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pekerja luar bandar secara umumnya lebih cenderung bekerja sendiri tanpa menggaji pekerja berbanding pekerja bandar, termasuk apabila dibandingkan dalam negeri yang sama.
Perbezaan itu menunjukkan struktur pasaran buruh tidak seragam mengikut lokasi, dengan peluang pekerjaan dan bentuk penggajian yang tersedia turut dipengaruhi keadaan ekonomi setempat.
KRI menjelaskan, penilaian terhadap keadaan pasaran buruh tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kadar penyertaan tenaga buruh dan pengangguran, sebaliknya perlu mengambil kira jenis pekerjaan yang diceburi serta kualiti peluang pekerjaan yang tersedia.
Dalam laporan itu, KRI turut menekankan bahawa bentuk pengaturan pekerjaan mempunyai kaitan dengan tahap jaminan pendapatan, akses kepada faedah pekerjaan, perlindungan undang-undang serta peluang perkembangan kerjaya seseorang pekerja.
Data berkenaan turut menunjukkan peratusan penduduk bekerja sebagai pekerja bergaji adalah lebih tinggi di kawasan bandar berbanding luar bandar bagi semua negeri, dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masing-masing mencatatkan kadar melebihi 85 peratus.
Selain pekerja bekerja sendiri, KRI turut mengenal pasti pekerja keluarga tanpa gaji atau unpaid family workers sebagai satu lagi bentuk pengaturan pekerjaan tidak formal yang lebih tertumpu di kawasan luar bandar.
Sarawak mencatatkan peratusan pekerja keluarga tanpa gaji yang ketara tinggi pada 11.6 peratus, berbanding negeri lain yang masing-masing merekodkan kadar di bawah empat peratus.
Menurut KRI, keadaan di Sarawak itu berkemungkinan mencerminkan kepentingan berterusan perusahaan pertanian keluarga yang bergantung kepada sumbangan tenaga kerja ahli keluarga tanpa bayaran gaji.
Kumpulan pekerja keluarga tanpa gaji juga dikenal pasti sebagai antara golongan yang terdedah kepada kerentanan ekonomi kerana lazimnya tidak mempunyai pendapatan sendiri, perlindungan sosial serta kebebasan kewangan.
Sumber : Berita Harian

