Filem Konspirasi : Produksi sah henti tayangan di Malaysia
Tiga hari selepas kecoh filem Konspirasi dihentikan tayangan di pawagam, syarikat produksi, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd, hari ini, tampil dengan kenyataan rasmi berhubung kontroversi itu.
Melalui kenyataan dua perenggan yang dikongsi di Instagram (IG), Elepfilm Entertainment mengesahkan filem Konspirasi dihentikan tayangan di pawagam di seluruh negara, mulai kelmarin.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, tayangan filem Konspirasi di pawagam di Singapura dan negara lain, tidak terjejas.
"Pihak produksi secara rasmi mengumumkan bahawa filem aksi 'thriller' terbaharu terbitan kami, Konspirasi telah ditamatkan tayangannya di seluruh rangkaian pawagam Malaysia berkuatkuasa pada 28 Mei lalu.
"Namun, tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam di Singapura dan negara lain, tidak terjejas, serta masihseperti biasa," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberi maklumat terperinci mengenai punca tayangan filem Konspirasi dihentikan di pawagam Malaysia atau maklumat lain berkaitan isu itu yang mencetuskan persoalan peminat filem tempatan, sejak beberapa hari lalu.
Filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.
Konspirasi mengangkat kisah badan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam misi berisiko tinggi membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit.
Selain Sarimah, antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Roy Azman dan Esma Daniel.
Mengikut jalan cerita, filem ini antara lain memaparkan SPRM menerima maklumat mengenai sebuah pelayar tersembunyi yang menyimpan data ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara.
Operasi yang diketuai pasukan elit itu pada awalnya lancar, namun, bertukar kacau bilau apabila sebahagian data mula bocor ke media dan laman gelap.

