PROTON perkenal S70 versi 2026, harga bermula RM73,800
Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan versi 2026 Proton S70 sebagai evolusi terbaharu sedan lebih sporty, dengan gabungan prestasi unggul, reka bentuk progresif dan ketersambungan terkemuka dalam kelasnya.
Model ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800 bagi varian Executive di Semenanjung Malaysia, diikuti Premium (RM79,800), Flagship (RM89,800) dan Flagship X (RM94,800).
Dipimpin falsafah 'Intelligence that Evolves', model diperbaharui ini direka bagi memenuhi jangkaan golongan profesional muda dan keluarga yang melangkah ke fasa kehidupan baharu, dengan menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih halus, yakin dan tanpa kebimbangan.
Sejak diperkenalkan, Proton S70 mencatat penerimaan pasaran kukuh dengan lebih 38,000 unit terjual, menarik pembeli kereta pertama serta pemilik yang ingin menukar kenderaan, khususnya dalam kalangan demografi lebih muda.
Proton S70 dikuasakan enjin i-GT 1.5 liter empat silinder turbo yang dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT).
Ia menghasilkan 181 PS dan tork 290 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 7.5 saat dengan kecekapan bahan api 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer.
Menurut PROTON, pelarasan sistem pacuan yang dipertingkatkan memastikan penukaran gear lebih lancar serta prestasi lebih yakin, di samping mengekalkan kos operasi lebih rendah.
Dibangunkan bersama rakan globalnya, Geely, sistem pacuan itu menggabungkan teknologi turbo inersia rendah, pengurangan geseran dan getaran serta ujian ketahanan menyeluruh bagi meningkatkan prestasi, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan tahap Bunyi, Getaran & Kekasaran (NVH).
Talaan ride and handling dalaman PROTON, perisian Electronic Stability Control (ESC) yang dipertingkatkan serta mod pemanduan boleh pilih turut menyumbang kepada pengalaman pemanduan stabil dan seimbang di bandar mahupun lebuh raya.
Dari segi penampilan, model ini menerima kemas kini termasuk Lampu Hadapan baharu, Rim Aloi 17 inci baharu, Lampu Belakang LED Bar Penuh dengan efek pencahayaan berirama serta Aerokit baharu sebagai standard bagi varian tertinggi.
Bahagian kabin pula menampilkan tema dalaman hitam moden dengan material diperhalusi, suis tingkap beriluminasi dengan kemasan perak serta sentuhan rekaan lebih dinamik. Susun atur luas dan ergonomik dioptimumkan bagi keselesaan perjalanan harian dan jarak jauh.
Antara sorotan utama ialah unit infotainmen terapung 12.3 inci resolusi Full HD yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar di mana sistem ini turut dilengkapi arahan suara 'Hi PROTON' bagi kawalan navigasi, media, penyaman udara dan tetapan kenderaan.
Sebanyak lima port USB termasuk Type-C, pengecas tanpa wayar serta sambungan data dalam kereta disediakan bagi memastikan semua penumpang kekal terhubung dan produktif sepanjang perjalanan.
Dari aspek keselamatan, Proton S70 baharu dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 merangkumi 13 ciri, termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive dan Intelligent Cruise Control (ACC & ICC), Lane Keep Assist (LKA), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) serta Intelligent High Beam Control (IHBC).
Model ini turut dilengkapi kamera 360 darjah beresolusi tinggi dengan paparan 3D, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) dan rangkaian sistem keselamatan pasif menyeluruh.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata Proton S70 baharu mewakili tafsiran syarikat terhadap sebuah Sedan Sportif Malaysia untuk pembeli muda yang melangkah ke fasa kehidupan baharu.
"Dengan peningkatan bermakna dari segi prestasi, ketersambungan dan gaya, S70 menawarkan kepintaran yang berkembang bersama pelanggan kami – memberikan keyakinan, nilai dan keseronokan setiap hari," katanya.
PROTON turut menawarkan Pakej Pelancaran Khas kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan sebelum 31 Mac 2026 dengan rebat RM5,000.
Harga selepas rebat bagi Semenanjung Malaysia bermula RM68,800 untuk Executive, RM74,800 (Premium), RM84,800 (Flagship) dan RM89,800 (Flagship X), manakala di Malaysia Timur masing-masing RM70,800, RM76,800, RM86,800 dan RM91,800.
Setiap pembelian didatangkan dengan Pro-Warranty lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma, Pro-Connect dengan pakej data lima tahun 2GB sebulan, Pro-Finance dengan pembiayaan sehingga sembilan tahun pada kadar bermula 2.25 peratus setahun serta Pro-Xchange dengan sokongan RM4,000 untuk pelupusan kenderaan tukar beli.
Pelanggan juga boleh memilih Program Insurans PROTON, Pro-Shield, yang merangkumi perlindungan bencana khas, bantuan banjir sehingga RM2,000 serta perlindungan kemalangan diri penumpang sehingga RM15,000 seorang untuk maksimum empat penumpang, selain manfaat insurans sedia ada dan bantuan tepi jalan 24 jam.
Sumber : BH

